Janji Manis Mentua Ambil Terus Anak-Anak Saya

 

DCCK  13  SEPT 2015anak

DALAM melalui alam rumah tangga ini saya yakin dan percaya bahawa nasib kaum wanita tidaklah sebaik yang mereka harap dan mimpikan iaitu aman bahagia hingga akhir hayat. Kerana terlalu banyak godaan dan gangguan yang datang dan pergi dalam kehidupan kita. Dan saya mengaku nasib saya tidak sebaik dua orang kakak saya yang bahagia dan aman berbanding saya yang sentiasa ada ketakutan dan rasa rendah diri.

“Memang pada awalnya saya tidak mahu bercerita masalah rumahtangga saya ini, tetapi saya tidak boleh menolaknya, kerana setiap hari hati dan perasaan saya sentiasa dihiris pilu oleh perbuatan bekas mertua saya yang suka gangguan rumahtangga saya dengan muka manis, tetapi penuh racun berbisa. Bukan tuduh, tetapi itulah yang saya dapat lihat dengan jelas sekarang.’’ Demikian cerita Izzah Ezzany dalam emelnya.

“ Apa yang saya ceritakan ini semata mata bertujuan mengingatkan kaum sejenis saya janganlah percaya pada janji manis suami dan mertua, kerana jika silap langkah akan memakan diri. Memang  mertua sama seperti ibu sendiri, tetapi cuma saya sahaja yang beranggapan demikian tetapi tidak kepada beliau.

“Walaupun saya sudah 5 tahun saya jadi ibu tunggal dah umur pun sudah lewat 30an tahun. Tetapi saya rasa saya adalah wanita yang paling rugi dan malang. Tidak keterlaluan jika saya katakan perkahwinan saya idamkan tidak membawa kebahagian pada saya.

“Sebenarnya saya langsung tidak menyangka mulut manis keluarga mertua saya hanyalah pura-pura, sedangkan dalam hati mereka tersimpan dendam kesumat dan bencikan saya sejak mula saya berkahwinan dahulu. Puncanya kerana  hasrat mereka untuk mengambil saudara mereka jadi menantu tidak kesampaian, kini saya jadi mangsa.

“Memang awalnya perkahwinan saya dengan Ezam tidak disukai mertua, kerana mereka ada calon lebih sesuai tetapi disebabkan kuatnya desakan Ezam yang ketika itu amat cintakan saya, dan saya juga sayangkannya, maka ibunya mengalah dan terpaksa terima saya.

“Ketika itu saya memang tidak sedar bahawa kelembutan mereka terima saya sebagai menantu hanya sementara dan mereka menunggu masa sahaja untuk singkirkan saya. Perkahwin saya dengan Ezam cuma bertahan selama 7 tahun sahaja. Puncanya saya minta diceraikan setelah merasakan diri tidak berguna selain mertua saya mahu Ezam kahwin lagi.

“Kami sama-sama lulusan kolej, dan sama jurusan, tetapi agaknya saya bernasib baik, syarikat yang ambil saya bekerja lebih kukuh dan lebih besar dari tempat Ezam bekerja. Jadi secara tidak langsung pendapatan saya cuma lebih sedikit daripada Ezam dan saya mendapat bonos lebih daripadanya, selain peluang meningkat lebih banyak lagi.

“Alasan ibu Ezam tak mahu terima saya kerana dua sebab pertama kerana nak rapatkan hubungan keluarga jika Ezam kahwin sedara, kedua takut sedikit sebanyak hartanya tertumpah kepada orang luar, jika kahwin dengan saya.

“Akhirnya ibu Ezam terima saya kerana dua sebab, pertama takut Ezam merajuk tak mahu kahwin, kedua ibunya mahu bilangan keluarganya bertambah, kerana Ezam ada 4 beradik, dua meninggal dunia semasa kecil. Yang ada abangnya kini berusia hampir 50 tahun masih belum kahwin. Sebab itu Ezam dan abangnya jadi jantung hati ibunya.

“Dipendekkan cerita setelah setahun kahwin saya hamil tentulah ibunya gembira. Awal lagi ibunya pujuk mahu jaga anak saya sendiri. Katanya memang dia dah tua, tetapi dia akan ambil pembantu untuk bantu dia jaga anak saya nanti. Dia tak percaya orang lain.

“Tetapi saya tak setuju, sebab saya nak jaga sendiri, saya akan cari  pengasuh. Kalau ibu Ezam jaga takkan setiap minggu saya kena balik tengok anak, jauh tu!

“Habis berpantang di rumah ibunya, maka Ezam pujuk saya beri ibunya jaga. Saya tak setuju. Tapi kerana terlalu sayangkan cucu, ibu Ezak ikut balik ke rumah saya. Katanya dia akan duduk dua bulan lagi biar anak saya besar sikit. Tetapi entah bila Ezam pula tukar fikiran, dia pujuk saya biarkan ibunya jaga anak kami, alasannya bimbangkan keselamtan anak kami.

“Ketegasan dan bantahan saya bagaimana pun luntur juga bila saya hamil anak kedua setahun kemudian. Saya terpaksa ikut kehendak ibu Ezam mahu bantu saya. Katanya, dia terlalu sayangkan cucu dan tak mahu yang buruk berlaku, jika terjadi dia akan kesal sepanjang hayat. Jadi kerana bimbang jugalah saya mengalah.

