Bila Kes Nafkah Tertangguh Anak-Anak Terseksa

DSCN3699

DCCK 25 OCT 2015
NURIN bertanya apakah ke arah seorang wanita apakah tujuan wanita berkahwin? Adakah dia benar benar mencintai lelaki itu sebelum berkahwin? Setelah nikah dan mempunyai keluarga adakah dia berhasrat hendak bercerai? Soalan akhir pasti dijawab tidak! Tidak! Tetapi mengapa anda diceraikan atau minta diceraikan? Semua soalan tersebut lahir dari hati wanita bergelar ibu tunggal yang keciwa kerana menanggung anak anak sendirian. Tanpa nafkah dari bekas suami, sedangkan mahkamah syariah sudah menjatuhkan hukuman.
Mengapa ramai suami engkar perintah mahkamah, dan tidak ada sifat bertanggungjawab mahu beri nafkah kepada anak-anak? Mereka melepaskan bebanan membesarkan anak-anak kepada bekas isteri. Seolah-olah cerai membebaskan mereka dari tanggungjawab. Inilah antara kekeciwaan yang dilahirkan oleh wanita di konvensyen Hak Wanita Dalam keluarga Islam di Malaysia di Kuala Lumpur baru baru ini.
Terlalu banyak masalah disuarakan oleh ibu tunggal, kerana tidak mendapat pembelaan. Tidak ada penguatkuasaan mahkamah walaupun ada undang-undang keluarga Islam. Apakah kerana undang undang sedia ada tidak kuat dan tidak seragam di seluruh Negara?
Kerana itu ramai wanita keciwa kerana suara mereka tidak didengar. Mereka memerlukan sebuah badan khas yang boleh dijadikan rujukan, yang dapat mendengar kelohan hati mereka dan boleh membuat mahkamah menjalankan tugasnya dengan adil.
Jadi apabila ada sebuah badan atau pertubuhan wanita menganjurkan seminar, forum, mahupun konvensyen yang sudi mendengar luahan hati dan masalah ibu ibu tunggal ini, sudah pasti ramai yang datang bercerita masalah mereka dengan lenangan air mata, melahirkan kekeciwaan meminta simpati agar nasib dan masa depan anak-anak mereka terbela. Pelbagai kelohan dan rasa tidak puas hati dilahirkan dengan harapan ada sebuah undang undang yang seragam dan menyeluruh digubal demi membela nasib ibu ibu tunggal.
Menurut mereka tuntutan cerai yang memakan masa bertahun-tahun bukan benda baru. Malah ramai yang melahirkan rasa bosan untuk berurusan dengan Mahkamah.
Menurut seorang peserta Izah, bukan setakat memakan masa lama, tetapi kerana ketidak tegasan pihak berwajib menjalankan hukuman kepada suami membuat dia keciwa. Banyak sebab masalah ini berlaku, antaranya, suami tidak mengaku menceraikan isteri, bila isteri memfailkan kes ke mahkamah. Suami sanggup bersumpah laknak menafikan dia telah menceraikan isterinya. Sedangkan di rumah suami sudah berkali-kali melafazkan cerai. Punca suami menafikan cerai kerana tidak mahu bayar hukuman cerai luar mahkamah.
Suami bukan sahaja menafikan melafazkan cerai, malah enggan hadir ke mahkamah mahupun disaman. Sebabnya kerana suami tidak takut mengengkari mahkamah sebab mereka tidak akan ditangkap atau didenda. Malah tidak pernah ada satu pun kes suami di penjara kerana hadir ke mahkamah apa lagi enggan beri nafkah kepada anak-anak. Tidak ada.
Denda RM1,000 menceraikan isteri luar mahkamah antara punca mereka menafikan telah menceraikan isteri masing-masing.
Untuk mengatasi perbuatan suami mempermainkan ceraikan isteri di luar mahkamah maka hukuman denda lebih tinggi RM10,000 dicadangkan supaya tidak ada lagi perbuatan suami mempermain-mainkan talaq yang mereka pegang.

