Polis Malaysia dapat kebenaran soal siasat Justo di Thailand

Pihak berkuasa Malaysia akan ke Thailand pada minggu depan bagi menyoal siasat bekas pekerja PetroSaudi International, Xavier Andre Justo yang ditahan pada 22 Jun lepas di negara tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis Thailand telah memberi kebenaran untuk pihaknya ke sana bagi merakam keterangan Justo.

“Pihak berkuasa Thailand sudah memberi kebenaran untuk pasukan kita ke sana bagi menemu bual Justo serta mengambil bahan bukti yang ada,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Akhbar Kosmo pada 18 Ogos lalu melaporkan warga Switzerland, Justo dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas dia mengaku cuba memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi International.

Bulan Jun lalu, Polis Thailand menahan seorang bekas eksekutif teknologi maklumat (IT) daripada PetroSaudi International yang membocorkan maklumat berkaitan syarikat bermasalah 1Malaysia Development Bhd.

Xavier Justo ditahan di sebuah pulau negara itu semalam dan dihantar ke Bangkok bagi siasatan lanjut.

“Xavier Justo ditangkap di rumahnya di Thailand oleh Bahagian Pencegahan Jenayah Polis Diraja Thai semalam dan didakwa cuba memeras ugut serta tuduhan melakukan ugutan terhadap PetroSaudi International.

“Banyak komputer, pemacu cakera keras dan beberapa bahan bukti lain dirampas selepas waran tangkap dikeluarkan dan siasatan ke atas tertuduh sedang dijalankan.

“Sementara itu PetroSaudi International sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya atas pertuduhan lain,” kata PetroSaudi dalam satu kenyataan.

ep2p-5small