“Bila lahir anak kedua sekali lagi peristiwa sama berlaku, saya terus dipujuk, alasan Ezam kerana saya selalu kerja luar kawasan dan selalu berkursus, jadi daripada hidup anak tak tentu hala lebih baik ibunya jaga. Dan lagi hubungan adik-beradik (anak-anak) saya akan jadi lebih rapat lagi, kerana mereka dibesarkan bersama oleh neneknya sendiri.

“Sekali lagi saya mengalah apabila tugas sering mengganggu jadual seharian saya yang selain tidak ada ketentuan waktu balik ke rumah. Walaupun saya cuba mendapatkan khidmat pembantu rumah, tetapi suami pulak tak setuju, alasannya dia tak suka ada orang di rumah, dia tidak bebas, dan dia tak suka orang lain duduk di rumahnya. Nak ambil pembantu `pulang hari’ saya pulak sering balik lewat. Nak hantar ke rumah pengasuh, saya tak dapat pengasuh yang baik dan sempurna seperti yang Ezam kehendaki.

“Kerana kesibukan itulah juga anak kedua saya berpindah alamat duduk dengan tok nya. Memang tidak saya nafikan semasa tinggal dengan neneknya, hati saya senang dan tenang, saya tak risau tentang keselamatannya. Kerana ibu Ezam terlalu sayangkan cucu.

“Tetapi saya tersalah sangka, tidak menduga, ada orang mempunyai niat tersembunyi. Dalam masa saya sibuk dengan tugas, saya tak sedar Ezak sudah buat kira dengan emaknya, Ezam lemah dengan pujukkan emaknya yang mendesak dia kahwin lagi dengan saudara.

“Kali ini alasan ibu Ezam isteri pilihannya bukan wanita sembarangan, dia bukan sahaja berpangkat, bekedudukan, tetapi cantik sesuai dengan Ezam.

“Kerana kesibukan tugas saya tak tahu Ezam sudah lembut hati dan sering balik lewat malam. Rupanya saudara tiga pupunya itu juga bekerja di daerah yang sama dengan kawasan tempat tinggal kami. Mereka sering bertemu, makan tengah hari dan minum petang. Sesekali keluar makan malam ketika saya tidak ada di rumah.

“Nak jadikan cerita satu hari sepupu Ezam beritahu, katanya saya jangan terkejut jika satu hari Ezam minta izin nak kahwin lagi. Terkejut beruk saya. Memang saya tak menduga Ezam tergamak mungkir janjinya bahawa kami cuma akan terpisah jika salah seorang daripada kami pergi dahulu menemui penciptanya.

“Tanpa banyak bicara saya tanyakan Ezam kebenarannya. Memang Ezam menafikan, tetapi kerana takutnya dia meminta ibunya untuk berterus terang dengan saya. Dengan selamba ibu Ezam meminta kebenaran saya, katanya apa salahnya Ezam kahwin lagi, bukan orang lain, saudaranya sendiri. Lagipun saya tak perlu bimbang sebab saya sudah ada anak yang bakal mengikat erat hubungan kami bedua.

“Mana ada isteri dengan senang hati izinkan suaminya kahwin lagi. Kalaupun tak berlaku perang besar, perang dingin pasti terjadi. Berbulan saya tak balik rumah ibu Ezam kerana sakit hati. Kata kakak saya itulah sebenarnya niat ibu Ezam mahu ambil anak saya.

“Memikirkan ada kebenarannya saya balik ke rumah ibu Ezam untuk ambil anak anak saya semula.  Malangnya ketika itu anak-anak bukan sahaja tak mahukan saya, malah Ezam tak izinkan saya ambil mereka, alasannya anak-anak akan demam kerana rindukan Tok.

“Berbulan saya cuba pujuk Ezam ambil anak-anak semula, tetapi dia tak izinkan. Pelbagai alasan diberikan. Tambah malang, anak-anak takutkan saya setiap kali saya balik bertemu mereka, mereka akan lari daripada saya. Kerana ibu mertua saya bimbang takut saya bawa lari anak. Dia nasihatkan Ezam jangan benarkan saya balik sendiri Ezam mesti ada sama.

“Kerana kejadian itu juga perang dingin saya dengan Ezam dan mertua sudah jadi `perang air batu’.  Ezam dan ibunya tidak izinkan saya ambil anak. Alasannya dia dah lama jaga, budak budak akan sakit jika ikut saya balik, dan saya tak ada pembantu.

“Kerana keadaan jadi semakin hangat  akhirnya saya mohon cerai, alasan saya kerana tak mahu bermadu , kedua memudahkan Ezam kahwin dengan saudaranya sendiri, ketiga saya mahu jaga anak anak saya sendiri. Kerana Ezam dan ibunya berkeras, dan proses perceraian jadi semakin rumit, tujuannya supaya saya tak boleh ambil anak-anak saya semula.

“Ding dong ding dong proses cerai memakan masa 2 tahun. Anak semakin takutkan saya. Saya juga tidak boleh tengok anak jika Ezam tidak bersama. Lepas cerai proses hadanah juga memakan masa hingga kini saya masih tunggu keputusan. Anak semakin besar tetapi saya tidak dapat bersama mereka, adakah ini adil?

“Jadi nasihat saya kepada wanita jika ada anak tolong jaga sendiri, kita tak tahu hati budi suami apa lagi mertua. Jangan jadi seperti saya. Nasihat kawan bila besar anak akan cari juga emaknya, tetapi sekarang saya nak jaga anak-anak saya sendiri.’’ Itu cerita Izzah Ezzany dalam emelnya. Kepada pembaca yang ada masalah serupa fikirkan. Jangan tunggu nasi jadi bubur.

 

 

ep2p-5small