Topup tak kena GST mulai November ini.

Pada 1 November akan datang, harga kad tambah nilai prabayar telefon bimbit dijangkakan bakal kembali kepada harga asal iaitu harga sebelum perlaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Menurut Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), pihak mereka akan mengumumkan penurunan harga kad prabayar ke harga asal tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkata, Kastam akan mengetengahkan perkara ini dan perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan dibuat bagi memastikan pengguna tidak perlu menjadi pak sanggup untuk menanggung kadar bayaran tambahan seperti sebelum ini.

Tindakan undang-undang juga bakal diambil sekiranya terdapat mana-mana syarikat telekomunikasi (telco) yang masih berdegil dan tidak mahu melaksanakan langkah yang telah ditetapkan itu.

“Bagaimana telko mahu caj, mereka kena fikirkan cara itu. Yang penting, rakyat beli RM10 dapat nilai RM10. Kita mahu Kastam buat susulan dengan SKMM dan buat pengumuman 1 November ini,” kata Johari.

Jika sebelum ini pihak telko memberi alasan bahawa sistem computer mereka masih belum bersedia tapi alasan tersebut sudah basi kerana tempoh untuk ubah suai sudah lama diberikan.

“Jika pihak telko masih memberi alasan tidak bersedia sekalipun, mereka perlu patuh arahan ini, iaitu mengekalkan harga kad tambah nilai seperti asal.

“Sebab, pada logiknya, kalau telko tidak bersedia, kenapa pengguna pula kena tanggung kos tambahan,”katanya lagi.-TiraGomez/UtaraNews.com

ep2p-5small