DAP Amal Politik Sombong, Bongkak – Khairuddin

KUALA LUMPUR – “DAP memang parti yang sombong dan takabbur.

 

“Mereka berpolitik tanpa menghiraukan sensitiviti perkauman dan keagamaan, DAP juga akan mempergunakan rakan kerjasama politik untuk kepentingan sempit politik mereka”.

 

Kata-kata itu dicoretkan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali menerusi whatsapp kepada BNBBC.my, Selasa.

 

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen bahawa hanya mereka yang tidak waras sahaja akan mengundi calon parti Islam itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun depan.

 

Malah Chong juga mendakwa PAS yang kini dituduh parti rasis itu sebagai rakan sekutu UMNO tidak akan memperoleh sebarang sokongan daripada rakyat negeri itu pada PRN akan datang.

 

Menurut Khairuddin, dakwaan DAP bahawa hanya orang tidak waras sahaja akan mengundi PAS adalah tuduhan melampau.

 

DAP katanya, kerap mengeluarkan kenyataan tanpa menghiraukan sensitiviti perkauman dan untuk itu perlu dikecam semua pihak.

 

“Rakyat Malaysia tidak boleh menerima politik sombong dan bongkak, tunggulah PRU 14 untuk kita tengok bagaimana rakyat Malaysia mengajar DAP nanti.

 

“Saya yakin Penang bukan lagi milik DAP, Sarawak pun usah dimimpi menjadi milik DAP,” ujarnya.

 

Setakat ini, PAS memaklumkan bahawa parti itu akan bertanding di 10 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk kawasan DUN baharu yang diluluskan parlimen baru-baru ini.

 

Antaranya ialah Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Samariang. – Bnbbc