Sakit Jiwa Dapat Menantu Tak Tahu Bersyukur

 

SAM_4209

DCCK  23  OGOS  2015

KISAH Nuruliman berjudul `jangan putuskan ikatan isteri dengan ibunya’ yang dipaparkan minggu lalu menarik perhatian seorang ibu mengadu tentang nasibnya yang bukan sahaja disingkirkan, dibenci malah dihalang oleh menantunya berjumpa dengan anak dan cucunya. Dengan alasan mertuanya orang lain, dan seorang wanita selepas berkahwin tidak boleh berhubung dengan ibunya. Tetapi mesti akur setiap kehendak suaminya.

“Saya tak nafikan seorang isteri mesti patuh kepada suaminya. Tetapi masalahnya kenapa dia suruh saya jaga anak-anaknya kalau bencikan saya?  Bila saya tanya, katanya dia memang  tak suka saya jaga anak-anaknya, tetapi anak saya yang degil.

“Masalahnya, kata anak saya gajinya tak cukup nak hantar anak kepada pengasuh. Sebab semua urusan rumah dia kena pikul, suaminya hanya pandai perintah. Itu tak boleh, ini haram. Tetapi tak bagi duit untuk makan minum anak bini. Sebulan dia beri paling banyak RM200 mana cukup bayar upah pengasuh?’’

Itu cerita puan  Zaiton ketika menghubungi penulis melalui telefon Ahad lalu. Puan Zaiton dikenalkan kepada saya melalui peminat lama saya yang kisahnya pernah disiarkan dalam DCCK beberapa tahun lalu.

“Hampir  8 tahun mereka berkahwin hidup anak saya Ezzan memang tak pernah tenteram, semua yang dibuat setiap hari mesti dilaporkan kepada suaminya, sama ada selepas dan sebelum pergi kerja. Tetapi bila anak saya mengadu barang makan di rumah sudah habis, suaminya Izhar akan beri alasan sibuk tunggu esok baru boleh beli.

“Semua tunggu besok. Tetapi esok hari dia tak akan beli, alasanya terlupa ataupun dia balik rumah lewat malam pergi ziarah ibu bapanya yang tak berapa sihat. Jadi kerana perut dah lapar dan anak nak susu, maka anak saya terpaksa makan di rumah saya semasa menjemput anaknya atau pinjam duit saya untuk beli susu.

“Bukan sekali dua benda seperti ini berlaku, sudah berates-ratus kali, saya dah `masak’ dengan   alasannya `tunggu esok boleh beli.’ Tetapi percayalah esok pun Izhar tak beli. Sebenarnya dia tidak memang tak mahu keluar duit beli barang makan. Sebaliknya harapkan isterinya sediakan semuanya. Lebih tepat isteri tanggung makan minumnya.

“Oleh kerana duit selalu tak cukuplah sebab itu Ezzan suruh saya jaga anaknya. Katanya dia sudah beritahu Izhar dia tak cukup duit bayar duit pengasuh, tapi Izhar buat pekak. Emak Izhar tak boleh jaga budak kecil, sebab faktor umur dan penyakitnya.

“Sebenarnya saya tak faham kenapa dia bencikan saya. Saya tak paksa dia duduk rumah saya, mereka boleh pindah. Belajarlah hidup berdikari. Tetapi peliknya nak duduk berasing, tetapi tak mahu keluar duit. Semua suruh isteri tanggung. Sebenarnya sudah banyak kali mereka bergaduh. Dan tiap kali gaduh, Izhar halau Ezzah keluar rumah, terpaksalah saya atau suami pergi ambil Ezzan bersama anak kecilnya bawa balik rumah. Tetapi beberapa hari lepas tu Izhar suruh Ezzan balik. Kalau tak balik dia buat bising depan rumah saya, jadi Ezzan terpaksa balik.

“Bab kena pukul, kena sepak memang dah jadi perkara biasa dalam hidup Ezzan tetapi dia sembunyikan daripada pengetahuan saya, sebab dia rasa malu tersalah pilih suami yang kaki pukul dan baran. Sebab sebelum kahwin Izhar langsung tak tunjukkan sifat-sifat seperti itu, semuanya baik dan lemah lembut, tetapi bertukar setelah berkahwin.

“Sebenarnya kalau Izhar fikir panjang dia patut bersyukur kepada Allah kerana hidupnya lebih senang tinggal di rumah saya, sebab saya ada 2 orang anak, Ezza anak perempuan tunggal saya, sementara adiknya sudah bekerja dan duduk di tempat lain.

“Tak ada siapa nak ganggu hidup Izhar. Dan saya sediakan segalanya untuk Ezzan, rumah kami ini kami beri Ezzan, kami belikan kereta untuk kemudahannya pergi kerja.  Tetapi saya tak tahu mengapa Izhar bencikan saya malah dia mahu pisahkan saya Ezzan.

“Kerana masalah sewa rumah jugalah Ezzan sering kekeringan duit. Kata Ezzan  dia tak mampu sendirian mengurus makan minum dan urusan rumah. Sebab Izhar susah nak kelur duit belanja. Oleh kerana simpati dan kesian dengan kehidupan Ezzan yang sering terdesak maka saya bercadang belikan dia sebuah rumah.

“Dah memang rezeki Ezzan, selepas melahirkan anak kedua, kami dapat tahu ada orang nak jual rumah. Pada kesempatan itu saya tanya Ezzan adakah dia mahu beli rumah sendiri, kami janji akan bayar setengah harga rumah tersebut bakinya Ezzan ansur dengan bank. Ezzan setuju.

