Debat Tony Vs Arul Batal, Tapi Cuba Bayang Jika Diteruskan…

Sehari dua ini, heboh sekali diperkatakan tentang debat. Ada yang debat di kedai kopi, ada yang debat di kantin pejabat dan ada pula yang kecoh berdebat di kedai Mak Limah bini arwah Pak Ya Kapak di hujung simpang. Penulis yakin, fenomena debat ini tidak lain tidak bukan adalah gara-gara ‘superhero’ DAP, Tony Pua.

Pada mereka yang aktif memerhati medan politik negara, rasanya mereka maklum tentang perangai dan mulut Tony Pua yang memang becok, suka mengarut yang bukan-bukan. Ada saja yang hendak dia dedahkan, seolah-olah dia tahu semua, dia betul semua dan dialah ‘juara’…

Kita semua maklum bahawa Tony telah mencabar CEO 1MDB, Arul Kanda, untuk berdebat dengannya. Cabaran yang dibuatnya itu dilakukan secara terbuka. Ketika itu, mungkin dia fikir Arul akan kecut perut, menikus dan takut untuk menerima cabarannya. Maklumlah, bukankah puak pembangkang selalu kata Arul ‘salah’?

Bagaikan ‘superhero’, Tony Pua dengan bangganya menghina Arul dengan mendakwa CEO 1MDB itu sebagai penakut, tiada integriti dan gelabah apabila berada dibawah radar pemerhatian rakyat Malaysia. Malah dia sifatkan pula Arul sebagai ‘pelawak’…

Bila Arul setuju untuk berdebat, tiba-tiba Tony Pua bungkam? Terkejut bila Arul bingkas menyahut cabarannya? Dan mulalah kita lihat bagaimana Tony ‘main wayang’, mencari seribu satu alasan berdolak-dalih, cuba mengelakkan diri dari debat yang dia sendiri cetuskan.

Apatah lagi apabila Menteri Penerangan dan Komunikasi, Datuk Seri Salleh Keruak begitu gembira ‘menyakat’ apabila bersungguh menyatakan bahawa RTM sedia menjadi platform untuk menyiarkan debat Tony – Arul itu secara langsung di kaca televisyen. Penulis yakin, menggelabah, tak dapat tidur malam dibuatnya, kan?

Penulis lebih teruja lagi apabila Ketua Whip DAP, Anthony Loke Siew Fook, tiba-tiba saja mengatakan Tony akan diganti oleh pemimpin pembangkang lain untuk berdebat dengan Arul! Kenapa perlu Tony digantikan sedangkan dia sendiri yang mencabar?

Tindakan DAP itu seolah-olah begitu takut sekiranya debat antara Tony dan Arul berlangsung. Kenapa? Kenapa takut melihat seorang ‘superhero’ berdebat dengan ‘pelawak’ yang penakut, tiada integriti dan gelabah menjadi tumpuan umum?

Kerana DAP sedar dan yakin bahawa Tony takkan mampu berdepan dengan Arul? Kerana DAP tahu siapa Arul sebenarnya? Kerana DAP mula tahu bahawa Arul bila-bila masa saja mampu ‘membaham lunyai’ Tony? Kerana DAP tahu Arul akan ‘sayur’kan Tony dengan mudah di depan seluruh rakyat Malaysia?

Baru tahu bahawa Arul itu adalah pendebat terbaik ketika beliau di RMC dulu? Baru tahu bahawa Arul itu bukan calang-calang orang? Baru tahu bahawa Arul selama ini terpaksa berdiam diri kerana terikat dengan etika dan integriti selaku saksi utama siasatan 1MDB? Baru tahu bahawa sekiranya dibenarkan berdebat nanti Arul akan ‘sekolahkan’ DAP habis-habisan?

Penulis yakin bahawa Arul sudah sekian lama bersabar apabila berdepan dengan pelbagai fitnah dan dakwaan tidak benar yang dilontarkan terhadap 1MDB. Penulis percaya, Arul sudah lama menggetap bibir menahan geram melihat 1MDB diperburuk dan dijejaskan imejnya sehingga mengganggu pelan rasionalisasi GLC itu. Namun ekoran dirinya yang ‘terikat’ dan patuh pada etika, beliau terpaksa mendiamkan diri sebelum ini…

Tapi bila dicabar berdebat secara terbuka, mungkin darah jantan yang ada pada Arul tiba-tiba panas mendidih. Kerana maruah diri dan sifat jantannya yang dicabar, mungkin Arul terlintas dihati untuk ‘mengacah’ Tony. Melucukan, sekali acah saja, bukan Tony saja yang gelabah, malah DAP pun kelam kabut dibuatnya!

Ya, benar. Debat tidak jadi diadakan. Sebagaimana yang dikatakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, debat berkenaan tidak boleh diadakan kerana ia akan menggangu siasatan PAC terhadap kes 1MDB seperti yang diarahkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Namun penulis terbayang, sekiranya debat antara Tony Pua dan Arul Kanda menjadi realiti dan berlangsung, apa agaknya yang akan berlaku? Penulis seolah-olah boleh terbayang muka Tony menangis tidak berlagu menyorok di belakang rostrum pentas. Silap-silap DAP pun tak nak mengaku Tony pemimpin mereka..! –Amir Hamzah/Utaranews.com

ep2p-5small