Cinta Kami Sepanas Suam-Suam Kuku

SAM_3202

DCCK 18 OCT 2015
PERINGATAN yang diberikan oleh orang tua-tua dulu memang ada kebenarannya.
Contah , `Berkahwin ni macam orang berniaga, ada untung ada kala rugi. Kalau masa untung jangan sombong, kerana apabila rugi awak tidak sendiri.’ Saya tak tahulah apakah itu bidalan atau kiasan, tetapi pada saya ia lebih merupakan nasihat kepada kaum wanita mahupun suami, sebab `langit tak selalu cerah. Ada masa mendung ada kala hujan’ itu cerita nenek saya,’’ kata Nurielina dalam emelnya dan ketika kami berbual.
“Oleh kerana saya dibesarkan oleh nenek jadi banyak masa saya dengar nasihat dan ceramah percuma nenek yang sentiasa dipasak ke telinga saya. Sebenarnya saya tinggal dengan nenek dan datuk selepas emak ayah bercerai. Lepas menjanda 2 tahun, emak kahwin lagi .
“Walaupun emak sudah bersuami, tetapi nenek minta saya terus dibesarkan. Supaya emak boleh tumpukan kepada suami dan anak-anak barunya nanti. Besarlah saya macam anak nenek, sesekali nenek bawa saya ke rumah emak. Tetapi saya langsung tak minat duduk dengan emak, sebab emak ada tiga orang anak masih kecil. Sedangkan saya sendirian di rumah nenek.
“Habis SPM saya sambung belajar tetapi tak sempat habis nenek kahwinkan saya dengan cucu Nenek Ijah jiran sekampung dan kawan baik nenek. Walaupun saya membantah, tetapi nenek banyak beri dorongan dan galakkan saya kahwin. Kata nenek orangnya kakitangan kerajaan, adik beradik tak ramai, emak bapaknya baik tak sombong. Oleh kerana saya pun memeng tak ada kenalan lain kecuali rakan sama sekolah. Saya pun terima aja.
“Nasihat nenek jaga suami macam nenek jaga datuk, jaga makan pakainya, jangan sombong pada jiran tetangga dan anggaplah mertua macam emak bapak sendiri. Layan mereka dengan baik. Mula-mula memang kami duduk dengan mertua, lepas enam bulan kami pindah ke rumah sewa kerana suami saya, Imran dapat tukar ke kawasan pinggir KL.
“Oleh kerana saya lambat hamil, maka saya ambil kesempatan bekerja sambilan mengajar BM di sekolah jenis kebangsaan. Peluang ini saya dapat kebetulan saudara Imran hendak bersalin dan sekolah memerlukan guru sementara. Saya terima peluang itu atas keizinan Imran juga.
“Mulanya saya fikir cuma sementara, tetapi saya dapat tambahan beberapa bulan lagi. Dari situ saya ambil kesempatan sambung belajar yang saya ketinggalan dulu. Tak sampai setahun bila duduk pereksa saya lulus, dan kerana peluang ada saya sambung belajar ambil diploma secara sambilan. Imran galakkan asalkan saya tak abaikan tugas rumah tangga.
“Oleh kerana rezeki juga saya dapat peluang bekerja dengan sebuah syarikat besar jadi kerani aja, saya tak kisah asalkan saya boleh sambung belajar. Memang susah, mana nak bekerja, belajar dan mengurus rumahtangga. Tetapi saya terpaksa lakukan kerana niat saya hendak membaiki diri, saya tak mahu bergantung sepenuhnya dengan suami.
“Nak jadikan cerita sedang berhempas pulas dengan tugas tersebut, saya mengandung pulak. Tambah teruk, sebab saya alahan awal mengandung. Akibatnya saya korbankan niat sambung belajar. Kerana saya hendak anak. Maklum dah 3 tahun kahwin belum ada anak.
“Lepas bersalin saya sambung belajar, kerana saya dapat bantuan jiran yang sanggup jaga anak saya ketika saya bekerja. Syukur. Saya lulus dan dapat diploma yang saya idamkan. Tak sampai dua tahun saya mengandung lagi, tetapi niat saya sambung belajar ambil ijazah terpaksa ditangguhkan. Maklum ada dua anak bukan mudah.
“Saya bersyukur syarikat beri kenaikan gaji dan pangkat kerana saya ada diploma. Bila gaji naik, bonos pun tentulah banyak.
“Imran orang pertama minta belanja makan di restoran besar. Saya tak lupakan nenek, tetapi ketika itu nenek tak berminat diajak makan meraikan kejayaan saya. Kata nenek saya balik kampung sudah cukup bahagia kepadanya. Jadi hanya telekong sebagai hadiah saya kepadanya kerana kejayaan saya. Sementara datuk saya hadiahkan kain pelekat dan sepasang baju Melayu.
“Sebenarnya ini bukan hadiah pertama saya untuk datuk dan nenek, sebaliknya setiap bulan saya pastikan mereka mendapat sumbangan.
“Nak jadikan cerita kerana terlalu sibuk dengan kerja, rumahtangga, anak dan belajar, saya hampir terlupa bertanyakan aktiviti Imran. Saya pentingkan makan minumnya cukup, pakaiannya terurus selain layanan sebagai isteri. Rupanya dalam pada saya sibuk, Imran juga sibuk dengan aktivitinya yang saya tak tahu di pejabat.
“Dalam diam dia ada kekasih budak baru masuk ke pejabatnya. Walaupun pekerja sementara tetapi keakrapannya buat teman Imran sangsi. Akhirnya budak baru itu ditukarkan ke tempat lain. Saya tak tahu cerita ini hinggalah dapat panggilan telefon dari teman Imran minta saya nasihatkan Imram jangan suka ponteng kerja dan ambil cuti sesuka hati.