Hukuman yang sama juga dikenakan kepada suami yang menceraikan isteri melalui telefon, SMS, Watapp dan sebagainya, kerana perbuatan mereka sama seperti menjatuhkan maruah ibu kepada anak-anak mereka, yang langsung tidak bernilai.
Masalah kes cerai yang terlalu lama tertangguh di mahkamah juga dibimbangi boleh berlaku kes-kes zina. Perbuatan suami sengaja melewat-lewatkan cerai juga memberi nafkah semata-mata dengan niat mahu menganiaya bekas isteri mereka supaya si isteri menderita zahir batin selain menyusahkan lagi hidup mereka terutama kepada isteri tidak berkerja.
Jadi supaya kuasa mahkamah syariah dihormati, maka penguatkuasaan hukuman penjara hendaklah dilaksanakan jika suami enggan datang ke mahkamah beberapa kali. Malangnya hingga kini suami memang tidak pernah gentar mengengkari saman mahkamah kerana mereka tahu tidak akan ada penguatkuasaan dilaksanakan.
Peserta juga mencadangkan juga supaya undang-undang keluarga Islam diselaraskan seluruh Malaysia, supaya pentadbirannya lebih telus dan martabat mahkamah syariah lebih tinggi. Selain itu kursus, latihan hendaklah diberikan kepada para hakim, pegawai pendakwa dan pegawai undang-undang supaya tindakan yang dilaksanakan lebih berkesan dan segera.
Memandangkan banyaknya kes perceraian tertangguh, tuntutan hadanah dan tuntutan nafkah anak-anak yang memakan masa bertahun-tahun lamanya, dicadangkan supaya bilangan atau jumlah hakim, pegawai pendakwa, dan pegawai mahkamah ditambah di peringkah mahkamah syariah rendah ataupun mahkamah syariah tinggi.
Selain itu, kaum wanita yang menuntut cerai dan sebagainya runsing kerana mereka terpaksa berdepan dengan mahkamah yang berbeza pentadbirannya antara satu negeri dengan negeri yang lain. Malah masalah juga timbul bila kes yang dituntut tidak dibuat dalam sebuah daerah tertentu. Tetapi jika penyelarasan undang-undang keluarga Islam dilaksakan secara menyeluruh, semua masalah berbangkit dapat diselesaikan lebih mudah.
Selain itu, perkara yang lebih memeningkan wanita bila mereka terpaksa berurusan dengan mahkamah mereka terpaksa membuka banyak fail untuk setiap kes yang dituntut. Sebagai contoh, wanita yang menuntut cerai terpaksa juga membuka fail tuntutan hadanah, tuntutan nafkah anak-anak dan nafkah edah, fail tuntutan harta sepencarian dan sebagainya.
Bertambah pening apabila wanita yang `gelap’ undang-undang ini terpaksa memisahkan tuntutan sama ada membuat tuntutan perlu dibuat di mahkah syariah rendah untuk tuntutan kurang RM100,000 atau ke mahkamah tinggi jika tuntutan mereka melebihi RM100,000. Kerana terlalu banyak buka fail kes yang ntung adalah peguam.
Bukankah lebih baik jika hakim di beri kuasa selesai kes perceraian, hakim menentukan jumlah nafkah anakk dan nafkah edah diberikan kepada bekas isterinya.
Sebab masalah sering timbul sekiranya kes percerian 5 tahun belum selesai, maka sepanjang tempoh tersebut si isteri tidak boleh menuntutan nafkah untuk anak-anaknya apa lagi nafkah edah. Ini satu penyeksaan terhadap ibu tunggal terutama jika dia tidak bekerja. Apa anak-anak hendak makan, hendak bersekolah dan bertukar pakaian? Jika tidak ada nafkah.
Lebih menderita jika si ibu tunggal ini tidak ada kaum keluarga untuk membantu dan dia tidak bekerja. Di mana harus dia mendapatkan duit untuk membeli makan anak-anaknya. Sedangkan si suami selesa melayari hidup bahagia bersama isteri baru.
