Hamidah Boleh Minta Borang Amanah Dari Mat Sabu..

Semalam, bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Dato’ Hamidah Osman mendakwa Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak sengaja menjawab soal dana politik RM2.6 bilion pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat bagi mengelak soal balas dari anggota parlimen pembangkang.

Kononnya, jika Perdana Menteri menjawab soal RM2.6 bilion itu maka beliau akan dihujani dengan pertikaian-pertikaian hebat dari pihak pembangkang di Parlimen. Namun memandangkan ia dijawab pada hari terakhir, maka Hamidah seolah-olah mendakwa Najib ‘mengelat’, lari dari bersoal jawab.

Pada pandangan penulis, bila disebut ‘bekas’, maka ‘bekaslah’. Bukan lagi Ketua Wanita UMNO Bahagian, malah bukan lagi ahli UMNO sekali pun. Bila dipecat, maka hakikatnya Hamidah bukan lagi ahli UMNO.

Pun begitu, beliau masih lagi mendakwa konon jiwanya itu, ‘jiwa UMNO’. Tidak tahulah penulis atas asas apa beliau mengatakan beliau ‘berjiwa UMNO’. Apa yang penulis tahu, orang yang berjiwa UMNO tahu peraturan keluarga, berdisiplin, tahu jaga imej parti, tahu saluran yang betul untuk mengkritik dan ‘alif, ba, ta’. Hamidah ada?

Benarkah Najib lari dari menjawab soal RM2.6 bilion itu? Satu dunia sudah tahu? Kononnya ‘rakyat hampa’ bila Najib ‘lari’ dari menjawab soal dana politik tersebut? Benarkah? Atau itu hanyalah kata-kata seorang yang sakit hati dipecat dari parti atas kesalahan diri sendiri?

Pada pandangan penulis, Najib dan ramai lagi pemimpin UMNO sudah menjawab soal RM2.6 bilion itu. Di dalam UMNO pun sudah dijawab, kepada rakyat Malaysia pun sudah dijawab dan kepada seluruh dunia pun sudah dijawab.

Dana politik itu datangnya dari Timur Tengah. Itu jawapan. Wang itu dimasukkan kepada pemegang amanah UMNO. Itu jawapan. Wang itu wang untuk kegunaan UMNO dan bukan Hamidah seorang. Itu jawapan.

Dari mana dan siapa penyumbang dana itu? Fakta itu ada pada SPRM dan Bank Negara. Sudah dijawab. RM2.6 bilion itu bukan dari 1MDB, itu juga fakta yang disahkan oleh SPRM. Kenapa Timbalan Presiden, Naib Presiden dan bekas Presiden tidak tahu tentang RM2.6 bilion? Kerana mereka bukan pemegang amanah UMNO, itu juga fakta.

Kenapa Najib dapat RM2.6 bilion? Sebab beliau diyakini dan disokong, tidak seperti Hamidah. Lagipun Najib adalah Presiden UMNO, bukan Ketua Wanita Gopeng. Kenapa dijawab pada hari terakhir? Kalau dijawab pada hari pertama dan dipertikai tiap-tiap hari, setiap jawapan yang diberi tidak akan diterima malah langsung enggan difahami oleh pihak yang bertanya.

Sebagai contoh, ialah kes Altantuya. Sudah dijawab berkali-kali, sudah disahkan mahkamah Najib tiada kena mengena dengan kes itu, sudah berkali-kali bersumpah di mimbar masjid bersaksikan Allah SWT, masih lagi pembangkang dakwa Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor membunuh warga Mongolia itu. Kenapa tidak babitkan sekali tukang kebun, pemandu, ‘cleaner’ atau tukang masak Najib yang bunuh Altantuya?

Penulis melihat, pembangkang tidaklah bersungguh-sungguh sangat bertanyakan tentang RM2.6 bilion itu. Hanya Hamidah dan konco-konconya saja yang tiap-tipa hari tanya tentang dana itu. Pembangkang tahu, jika mereka lebih-lebih bertanya, mungkin mereka juga terpaksa dedahkan ‘sumber kewangan’ mereka selama ini, bukan?

Lagipun, penulis yakin bahawa ‘sumber-sumber’ dana politik pembangkang pun hebat-hebat khabarnya. Desas-desus mengatakan bahawa jumlah RM2.6 bilion itu hanya ‘celah gigi’ saja bagi pembangkang kerana ‘funder’ mereka menyumbang lebih dari itu. Apatah lagi ‘sumber’ mereka itu agak ‘kontoversi’ dan mampu buat mereka ‘biru muka’ jika didedahkan, benarkah?

Kerana itulah mereka tidak bersungguh-sungguh bertanyakan duit UMNO itu. Bila Najib ajak sama-sama dedah, mereka ‘menikus’. DAP sampai keluar kenyataan tidak bersetuju? Nampak sangat banyak yang pihak pembangkang cuba sembunyikan, bukan?

Tapi Hamidah pula yang ‘menyalak’ lebih-lebih? Kononnya jiwa UMNO? Selama ini dana yang datang dari UMNO Pusat kepada Wanita UMNO Gopeng itu datangnya dari ‘kayangan’, kah? Masa PRU ke-13 yang lalu dan PRU yang sebelum-sebelumnya, dana pilihan raya untuk Gopeng dan Sungai Rapat datang dari Tun Dr Mahathir Mohamad, kah?

Nampaknya Hamidah bagaikan ‘terlebih sudu dari kuah’. Pembangkang pun tidak bersikap sepertinya. Alang-alang sudah dipecat dari UMNO, masuk sajalah Parti Amanah Negara (Amanah). Mungkin nanti boleh jadi Ketua Wanita Amanah pula, kan? Itupun kalau Mat Sabu berkenan pada Hamidahlah, kan?

Jika bukan ahli UMNO, buatlah macam bukan ahli UMNO. Jika tidak berjiwa UMNO, tidak perlulah mengaku ‘berjiwa UMNO’. Kerana tindakan dan sikapnya nampak sangat bukan ahli dan berjiwa UMNO, bukan? Tidak perlulah khianat pada parti bila sudah dipecat, lebih buat orang menyampah saja. Jika tidak percaya, boleh tanya pada Mat Sabu. Dia ada pengalaman begitu… –Amir Hamzah/Utaranews.com

ep2p-2