Jangan Putuskan Ikatan Isteri dengan Ibunya

 

Pemandangan yang indah di pinggir salah sebuah istana di Beijing

DCCK 16  OGOS  2015

“KISAH minggu lalu membuat saya terpanggil untuk turut sama memberi pandangan mungkin juga idea kepada pembaca khususnya wanita. Bukan pasal masalah isteri kena pukul. Kerana pada saya itu masalah kebodohan wanita sendiri, sanggup memperbodohkan diri semata-mata kerana terlalu sayangkan suami. Sayang tak bertempat.

“Bagaimana pun tidak dinafikan isu isteri kena pukul boleh diatasi jika wanita tegas dengan suami, dengan mengingatkan suami  bahawa tubuh badan mereka (isteri) bukannya `punch bag’ yang boleh dipukul, ditumbuk mahupun di sepak sesuka hati semata-mata untuk melepaskan rasa marah dan geram mereka. Sepatutnya isteri di nasihati, dibimbing, jika dia salah diajar dan disayangi bukan sebaliknya.’’ Itu cerita Nuruliman dalam emelnya.

“Namun saya tak nafikan masalah isteri kena pukul berpunca daripada kelemahan isteri sendiri yang terlalu tunduk dan mengikut kehendak suami tanpa memikirkan resiko dari sikap berlembut mereka itu kerana jika dibiarkan banyak berlaku buruk daripada baiknya. Sepatutnya sekali kena pukul isteri wajib beritahu atau beri amaran kepada suami bahawa tubuh badannya bukan tempat melepaskan rasa marah. Jika dari awal isteri tegas saya rasa suami akan faham  dan hormat dengan pandangan isterinya.

“Tetapi sedihnya setiap kali kena pukul, isteri sering mencari sebab apa kesalahan  yang dia telah lakukan. Mungkin benar isteri ada buat salah, tetapi pukul bukan jalan atau pilihan terbaik kepada suami. Kerana sekali suami berani meletak tangannya ke muka isteri maka dia akan rasa  ketagih, dan suka memukul setiap kali dia berasa marah pada isterinya. Ini perbuatan salah yang patut diperbetulkan dari awal lagi..

“Kalau isteri takut bersuara kerana si suami terlalu garang mengadu kepada ibu bapa nasihatkan suami. Jika tindakan dilakukan dari awal lagi rasanya suami akan ada rasa takut jika dia hendak pukul isteri. Tetapi jika suami masih memukul isteri, jalan terbaik buat laporan polis dan mengadu ke mahkamah syariah.

“Suami yang sayangkan isterinya tidak akan memukul isterinya, kecuali jika si suami sudah ada kekasih lain, maka dia akan sentiasa mencari  jalan supaya dia dibenci untuk memudahkan dia menceraikan isterinya ataupun berkahwin lagi.

“Malangnya yang biasa kita dengar isteri suka menyalahkan diri sendiri setiap kali kena pukul. Kerana sikap inilah menjadi punca suami terus memukul isteri setiap kali dia tidak berpuas hati terhadap isterinya. Dan lebih malang dia akan merasa dirinya betul kerana isteri tak melawan dan percaya dia bersalah maka sebab itulah dia dipukul.

“Seperkara lagi isu yang ingin saya kemukakan adalah tentang sikap suami yang berpendapat apabila seseorang isteri itu telah berkahwin maka dia menjadi tanggngjawab suami, bukan lagi ibu bapa. Saya tak nafikan pandangan ini benar, tetapi apa yang terbuku di hati saya ini adalah sikap suami yang mengambil kesempatan dari kata-kata ini, dan berusaha memutuskan silaturrahim isteri dengan ibu bapa juga adik beradiknya.

“Pada pandangan saya perbuatan suami seperti ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi ingin mengambil kesempatan dengan menyekat hubungan isteri dengan keluarganya, dengan niat tertentu. Jika kita perincikan bila suami mengeluarkan kata-kata demikian, ia mempunyai niat mempergunakan isteri supaya sentiasa mendengar katanya dan mengikut apa sahaja arahannya demi kepentingan dirinya sendiri.

“Biasanya suami yang berkata `isteri tanggungjawab suami selepas kahwin’ dia ada kelemahan  atau kekurangan dirinya. Sama ada pekerjaannya, kelulusannya atau pendapatannya lebih kecil daripada isteri. Mungkin juga kedudukan keluarganya lebih rendah daripada isteri, maka dia takut ditinggalkan atau dipinggirkan oleh keluarga isterinya, maka dengan mengeluarkan kata-kata hikmah itu, ia menjadi pengikat isteri supaya patuh kepada perintahnya tanpa banyak soal. Sebab lepas kahwin isteri tidak boleh dengar nasihat ibu bapanya selain suami.

“Dengan mengikat isteri dengan kata-kata hikmah tersebut, isteri akan sentiasa hormat dan ikut semua arahannya. Sebenarnya jika kita perhatikan dan dalami pandangan tersebut ia datang dari suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami , sebaliknya si suami mahu isteri membantunya untuk melaksanakan tugasnya mengurus rumahtangga terutama dalam memperkukuhkan ekonomi keluarga.

“Jika suami dapat mengawal kewangan isteri, maka secara tidak langsung boleh meringankan beban suami. Namun ada juga suami yang berpangkat tetapi dia masih mengawal isterinya dengan `kata-kata hikmah’ itu, tetapi tujuannya bukan sahaja untuk mengawal kewangan isteri, tetapi dia mahu rumahtangganya dipenuhi atau didatangi oleh kaum kerabat isteri yang boleh menyusahkan hidupnya kerana terpaksa berbelanja besar menanggung makan minum mereka.

