Niat Aniaya Isteri, Tetapi Anak-anak Jadi Mangsa

 

DCCK  6  SEPT  2015

“SAYA sering diajukan soalan `mengapa suami tak mahu beri nafkah anak-anak kepada bekas isteri setelah bercerai?’’ Satu soalan yang amat sukar sungguh untuk saya jawab. Biasanya jawapan kurang tepat saya berikan, kerana ia banyak bergantung kepada masalah peribadi si suami itu sendiri. Sama ada dia ikhlas dan bertanggungjawab untuk membesarkan anak-anaknya ataupun mahu membalas dendam kepada bekas isterinya selepas bercerai.

“Menurut pandangan Puan Nuramira ketika kami bertemu pada majlis Hari Raya baru-baru ini  persoalan ini boleh diselesaikan jika setiap lelaki yang telah bercerai itu tahu tanggungjawab mereka. Dan kegagalan mereka menunaikan tanggungjawab mesti dijatuhkan hukuman oleh pihak berkuasa. Jika hukuman dijalankan kepada suami jenis ini, maka masalah isteri tak dapat nafkah anak-anak selepas bercerai  boleh diselesaikan dengan baik.

“Namun tidak dinafikan memang  ada suami yang tahu tanggungjawab mereka, tetapi sengaja tidak mahu beri nafkah kerana dalam diri mereka telah tertanam sifat mahu balas dendam terhadap bekas isteri yang telah bertukar jadi musuhnya. Ada juga beri alasan tidak bekerja ataupun telah berkahwin baru dan mereka tak mampu untuk beri nafkah anak.

“Masalah tidak bekerja atau bergaji kecil bukan alasan, tidak mahu beri nafkah, kerana sebenarnya mereka tamak dan sengaja mahu menganiaya bekas isterinya, supaya hidup dalam serba kesusahan. Sebenarnya perbuatan suami seperti ini bukan menganiaya isteri sahaja, bahkan turut menganiaya masa depan anak-anak, terutama jika bekas isteri tinggal di kampung apa lagi di bandar yang serba mencabar,’’ kata Nuramira.

Isu suami tak beri nafkah ini jadi tajuk perbualan kami ketika penulis bertemu dengan beberapa orang rakan dalam satu majlis sambutan Raya baru-baru ini. Isu ini tibul ketika rakan kami Imah  beritahu rakan kami Asiah meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri selama seminggu.

“Kami terkejut dan kesal kerana tidak diberitahu lebih awal semasa arwah tidak sedarkan diri.  Imah minta maaf kerana beliau sendiri lambat diberitahu, kerana sibuk dengan majlis perkahwinan anak saudaranya, selain majlis kenduri saudara ke Mekkah. Kerana lewat dapat tahu dia hanya sempat melawat sehari sebelum arwah meninggal dunia. Kerana terlalu terkejut beliau terlupa untuk menyampaikan berita kepada rakan-rakan lain.

“Menurut cerita Imah,  Asiah jatuh di ruang tamu di rumahnya, terus tidak sedarkan diri. Sepanjang Asiah di rumah sakit, suaminya tidak menghubungi kami, kerana beliau sendiri tidak tahu siapa rakan-rakan Asiah. Jadi jiran tetangga dan saudara sahaja yang pergi menziarah di hospital. Dari mulut jiran yang menziarahi inilah Imah dapat tahu, tetapi sudah terlambat. Namun, kami merancang untuk berjmpa dengan suami arwah tanda simpati.

“Imah bercerita dia sendiri kesal tidak dapat menziarah arwah lebih awal, kerana mereka dulu berkawan baik dan mengetahui banyak tentang pengorbanan arwah semasa hayatnya. Cerita Imah membuat kami mengalirkan air mata. Kerana semasa hayatnya Asiah tidak pernah bercerita tentang kepayahan hidupnya sebelum beliau berkahwin dengan suami barunyanya sekarang. “Asiah cuma bercerita dia ada 5 orang anak dengan suami dulu, 3 orang sudah pun berkahwin dan dia mempunyai 4 orang cucu. 2 lagi anaknya masih bujang telah bekerja tetapi tidak tinggal bersamanya. Itu sahaja cerita yang kami tahu tentang Asiah, dia menyembunyikan keperitan hidup yang yang pernah dihadapinya dahulu.

“Tetapi dengan suami barunya dia menceritakan masalahnya, penyakit yang dihadapinya, dan kecacatan yang dialaminya. Walaupun keduanya berusia 50an tahun, tetapi mereka  sama-masa memerlukan dan mencukupkan kekurangan masing –masing. Kerana itu hidup mereka sepanjang pengetahuan kami  nampak amat cerita, terutama Asiah dia  sentiasa gembira. Asiah cuba menghiburkan hatinya yang cukup menderita dahulu.

“ Asiah berkahwin dalam usia muda. Kata emaknya lepas kahwin hidupnya mungkin boleh senang, tetapi malangnya tambah mendeirta. Dia bekerja keras membesarkan anaknya sendiri dari seorang jadi 5. Masa mudanya dia pernah jadi penorah getah, jadi tukang masak, tukang cuci, masuk RELA, dan melakukan apa juga pekerjaan termasuk bercucuk tanam dan menjual hasil sayuran semata-mata untuk mencari duit buat membesarkan dan menghidupkan anak-anaknya yang bertambah setiap tahun .