“Kerana saya ada kebun di kampung, maka saya jual kebun tersebut untuk bayar setengah duit pendahuluan rumah Ezzan. Tujuan saya supaya Ezzan tak perlu bayar banyak hutang bank. Maklum kadar faedah bank tinggi.

“Proses beli rumah tersebut berlaku 4 tahun lepas, harga rumah taklah tinggi seperti sekarang. Saya mampu bayar setengah harga rumah tersebut, termasuk juga bil air, elektrik serta cukai pintu dan tanah yang sudah 6 tahun tak berbayar. Bagaimanapun saya bersyukur hasil jual kebun  hasrat saya terlaksana. Niat saya cuma satu hendak bantu anak saya memiliki rumah sendiri dan dia tak perlu bayar ansuran bulanan yang tinggi.

“Sebenarnya sebelum suami saya meninggal dahulu, dia berpesan supaya rumah kami nanti berikan kepada Ezzan, dia anak perempuan, sekolah tak tinggi, gaji tak besar, jadi bila ada rumah sendiri tentulah boleh membantu kurangkan belanja hidup keluarganya nanti. Saya pegang amanah tersebut, dan memang niat saya nak berikan rumah kami ini kepada Ezzan, tetapi sekarang lain jadinya, kami hanya boleh merancang, tetapi Allah menentukan.

“Sebab itulah saya berusaha cari rumah lain untuk Ezzan. Tetapi masalahnya Izhar mahu kawal hidup Ezzan , kerana itu selepas tiga bulan berkahwin, mereka pindah. Sejak itulah bermulanya titik hitam dalam hidup Ezzan. Dia bukan sahaja selalu di tengkeng, malah pukul. Lebih teruk dia selalu di halau keluar rumah.

“Memang saya tak lihat sendiri, tetapi jiran beritahu. Namun Ezzan anak dan isteri yang baik dia tidak pernah mengadu kepada saya. Bila ada tanda lebam di wajahnya alasannya terhantuk pintulah, jatuhlah, dan macam-macam, tak pernah bercerita Izhar yang pukul. Sebab selalu diam diri inilah Izhar jadi besar kepala dan sering memukul Ezzan setiap kali kehendaknya tidak dipatuhi. Atau dia akan tinggalkan Ezzan beberapa hari. Dia akan pulang bila Ezzan pujuk dan mengaku akan patuh pada perintahnya. Jika tidak dia halau Ezzan keluar rumah

“Saya rasa sedih Izhan memang menantu tak tahu bersyukur. Sejak saya belikan rumah untuk Ezzan dia terus tak mahu bantu belanja beli makan minum di rumah, apa lagi beli susu anak. Alasan popularnya `Esok nanti beli.’ Tapi anak tak faham bahasa minum susu esok. Bila lapar dia hendak susu. Tak dapat dia menangis.

“Satu lagi perangai Izhar bila baran dia akan tinggalkan Ezza tak kira di tepi jalan atau di kedai jika kehendaknya tidak dipatuhi. Perbuatan terakhirnya yang amat memalukan dia tinggalkan Ezza di rumah saudara saya di kampung kerana menziarah saudara yang sakit. Dia balik dengan anak kecilnya ke KL. Ezza terpaksa tumpang sepupunya balik ke rumah. Bila sampai rumah Izhar tak beri dia masuk rumah. Ezzan bantah, kerana itu rumahnya, kerana tak puas hati dia balik ke rumah emaknya dengan membawa anaknya yang kecil berumur 2 setengah tahun. Ezzan tak benarkan tapi Izhar tolak Ezzan ke tepi.

“Ezzan halang sebab anaknya masih menyusu badan. Selepas 2 hari tak balik Ezzan cari anaknya di rumah mertuanya, Ezzan dihalau keluar. Ezzan dengar anaknya menangis. Puas Ezzan pujuk Izhar tetapi gagal. Lepas seminggu Izhar hantar anaknya ke rumah kerana demam panas. Dia tak bawa ke hospital. Memang menyiksakan. Saya lihat mata cucu saya bengkak dan merah kerana menangis, badannya lembik sebab tak makan dan tak dapat susu badan.

“Kerana terlalu geram Ezzan failkan tuntutan cerai. Ezzan sudah hilang rasa malu, dia ceritakan setiap perbuatan ganas Izhar kepadanya selama ini selain tidak beri cukup nafkah makan minum kepadanya dan anak-anak. Dia sudah tidak mampu lagi menanggung makan minum Izhar, hutangnya dengan kawan-kawan sudah bertambah, sebab malu minta pada saya.

“Selepas buat tuntutan cerai ke mahkamah syariah, Ezzan pindah ke rumah saya. Sebab Izhar sudah ambil semua perabut rumah, peti sejuk, mesin basuh, katil dan tv. Kata Ezzan dia sudah bersedia jadi janda walaupun dalam usia muda. Yang penting hatinya senang.

“Tetapi apa yang mengejutkan kami bila di mahkamah, Izhar tuntutan harta sepencarian atas rumah yang baru 4 tahun saya belikan untuk Ezzan. Kata Izhar dia berhak. Sedangkan dia tidak keluar duit sesen pun ketika beli rumah tersebut, saya yang bayar. Di sini saya nak tanya adakah Izhar ada hak ke atas rumah tersebut. Tak cukup dengan itu Izhar juga akan tuntut rumah yang saya duduk ini, sebab saya dah tukar nama Ezzan. Adakah Izhar berhak? Itu pertanyaan Puan Zaiton dengan seribu kekesalan dan kesedihan dengan sikap dan perbuatan menantunya yang tak tahu bersyukur.

 

 

ep2p-2