Pemilihan Jurulatih Harimau Malaya, FAM Dalam Dilema

malaysiau232001APABILA isyarat jelas terpancar bahawa Allan Harris menghitung hari selaku jurulatih kebangsaan pada awal 2004, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menugaskan dua individu – pengarah teknikalnya dan setiausaha agungnya – melaksanakan proses temu duga bagi melantik supremo baharu.

Maka Karl Weigang dan Datuk Dell Akbar Khan menemu bual Bob Houghton di Kuala Lumpur manakala Dragoslav Stepanovic dan Bertalan Bicskei ditemu duga di Frankfurt, Jerman.

Laporan temu duga itu kemudiannya dikemukakan kepada majlis FAM yang dipengerusikan presidennya, Sultan Ahmad Shah.

Bicskei hadir dengan rekod membimbing pasukan Hungary menjuarai Kejohanan Eropah Bawah 18 tahun pada 1984 dan pasukan Bawah 21 tahun negara itu dua tahun berikutnya.

Stepanovic pula menerajui kemenangan Piala Jerman buat Eintracht Frankfurt pada 1993 manakala Houghton dikenali sebagai Sweden, Greece, Arab Saudi dan Amerika Syarikat. Kesudahannya Bicskei dipilih menggantikan Harris.

Harris yang pernah membantu Terry Venables di Barcelona, menghabiskan tempoh dari awal 2001 hingga pertengahan 2004 mendidik generasi yang berteraskan pemain kelahiran 1979, 1980 dan 1981, membabitkan tugasan kelayakan Kejohanan Asia Bawah 20 tahun pada 2000, pra-Piala Dunia 2001, Sukan SEA 2001 dan 2003, Piala AFF 2002, pra-Piala Asia 2003 dan pra-Olimpik 2003.

Dalam tempoh empat tahun itu, Harris diberi ruang menyemai benih dalam membentuk acuannya tersendiri, dibantu kelompok pertama yang muncul daripada program akademi FAM, termasuk Syamsuri Mustaffa, Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadzli Idrus, Zairo Anuar Zalani, Akmal Rizal Rakhli dan Juzaili Samion.

Antara jurulatih yang menjadi penolong Harris pula termasuk B. Sathianathan, Norizan Bakar dan Zainal Abidin Hassan. Dua daripadanya menjadi jurulatih pasukan senior.

Bicskei pula hanya bertahan dari Julai 2004 hingga hujung 2005, satu tempoh yang diwarnai latihan keras, pelbagai isu dan kontroversi serta pengunduran Weigang dan Dell.

Akhirnya tanpa sokongan dua individu yang mengesyorkan namanya, jurulatih Hungary itu ditunjuk jalan keluar.

Sejak Bicskei menjadi jurulatih import terakhir menduduki kerusi panas itu, Norizan, Sathianathan, Datuk K. Rajagobal dan Dollah Salleh bersilih ganti ditugaskan memikul maruah pasukan negara manakala Datuk Ong Kim Swee sudah dua kali melaksanakan tanggungjawab secara sementara.

Persoalan yang berlegar dalam minda pembuat keputusan dalam FAM ketika ini ialah sama ada jurulatih asing atau anak tempatan diberi tugas itu selepas Dollah mengumumkan peletakan jawatan selepas diaibkan 10-0 oleh Emiriah Arab Bersatu September lalu.

Daripada empat jurulatih itu hanya Rajagobal diberi tempoh sepanjang Harris – bermula dengan tanggungjawab sebagai jurulatih pasukan Bawah 21 tahun disusuli Bawah 20 tahun pada 2004, projek Harimau Muda dari 2006 hingga 2009 sehinggalah dia dilantik menggantikan Sathianathan.


Dari 2009 hingga 2013, Rajagobal berdepan pelbagai misi termasuk Sukan SEA 2009, Piala AFF 2010 dan 2012, Sukan Asia Guangzhou 2010, pra-Piala Dunia 2011 dan pra-Piala Asia 2012/13.

Ringkasnya Rajagobal yang pernah menjadi penolong Ken Worden pada awal 90-an, bukan sekadar memiliki kelayakan yang mencukupi, bahkan bertuah memiliki masa yang panjang bagi menerapkan falsafahnya menerusi generasi baharu.
Perancangan Rajagobal berteraskan generasi pemain yang lahir pada dan selepas 1986, termasuk Norshahrul Idlan Talaha, Amirulhadi Zainal, Safiq Rahim, Zaquan Adha dan Aidil Zafuan Abdul Radzak – semuanya pernah menimba ilmu menerusi projek bersama FAM dan Kementerian Pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Rata-rata hari ini peminat berhujah dari tiga aspek:

1. Jurulatih tempatan – Kim Swee dilihat paling layak tetapi sejak memenangi emas Sukan SEA 2011, rekodnya kurang memberangsangkan. Apakah sasaran paling sesuai untuk anak tempatan? Apakah separuh akhir Piala AFF edisi ini dan final pada edisi seterusnya, seperti yang termaktub untuk Dollah?

2. Jurulatih import – jika ini pilihannya, jurulatih baharu harus ada akses kepada bantuan dan sokongan dari negara asalnya dari aspek pembangunan, program tindik (attachment) dan pendidikan jurulatih. Namun soalnya berapa lama tempoh yang diberikan untuk memulihkan imej pasukan negara?

3. Jurulatih import yang mengenali bola sepak tempatan – contoh ketara Bojan Hodak, Robert Alberts dan George Boateng. Namun kejayaan mereka didokong pemain import. Apakah dengan tenaga anak tempatan jurulatih yang disebut mampu mengangkat martabat pasukan negara?

Jawatankuasa Bertindak FAM yang dipengerusikan Timbalan Presiden, Datuk Mokhtar Ahmad, sedang mempertimbangkan pelbagai opsyen, termasuk membuka pintu kepada calon luar menerusi proses pengiklanan dan temu duga untuk kedua-dua jawatan – pasukan Bawah 23 tahun dan skuad senior.

BACA JUGA: Nyawa untuk team bola kita

Dengan idea-idea baharu yang dicadangkan oleh Pengarah Teknikal, Fritz Schmid dan dibantu Sathianathan yang juga menganggotai jawatankuasa itu, input daripada dua individu yang ada latar belakang teknikal penting dalam merencanakan masa depan bola sepak negara di saat FAM dilihat seolah-olah seperti anak ayam kehilangan ibu.

Jika jurulatih import yang dipilih, dia harus memastikan ada perpindahan pengetahuan kepada anak tempatan.

Jika jurulatih tempatan yang dilantik, dia tidak harus dipaksa mengemukakan senarai skuadnya kepada tokoh-tokoh tertentu di luar FAM.

Sumber Stadiumastro

Comments

comments

ep2p-2