Benarkah Majoriti Rakyat Hidup Sengsara Di Zaman Najib?

Sebelum ini, penulis menyaksikan ramai pihak terutama di laman-laman sosial mengeluh dan merungut tentang kenaikan kos sara hidup. Kata mereka, kos sara hidup meningkat namun gaji mereka tidak pula meningkat sama…

Kata mereka, kerajaan yang kini diterajui Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah ‘zalim’. Kata mereka, zaman Najib ini dipenuhi dengan korupsi. Kata mereka, zaman ini serba-serbi menyusahkan mereka…

Ya. Penulis akui memang kos sara hidup meningkat sejak kebelakangan ini. Bila harga petrol meningkat 10 sen – 20 sen, maka ia akan memberikan kesan berantai di mana harga barang-barang lain akan turut meningkat. Penulis tidak nafikan perkara tersebut.

Tapi yang penulis menyampah ialah keluhan-keluhan ‘poyo’ di laman-laman dan aplikasi sosial. Poyonya bagai tidak makan sebulan! Kadang-kadang rasa macam nak maki, tapi tak sampai hati…

Benarkah gaji tidak naik? Penjawat awam tidak naik gaji? Jadi, pengumuman yang diumumkan Najib dalam Bajet 2016 tentang kenaikan satu tangga gaji itu apa? Yang kenaikan setiap tahun itu apa? Apakah itu bukan kenaikan gaji?

Bagi yang bekerja swasta, mungkin gaji mereka tidak naik jika syarikat tempat mereka bekerja itu rugi. Tapi kalau untung, bukan setakat naik gaji tahunan, boleh dapat bonus sampai 12 bulan. Tapi yang asyik diulang, ‘gaji kami tak naik’. Menyampah betul, kan?

Pada pandangan penulis, keluhan mereka-mereka itu tidak masuk akal dan mengada-ngada. Susah bagaimanakah hidup mereka jika mereka masih lagi punya data internet untuk berlaman sosial? Susah apa ke jadahnya jika mereka masih memiliki gajet dan telefon pintar untuk ber’whatsapp’?

Lebih menyampah lagi bila mereka yang mengeluh itu sebenarnya memiliki dua buah rumah, dua buah kereta, semua anak dibekalkan dengan telefon pintar, setiap kali cuti sekolah mereka bercuti dan bermalam di hotel.

Katanya kos sara hidup naik dan hidup mereka sengsara, tapi mereka masih mampu buat semua perkara tersebut? Susah apa ke jadahnya begitu? Bila kita menyampah dan melabel mereka sebagai ‘poyo’, tahu pula mereka tersinggung marah, kan?

Penulis dulu memang susah pun, tapi tidak pernah mengeluh. Masuk universiti pun masih pakai telefon awam. Teringin nak makan burger pun, tapi tak mampu beli. Duit cukup-cukup untuk ‘photostate’ nota dan beli buku. Selalu ikat perut dan makan sekadar mampu saja.

Tapi cuba tengok budak-budak universiti sekarang. Bukan setakat telefon pintar, hampir semua ada laptop sendiri. Internet satu kewajipan bagi mereka. Kononnya ‘up todate’. Itu belum lagi disebut tentang kenderaan, makan di McDonalds, ‘dating’ seminggu sekali dan lain-lain lagi yang bukan keperluan mahasiswa.

Lebih menjengkelkan, ‘pointer’ mereka hanya cukup-cukup makan. ‘Dean List’ jauh sekali. Gayanya sudah macam orang bekerja. Ibu bapa pula pantang anak minta duit, RM100 diminta, RM500 mereka berikan. Itu gaya hidup orang ‘susah’?

Susah bagaimana zaman sekarang jika kereta penuh di jalanraya sampai sesak? Susah apa jika berpuluh ribu kenderaan berjaya dijual setiap tahun? Susah jenis apa jika pusat membeli belah sentiasa dikerumun? Susah apa jika hotel penuh ditempah setiap kali musim cuti sekolah?

Orang susah tidak mampu bertelefon bimbit. Jika ada pun, sebuah telefon bimbit biasa dikongsi sekeluarga. Jika susah, mereka hanya berbasikal ke tempat kerja. Jika susah, mereka tidak makan di luar. Jika benar-benar susah, mereka tidak pernah mengeluh di Facebook atau Whatapps dan hanya mengadu kepada Allah kerana Dialah pemberi rezeki!

Tapi itulah yang berlaku di saat ini. Pada pandangan penulis, mereka-mereka itu tidak susah sebenarnya, namun lebih kepada ‘poyo’ berpura-pura susah. Mereka mungkin tidak percaya pada Allah sebagai punca pemberi rezeki, hendak bersyukur apatah lagi. Yang terbit hanyalah keluhan poyo tanda hati mereka ‘sakit’ tidak terperi…

Hendak salahkan diri jauh sekali. Paling mudah, kepada Najiblah mereka tuding jari, kan?

Penulis tidak nafikan tentang masih ada lagi mereka yang benar-benar miskin, memerlukan dan hidup tidak sesempurna yang lain. Memang itu asam garam takdir Allah, ada yang murah rezeki dan ada yang tidak. Namun penulis yakin bahawa nasib mereka akan sentiasa terbela dengan pelbagai bantuan dari ramai pihak.

Sebagai contoh, bila tersebar saja cerita mereka yang susah di Facebook, maka berduyun-duyunlah datang menghulurkan bantuan. Belum sempat agensi kerajaan datang, rumah mereka sudah penuh dengan barang bantuan, akaun pun terisi lebih 4 angka, kan?

Pada pandangan penulis, yang susah itu hanyalah mereka yang penuh dengan kehendak dan tewas berperang dengan nafsu sendiri. Mereka sudah miliki lebih dari keperluan, namun mereka sentiasa mahukan ‘lebih’.

Jadi, penulis hendak tinggalkan ‘tips’ di sini. Belajarlah bersyukurlah pada Allah sama ada ketika senang mahupun susah kerana Dia telah berfirman bahawa rezeki mereka yang bersyukur itu akan ditambah. Namun jika kufur dengan nikmatNya, maka Allah ingatkan tentang azab api neraka yang amat dahsyat. Faham? – AmirHamzah/Utaranews.com

ep2p-5small