MT Umno nafi tuduhan dari Mahathir.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin menyelar tuduhan keras yang dilemparkan oleh mantan perdana menteri,  Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa bahawa setiap orang kaya di Malaysia ini hidup dalam kemewahan hasil daripada mengamalkan elemen rasuah.

Turut terkena tempias adalah ahli-ahli Umno sendiri kerana pastinya ada diantara mereka yang hidup mewah dan berada. Tuduhan yang dilemparkan oleh Dr. Mahathir itu seakan-akan ingin menunding jari dan menuduh bahawa wujudnya aktiviti rasuah merasuah di kalangan ahli parti Umno.

Bagi menjawab tuduhan melulu dan tidak masuk akal itu, Bung Mokhtar menegaskan bahawa ahli-ahli Umno tidak pernah sekali mengamal aktiviti tidak sihat itu, bahkan mereka masih lagi berpegang teguh pada kata-kata Dr. Mahathir yang menasihatkan mereka supaya menjauhi diri dari aktiviti menerima dan memberi rasuah.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu lagi, beliau berasa sedikit terkilan dengan tuduhan liar Dr. Mahathir sedangkan ahli Umno tidak pernah lupa dengan nasihat yang diberikan Dr. Mahathir pada zaman pemerintahannya dahulu.

“Saya masih ingat Dr Mahathir berpesan semasa menjadi Perdana Menteri supaya ahli UMNO tidak rasuah. Saya tidak tahu macam mana ahli-ahli UMNO boleh dituduh rasuah,” katanya.

Malah Bung merasakan dirinya terlalu kerdil untuk menegur Dr. Mahathir kerana terlalu banyak jasanya untuk negara. Akan tetapi, Dr. Mahathir harus sedar dan belajar menerima kenyataan bahawa zaman kegemilangannya sudah lama berakhir. Kini ada pemimpin lain yang menggalas tugasnya.

Sepatutnya, Dr. Mahathir memberi peluang kepada pemimpin baru iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang lebih terbuka pemikirannya dan peka dengan perkembangan semasa. Dan bukannya hanya tahu mengkritik dan mengerang Umno.

“Seharusnya saya tidak layak tegur Tun Mahathir sebab beliau banyak berjasa kepada negara, apa yang jelas Tun tidak sedar masanya sudah berlalu. Biarlah pula Najib meneruskan usaha murni UMNO untuk membela rakyat,” katanya.

Tambah Bung lagi, usaha yang ditonjolkan Dr. Mahathir dan segala kritikan serta tomahan yang dilemparkan hanya akan memburukkan lagi kedudukan parti Umno. Sekaligus merugikan parti sendiri dan memberi kelebihan kepada parti pembangkang.

Dr. Mahathir tidak sepatutnya membakar api di dalam parti sendiri, kerana tempiasnya pasti akan terkena kepada ahli-ahli parti tersebut. Beliau wajar meletak jawatan dari tugas memburukkan ahli-ahli parti dan melemparkan fitnah tidak logik seperti makan rasuah kepada Umno.-TiraGomez/UtaraNews.com

ep2p-5small