“Bukan saya nak ceritakan keburukan bekas suaminya, tetapi kepada sayalah Asiah sering bercerita dalam tangisnya tentang penderitaannya dulu. Dia jadi mangsa dipukul kerana tak dapat beri duit untuk suaminya. Suaminya malas bekerja, tetapi entah macam mana ada pulak wanita yang sukakan dia dan sanggup bermadu. Asiah tak peduli kalau suaminya kahwin lagi, sebab dia tak terdaya nak tanggung bekas suaminya  terutama nak beli rokok dan tikam ekor.

“Sebaliknya kata Asiah dia bersyukur, sebab bila dah kahwin lagi, suaminys tidak seksa dia lagi. Sebab setelah kahwin baru, dia mahu pulak bekerja untuk tanggung makan minum anak isterinya. Isteri barunya tak bekerja. Sedangkan semasa dengan Asiah, suaminya tak mahu bekerja, dia minta duit dari Asiah. Tetapi suaminya tak mahu bagi nafkah untuk anak-anaknya. Jadi terpaksalah Asia membanting tulang cari rezeki.

“Kerana tak cukup duit jugalah Asiah terpaksa buat dua kerja sehari. Tetapi nasibnya malang sungguh. Dua kali dia jadi mangsa dilanggar. Kes pertama dia dilanggar motor ketika menunggung basikal balik dari menorah. Kali kedua dia dilanggar kereta. Sebulan lamanya dia terlantar di hospital, sebab itu jika anda perasan tentu nampak dia berjalan agak tempang sedikit. Kakinya dah masuk besi dan singkat sikit.

“Kami kawan baik semasa zaman anak dara. Tetapi terpisah sebab saya ikut suami pindah tempat lain, Asiah kekal di kampung. Kami bertemu semula selepas dia berkahwin kali kedua, barulah saya tahu cerita dia sebenar. Dulu saya cuma dengar cerita orang saya. Kepada saya dan suami barunya inilah tempat dia bercerita tentang penderitaannya dahulu.

“Kata Asiah, ketika dia terlantar di hospital, hidup anak-anaknya terbiar. Suaminya walaupun sekampung tak pernah pedulikan anak-anaknya. Nasib baik ada rumah pusaka emak Asiah, bolehlah mereka anak beranak berteduh. Tetapi nak makan pandai-pandai jiranlah membantu. Namun berapa banyak mereka boleh bantu. Sebab itu dua orang anaknya yang tua berhenti sekolah sebab tak ada duit.

“Sementara anak yang kecil sambung sekolah semula selepas Asiah sihat dan dapat bekerja semula. Tetapi kalau dah lama tertinggal sekolah mana mereka ada mood lagi nak sambung belajar. Akhirnya mereka juga turut berhenti kerana masalah kewangan.

“Walaupun anak-anaknya sudah dewasa, tetapi mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap, sebab tak bersekolah. Inilah akibatnya jika emak tak berduit dan ayah tak mahu beri nafkah anak-anaknya. Suami selalu beranggapan setelah bercerai anak-anak jadi tanggujngjawab ibunya. Alasan bekas suami tak mahu beri nafkah kerana sudah berkahwin baru.

“Sepanjang hayatnya, Asiah bukan sahaja berkorban membesarkan mengadakan semua keperluan anak-anaknya ketika kecil.  Malah dah kahwin pun mereka tak malu masih nak pinjam duit Asiah. Sedangkan Asiah sudah kahwin dan ditanggung oleh suami barunya.

“Kerana memikirkan nasib anak-anaknyalah Asiah terus bekerja menanam sayur, pisang, sukun dan menternak ayam itik. Hasilnya dia jual. Walaupun badannya tak begitu sihat dan sudah berumur, tetapi dia terpaksa bekerja untuk dapatkan sedikit duit. Dia tak mahu anak-anaknya menyusahkan suami barunya.

“Sejak berkahwin, hidup Asiah banyak berubah, dia tak sesusah sepereti dulu lagi. Suaminya sekarang memang baik, memahami masalahnya, kepada suaminyalah dia banyak curahkan perasaan dan hatinyanya yang terluka dahulu.

“Kepada saya dia sering bercerita dia keciwa dengan perangai bekas suaminya  yang tidak mahu bertanggungjawab beri  nafkah anak-anak. Akhirnya hidup anak-anak tidaklah sebaik nasib anak-anak orang lain. Mereka tak berpelajaran tinggi, susah dapat kerja, kerana itu dia sebagai emak mesti terus berkorban membantu anak-anaknya walaupun mereka telah berkahwin  jika mereka susah dan perlukan duit. Itu sahaja dapat dilakukannya untuk membantu mereka.

“ Asiah bekerja keras dan berkorban dari muda semata-mata mencari duit bukan  untuk buat belanja makan minum anak-anak, tetapi untuk tanggung rokok bekas suaminya. Bekas suaminya kalau tak ada duit untuk main nombor, dia akan jadi mangsa suaminya. Kerana takut dipukul itulah dia bekerja keras cari duit.

“Sebab itu dia bersyukur apabila bekas suaminya kahwin baru, dia tak takut diceraikan, malah ada baiknya suaminya kahwin lagi, dia tidak lagi jadi sasaran penampar dan terajang bekas suaminya, sebaliknya dia rajin bekerja untuk tanggung anak-anak dan isteri barunya. Pandai pulak dia cari kerja. Asiah bersyukur setelah berbelas tahun jadi ibu tunggal dia berkahwin lagi, dan suami barunya amat baik dan memahami masalahnya. Sayangnya jodoh mereka tidak panjang.’’ Itu cerita Imah panjang lebar. Kami beredar dengan penuh simpati dan kesedihan tak terhingga untuk rakan kami ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

ep2p-5small