Ketua Pemuda PAS P.Pinang dedah kezaliman DAP terhadap Islam

Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah mendakwa kerajaan DAP Pulau Pinang telah menarik kembali bantuan dua buah sekolah rendah Islam di negeri itu.

Menurut Yusni, dua buah sekolah yang ditarik bantuannya itu adalah Sekolah Rendah Islam Al-Ansor (SRIA) dan Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU).

Dalam nada kecewa, Yusni menyifatkan perbuatan kerajaan negeri DAP menarik balik bantuan sekolah agama itu sebagai kejam kerana cuba mempolitikkan isu pendidikan di negeri itu.

Katanya, kerajaan negeri tidak sepatutnya menjadikan perkara tersebut sebagai isu politik, sebaliknya membantu sekolah agama milik ahli Pas walaupun DAP telah menganggap Pas sebagai musuh utama.

Jelas Yusni, dengan tindankan kerajaan negeri ini ia akan memberi masalah kepada seluruh pelajar terbabit serta kakitangan sekolah tersebut yang mungkin terpaksa diberhentikan.

“Kami juga mengingatkan agar tidak menjadikan politik sebagai alasan untuk menafikan bantuan kepada dua buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) ini.

“Lebih-lebih lagi, masa hadapan lebih 500 pelajar yang kebanyakan terdiri daripada pelajar miskin termasuk hampir 80 kakitangannya bakal terjejas dari keputusan tersebut,” kata Yusni.

Dalam masa sama Yusni meminta kerajaan negeri memperjelaskan mengapa dua bua sekolah yang dipercayai milik ahli Pas ini dikeluarkan dari senarai penerima bantuan kerajaan negeri. – Utaranews.com

ep2p-5small