Bermakna kata si isteri terpaksa berkerja berhempas pulas menanggung anak-anaknya, seolah olah itulah hukuman yang dijatuhkan ke atasnya setelah bercerai. Sedangkan dia tidak minta diceraikan. Sementara bekas suami bebas boleh berkahwin lain dan memberi alasan tidak mampu beri nafkah kerana ada tanggungjawab lain sebab sudah berkahwin dan ada anak. Apakah ini kehendak mahkamah? Adakah mahkamah sedar masalah dan beban terpaksa ditanggung oleh bekas isteri tadi bersama anak-anaknya?
Harapan ibu-ibu tunggal, hakim hendaklah menggunakan budi bicara mereka dan dengan kuasa yang ada padanya hendaklah keluarkan perintah kepada bekas suami untuk beri nafkah anak-anaknya dan nafkah edah kepada bekas isteri sebaik sahaja suami selesai melafazkan cerai.
Tidak perlu bekas isteri cari peguam baru buka fail lagi untuk buat tuntatan nafkah anak-anak. Kecuali jika si isteri tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan hakim, bolehkan wanita tadi buka tuntutan baru. Tetapi dalam masa yang sama nafkah yang ditetapkan oleh hakim hendaklah diteruskan juga, sementara hukuman baru dipersetujui.
Masalahnya anak-anak tidak boleh `ikat perut’ sementara menunggu hakim membicarakan tuntutan nafkah yang pasti memakan masa entah berapa tahun lagi.
Penentuan jumlah nafkah anak-anak dan nafkah edah yang dibuat hakim mahkamah mestilah berdasarkan jumlah pendapatan atau gaji si ayah yang mestilah dibuktikan melalui akuan bersumpah bukan berdasarkan pengakuan mulut sahaja .
Masalah juga sering melanda kaum wanita apabila suami berkahwin lagi di luar negara. Wanita tidak menentang poligami, tetapi dimanakah keadilan apabila tuntutan wanita tidak dipedulikan untuk nafkah anak-anak. Mahkamah hendaklah menentukan nafkah anak-anak diberikan oleh suami sebaik sahaja si suami mendaftarkan perkahwinan barunya di negeri ini.
Di samping itu mahkamah hendaklah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau lebih tinggi dikenakan kepada suami yang berkahwin di luar Negara. Tujuannya, supaya si suami tidak mempermainkan mahkamah untuk berpoligami.
Berdasarkan banyaknya berlaku kes keganasan rumahtangga lebih 3,300 kes dilaporkan pada tahun lalu sahaja, di mana suami mendera isteri secara fizikal, maka di sarahkan satu latihan atau kursus mahupun seminar diadakan khusus untuk pegawai polis yang bertanggungjawab menerima laporan daripada pengadu (isteri) di adakan.
Tujuannya supaya anggota polis lebih memahami dan sensetif terhadap masalah yang dihadapi oleh kaum wanita mangsa keganasan rumahtangga ini, supaya mangsa tidak permainkan atau melewatkan tindakan terhadap si pelaku.
Kebiasaannya isteri tidak mahu buat laporan polis walaupun mereka dipukul dianiaya beberapa kali oleh suami, sebab mereka malu dan masih sayangkan suami, tetapi jika badan sudah tidak berdaya lagi dan jiwa sudah terseksa, maka mereka terpaksa membuat laporan, maka kerana itu tolong janganlah suruh wanita itu pulang dengan alasan ini bukan kes keganasan, sebaliknya masalah dalam rumahtangga. Esok lusa awak akan baik semula. Perbuatan ambil mudah ini ada kalanya mengundang maut. Apakah pihak polis mahu bertanggungjawab jika berlaku?
Inilah antara intipati perbincangan, usul, harapan dan permintaan yang disampaikan oleh kaum wanita supaya Undang Undang Keluarga Islam yang ada sekarang diberi nafas baru dan diselaraskan di seluruh Negara, demi masa depan anak anak mereka juga kaum wanita yang senasib termasuk kepada wanita yang bakal berkahwin.
Jika satu wanita bersuara, satu pertubuhan wanita bergerak tidak memberikan kesan, maka diharap lebih banyak lagi pertubuhan pertubuhan wanita Islam mengadakan konvensyen yang sama supaya nasib dan masa depan wanita terbela demi anak-anak generasi akan datang.

ep2p-5small