“Bila saya tanya si pemanggil bila Imran cuti, setahu saya dia sentiasa pergi kerja. Jarang sangat kami bercuti sebab dia selalu kata sibuk. Katanya Imran selalu ambil cuti kecemasan dan cuti sakit. Cuti sakit? Terkejut berok saya. Kerana memang Imran tak pernah bercuti. Hinggakan kenduri kahwin adiknya pun dia cuma ambil sehari cuti. Nak hantar adik bertandang pun mulanya dia enggan, tetapi setelah emaknya paksa barulah dia ambil cuti.
“Lama saya termenong berfikir patutkah saya tanya Imran atau tunggu dan lihat gelagatnya. Akhirnya saya tunggu dan perhatikan tingkat laku Imran yang selama ini saya tak banyak lihat memikirkan dia seorang suami yang baik, jujur dan ikhlas.
“Tiga bulan Imran dalam perhatikan saya, memang dia banyak berubah. Patutlah dia suka wangi-wangi ke pejabat. Pakaian kemas. Balik biasanya lepas jam 9 baru sampai rumah, katanya trafik jam, dulu saya tak kisah, tetapi sekarang saya lebih teliti. Kalau saya tumpang kawan pun boleh balik cepat ke rumah, mengapa dia tidak?
“Saya masih boleh masak, berkemas, cuci pakaian dan menyapu rumah sebelum tidurkan anak-anak. Sedangkan Imran juga pergi kerja, balik makan dan terus menonton tv. Dan dia kata penat. Siapa lebih penat? Saya yang sudah buat macam-macam kerja ini atau dia?
“Setelah puas hati melihat perubahan Imran yang mencurigakan, satu hari saya telefon dia di pejabat, sebab nak test. Kata temannya dia cuti kecemasan. Apa hal? Jelas ini pembohongan Imran. Bila balik saya tanya dia cuti pergi mana. Terkejut berok Imran. Alasannya dia bekerja kawannya salah faham. Kerana tak mahu panjang cerita saya tanya siapa Atika, dan apa hubungan Imran dengannya. Dia terkedu!
“Tanpa menjawab soalan, Imran menyalahkan saya suka mengintip dan mencemburuinya. Saya lantas ingatkan dia saya sudah lama tahu sandiwaranya. Jika dia berhajat kahwin lagi, saya tidak ada halangan. Tetapi saya tidak mahu bermadu.
“Rupanya orang lelaki ni pantang dicabar, sebaliknya dia salahkan saya kerana lebih pentingkan belajar daripada jaga suami. Dia mula mengungkit kesabarannya benarkan saya sambung belajar hingga saya lalai melayannya. Saya tidak pernah lalai tanggungjawab, walaupun saya belajar sambilan dan bekerja saya tetap melayan hingga dapat anak. Sekurang-kurangnya dengan ilmu yang ada saya dapat naik pangkat dan gaji. Kerana itu saya mampu belikan dia kereta, sedangkan saya menumpang kawan ke pejabat. Apakah itu bukan hasil yang dia nikmati kerana kerja keras saya, kalau tidak masih dia ada motor sahaja.
“Siapa yang bayar ansuran bulanannya dan cukai jalan, kalau tidak gaji saya? Inilah hasil dari pengorbanannya. Apakah dia tak bersyukur? Kalau saya tak ada diploma dan tak naik gaji bolehkah kami pakai kereta? Bermula isu kecil, kini sudah jadi besar melarat jadi bertengkar. Kerana tersedar kesilapannya, dia keluar rumah.
“Kerana tidak puas hati 2 hari kami tak bercakap. Masuk hari ketiga, saya beri ingatan pada Imran, jika dia sayangkan anak-anak dan keluarganya, maka dia mesti berubah. Imran membisu. Lantas saya ingatkan dia saya tidak akan bayar ansuran kereta, kerana kereta itu pun namanya, dia mesti bayar sendiri. Itu membuat Imran tersentak. Dia kata mampu, tapi urusan rumah saya pikul sendiri jangan mintak duit dia.
“Kerana tak puas hati saya panggil mertua saya datang untuk bantu selesaikan masalah kami. Saya sudah bersedia ditakdirkan perkara buruk berlaku. Kerana saya dapat tahu hubungan Imran sudah terlalu jauh. Cuma mertua saja boleh selesaikan. Saya tak mahu nenek dan emak datang kerana saya tak mahu mereka susah hati. Biar saya selesaikan sendiri. Setelah dinasihati Imran mahu berubah. Tetapi saya tahu hatinya terguris.
“Ingatan saya pada Imran jaga hati saya jika mahu rumahtangga ini kembali harmoni. Saya tak pernah menduakan cintanya. Kerana perbuatannya cinta saya kepadanya umpama air panas tinggal suam-suam kuku, jadi jangan biarkan air suam ini terus sejuk membeku.
“Saya sudah terlalu banyak berkorban untuknya, walaupun saya baru bekerja. Sayalah dipaksa beli kereta, bayar upah pengasuh anak kerana saya nak bekerja, dan belaja makan minum di rumah. Saya terima, sebab saya berterima kasih kepadanya benarkan saya bekerja dan sambung belajar. Tetapi pengorbanan saya dipinggirkan kerana dia ikutkan hawa nafsunya.
“Peristiwa ini membuat saya berazam untuk terus sambung belajar, kerana saya sedar cinta Imran pada saya seumpama tinggal bara, bila-bila masa boleh jadi abu dan berterbangan ditidup angin. Saya perlu belajar untuk masa depan saya dan anak.’’ Itu cerita Nurielina tentang rumahtangganya yang baru berusia 11 tahun itu.

ep2p-2