AJK Parti Sosialis Ditahan Bantu Siasatan Hina Sultan Johor

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khairul Nizam Abdul Ghani, ditahan pagi semalam selepas dipercayai terbabit menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menerusi laman Facebook miliknya, Oktober lalu.

 

Khairul, 34, ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, jam 10.45 pagi oleh sepasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman, selepas hadir memberi keterangan berhubung kes sama.

 

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata tangkapan dilakukan bagi membolehkan siasatan lebih terperinci dilakukan terhadap Khairul sebelum pendakwaan susulan dibuat.

 

“Tindakan ini juga adalah sebagai pengajaran terhadap mana-mana pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengaibkan individu lain, bukan hanya institusi diraja, malah semua orang.

 

“Meskipun mengambil masa sehingga lebih dua bulan, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan pasti akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi BH semalam. – BHarian



This entry was posted in Jenayah, Terkini. Bookmark the permalink.