“Jadi bila kata-kata hikmah tersebut digunakan, isteri tidaka akan benarkan keluarganya datang ke rumahnya bimbang dimarahi suaminya. Alasan ini mesti dipatuhi.

“Dalam banyak kes yang dilaporkan isteri dipukul  kerana enggan bantu suami selesaikan hutang suami, atau enggan beri duit gaji kepada suami, ada juga berlaku bila suami ingin berpoligami dan isteri tidak benarkan hingga membawa kepada pergaduhan. Kerana terlalu sakit hati, suami akan bertindak ganas memukul isterinya.

“Bila membicarakan `kata-kata hikmah isteri tanggungjawab suami bukan ibu bapa setelah berkahwin’ maka saya ingin menarik perhatian pembaca, cuba fikir berapa lama isteri mesti berkorban untuk suami? Sehingga dia mesti lupakan pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapanya ketika membesarkannya dahulu?

“Tak bolehkah si isteri memberi sedikit sumbangan untuk ibu bapanya sebagai membalas jasa mereka yang banyak berkorban wang dan harta untuk membesarkan, mendidik sehingga anak gadisnya boleh bekerja dan membawa pulang hasil setiap bulan.

“Si suami tidak pernah bersusah payah membesarkan isterinya atau melabur supaya isterinya dapat bekerja dan membawa pulang gaji untuk bantu dia (suami). Suami terima isteri setelah isterinya cukup dewasa untuk menjadi teman tidurnya, bantu melunaskan hutangnya,  menambah ekonomi keluarga, membesarkan anak-anak dan sebagainya. Jadi apa salahnya jika si isteri beri sedikit duit kepada ibu bapanya sebagai tanda terima kasih kerana besarkannya?

“Benar tanggungjawab ibu bapa besarkan dan beri pendidikan kepada akan-anaknya. Tetapi apa salahnya jika si anak beri sedikit sumbangan sebagai tanda terima kasihnya kepada ibu ayahnya. Kalaupun si anak beri duit kepada ibu ayahnya bukannya lama. Paling lama 10 atau 15 tahun sahaja sebelum kedua ibu bapanya meninggal dunia. Selepas itu si anak (isteri) tadi akan terus jadi `hamba’ kepada suaminya selagi hayatnya masih ada.

“Cuba anda fikirkan suami akan dapat banyak nikmat dan mengutip hasil daripada pelaburan yang dicurahkan oleh ibu bapa kepada anak perempuannya mungkin untuk selama 40 atau 60 tahun sepanjang perkahwinan mereka sebelum mereka pula meninggal dunia.

“Jadi apa salahnya jika si anak perempuan tadi berkhidmat  dan berbakti kepada ibu bapanya  yang banyak berjasa bukan setakat  memberi pendidikkan malah se hingga anaknya boleh mencari rezeki untuk membantu suaminya hingga ke akhir hayatnya.

“Bila saya fikirkan masalah ini lebih mendalam membuat saya tidak selesa untuk berkahwin, bukan kerana saya tamak, takut pendapatan saya yang banyak ini dikongsi dengan suami, tetapi saya takut dapat suami yang tidak bertimbang rasa. Dia akan mengeluarkan kata-kata hikmatnya bahawa wanita setelah berkahwin mesti dengar dan ikut kehendak suaminya, dan tidak boleh ikut cakap ibu bapanya lagi. Pada saya suami jenis ini adalah seorang yang tamak dan tidak ada keyakinan diri.

“Saya bukan mereka-reka cerita, tetapi itulah yang berlaku kepada kakak sepupu saya.  Dia bukan sahaja tidak dibenarkan memberi sumbangan kepada ibu bapanya, malah balik kampung untuk bertemu ibu pun tak boleh tanpa kebenaran suami. Kerana peraturan itu sepupu saya hidup menderita. Malah dia dibenci oleh adik beradik, kerana suaminya pernah menuduh mereka menghasut sepupu saya bercerai setiap kali balik kampung. Kerana tuduhan itu hubungan mereka jadi renggang. Jadi sepupu saya akan dihantar balik beraya ke kampung oleh suaminya  setelah semua adik-beradik pulang ke rumah masing-masing.

“Saya pernah berberbincang dengan seorang teman dan kami buat kesimpulan `kata-kata hikmah bahawa isteri mesti ikut perintah suami selepas kahwin!’ hanya layak kepada suri rumah sepenuh masa. Kerana dia tidak memberi sumbangan berupa wang ringgit kepada suaminya dalam menambah ekonomi keluarga.

“Namun suri rumah sepenuh masa tetap memberi sumbangan melahir dan membesarkan anak-anak, mengurus rumahtangga, memasak, dan terakhir menjadi teman tidur ketika suami perlukan khidmatnya. Berbanding isteri bekerja selain menjalankan tugas yang sama dengan suri rumah, tetapu dia terpaksa hantar anak kepada pengasuha semasa anak masih kecil dan perlukan jagaan, sementara dia keluar bekerja.

“Pendek kata pengorbanan isteri amat besar, dalam membentuk keluarga bahagia. Kerana itulah juga suami sepatutnya berterima kasih dan menghormati isterinya, bukan dipukul dan dijadikan tempat melepaskan geram dan marahnya.’’ Demikian cerita Nuruliman yang tidak suka melihat  sikap sesetengah suami memutuskan hubungan kekeluargaan antara anak dengan ibu bapanya semata mata kerana mahu mengawal hidup isterinya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

ep2p-2