VIDEO Hilang Di Hutan 47 Hari, Dua Kanak-Kanak Orang Asli Ditemui Selamat

Dua kanak-kanak perempuan orang asli yang ditemui selamat kelihatan kurus kering dan tidak bermaya.

GUA MUSANG: Pasukan penyelamat yang melakukan operasi pencarian di Sungai Perias,  menemui dua kanak-kanak orang asli yang hilang sejak lebih sebulan lalu dalam keadaan selamat di sini pada Jumaat.Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengesahkan penemuan tersebut.

Difahamkan dua kanak-kanak itu dikenal pasti sebagai Norieen Yakob, 10, dan Mirsudial Aluj, 11.

Pemberita yang berada di lokasi pencarian melaporkan bahawa kedua-dua mangsa berada dalam keadaan lemah dan kelihatan kurus.

Kakitangan perubatan di SK Tohoi memberikan rawatan dengan serta-merta sebelum mereka dihantar ke Hospital Besar Gua Musang kira-kira pukul 2 petang Jumaat.

Kanak-kanak orang asli yang hilang: Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Noreen Yaacob, 10; Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Haikal Yaacob dan Mirsudiar Aluj, 11 (tiada dalam gambar).

Pada petang Khamis, sebahagian rangka seorang kanak-kanak yang belum dikenal pasti jantina, turut ditemui di Sungai Perias, kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah berkata rangka berkenaan iaitu tengkorak dan beberapa batang tulang rusuk, ditemui pada 3.50 petang.

Beliau berkata rangka itu ditemui kira-kira 800 meter dari mayat Sasa Sobrie, 8, salah seorang daripada tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi yang hilang sejak Ogos, yang ditemui petang Rabu.

Pada 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Pos Tohoi, bertindak melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka  dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Tujuh murid terbabit ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11, – kesemuanya berasal dari Kampung Gawin dan Penad.

video