KUALA LUMPUR: Pemandu kereta persendirian yang menawarkan perkhidmatan Uber tidak boleh memperbaharui cukai jalan untuk kenderaan mereka sekiranya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengesan aktiviti ini.

Menurut laporan The Sun yang memetik kenyataan sumber, SPAD telah menemui kaedah untuk pemilik kereta persendirian atau pemandu yang menawarkan perkhidmatan teksi haram itu menerusi aplikasi Uber, tanpa perlu melakukan operasi menyamar .

“Sebagai contoh, selepas sebuah kereta persendirian tertentu dikenal pasti dari log digital dalam aplikasi Uber beserta bukti kukuh video dan gambar operasi mereka, pihak berkuasa akan menghantar notis kepada pemilik kereta itu untuk menghadiri ‘temuduga’ dengan bahagian penguatkuasaan SPAD,” kata sumber itu seperti yang dipetik akhbar The Sun.

Pemandu juga dikehendaki membawa kenderaan mereka untuk pemeriksaan, di mana SPAD boleh menyita dan mengimpaun kenderaan tersebut kerana melanggar Seksyen 225 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, kata sumber itu lagi.

SPAD menyita kenderaan persendirian Uber

Menurut sumber itu juga, SPAD sedang bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam usaha membendung penambahan pemandu Uber di Malaysia.

Pemandu yang mengabaikan notis SPAD tidak akan dibenarkan memperbaharui cukai jalan sehingga mereka menyerahkan kenderaan mereka.

Sejak Oktober tahun lalu, SPAD telah merampas 145 kereta persendirian, termasuk 44 kenderaan Uber dan 97 kenderaan GrabCar, kerana dikatakan menawarkan perkhidmatan teksi haram.

Comments

comments