Jamu Kekasih Lebih Baik Daripada Jamu Keluarga

DCCK  12 JULAI 2015

20150920_133840

 “BEBERAPA minggu lalu saya terbaca dalam ruangan ini tentang komen beberapa orang suami yang tak senang hati dengan perangai atau sikap isteri mereka yang mereka sifatkan mengongkong dan keterlaluan hingga timbul perasaan keciwa dengan bosan terhadap isteri masing-masing.

“Pada pandangan saya sebenarnya memang baik dan betul perbuatan isteri mereka, mungkin isteri mereka bertindak sedemikian kerana sikap suami sendiri. Ada suami yang perlu diberitahu dan ditunjuk ajar baru mereka faham apa yang sepatutnya mereka lakukan sebagai ayah dan suami kepada rumah tangga masing-msing.

“Namun tidak dinafikan  terdapat antara sikap isteri yang keterluan. Tetapi semua itu boleh diatasi jika kedua pihak sentiasa berbincang. Sepatutnya suami perlu berani bercakap apa yang dia tidak suka kepada isteri. Malangnya mereka berdiam diri, depan isteri menikus, patuh, alasannya nak jaga keharmonian keluarga. Sepatutnya mereka berbincang dari awal perkahwinan adalah lebih baik daripada bersikap mengikut, kemudian komplin di belakang.’’ Itu pandangan Endanghayati dalam e-melnya.

“Sebenarnya ramai suami kurang disiplin diri punca isteri tak selesa dan bersungut. Kerana mereka sudah biasa hidup membujang, maka perangai bujang mereka terbawa-bawa hingga  berkahwin, bila dah jadi kelaziman perangai buruk itu amat sukar dibuang.

“Saya tak cakap pasal orang lain, tetapi suami saya sendiri, Amar, perangai bujangnya menjadi budaya hidupnya hinggalah kami berkahwin dan beranak pinak, bila saya tegur dia marah. Kadang kala boleh jadi gaduh. Contoh, kalau buka pakaian di mana dia buka di situ pakaian itu ditinggalkan berlonggok. Bila kita tegur pakaiannya yang bersepah di lantai dia akan campak atas katil, sedangkan katil sudah  saya kemas. Saya suka katil bersih, cantik dan selesa mata memandang. Saya tak suka katil macam kubang kerbau?

“Lebih teruk keadaan katil pada hujung minggu, kerana di situlah dia akan berkubang. Sudahlah bangun jam 11 pagi, lepas mandi terus makan tengah hari. Lepas makan setengah jam rehat tonton tv sambil minum kopi, lepas tu dia sambung tidur lagi atas katil dengan anak-anak. Itu kalau dia tak ada aktiviti dengan kawannya, jika ada subuh dah hilang dengan motornya. Bila saya tanya ke mana? Dia tuduh saya nak control hidupnya. 

“Bila minum atau makan jangan harap dia nak cuci pinggan atau cawan sendiri. Kadang tu dia biarkan atas meja. Kalau atas meja makan, masih ok jugak, tapi dia biarkan atas meja atau bawah sofa di ruang tamu. Rumah kita kecil, kalau pinggan makan pun dia letak depan tv memang menyakitkan mata.Tambah-tambah bila semut datang hurung.

“Peliknya kita ajak makan bersama di meja makan alasannya dia nak makan sambil menonton tv. Mula dulu saya memang tak suka, akhirnya saya terpaksa sabar ikut gaya hidupnya, tapi lepas makan bawalah ke sinki. Tak jugak, dia boleh bangun cuci tangan, tapi tak mahu angkat pinggan dan gelas minuman ke singki. Suruh saya buat.

“Kalau musim bola lebih teruk lagi ruang tamu bersepah dengan makanan segera, pinggan dan cawan. Belum masuk lagi tin-tin biskut. Bila saya tegur, saya pulak kena tengkeng. Akhirnya dia menonton bola dengan kawan di luar, alasannya saya tak suka dia duduk di rumah. Masalahnya dia tak mahu faham apa yang kita suruh adalah untuk kebersihan rumah. Saya tak mahu rumah jadi sarang semut, lipas dan tikus. Dan saya tak mahu anak-anak kecil kami kutip makanan yang terbuang, bukankah itu tidak baik untuk kesihatan?

“Saya jelaskan dengan baik, tetapi saya pulak kena marah, mula mengutuk perangai adik beradik lelaki saya pun kaki bola. Betul mereka kaki bola, tapi mereka tak makan minum depan tv dan tak buat sampah. Dan saya lebih hairan dia boleh tidur dengan sampah hingga pagi.

“Masalah besar saya tak ada masa nak berkemas, pagi-pagi dah hantar anak ke rumah pengasuh dan ke tadika, jadi keadaan rumah yang bersepah itu akan kekal bersepah hingga saya balik petang nanti. Sampai rumah  banyak kerja menunggu, masa itulah saya nak masak untuk makan malam, nak berkemas rumah, menyapu dan nak uruskan anak.  

“ Tetapi jika dia tidak kotorkan rumah, atau bantu saya bersihkan rumah selepas menonton tv sudah pasti saya ada banyak masa untuk buat kerja lain seperti memasak, mencuci pakaian waktu malam, melipan pakaian yang sudah kering dan macam-macam benda lain boleh saya bereskan. Bila saya tegur itulah yang jadi kemarahannya.

“Akhirnya kerana tak mahu bergaduh, bertengkar kerana saya pun naik malu dengan jiran tetangga, maka saya ambil sikap berdiam diri. Tetapi masalahnya semakin saya diam semakin teruk kelakuan Amar, kadang kala saya rasa dia sengaja hendak menyakitkan hati saya supaya  kami bertengkar. Itu antara perangai buruknya lebih teruk dia memang tak mahu solat, kecuali solat hari jumaat dan solat raya, kerana terpaksa, takkan dia seorang duduk di pejabat sedang semua lelaki lain pergi solat, begitu juga solat raya, kalau semua adik beradik ipar duai ke masjid takkan dia nak membuta di rumah?

“Begitu juga pakaian ke pejabat dan tawal mandi. Memang dia biarlah bersepah di lantai. Kalau mandi tak pernah bersihkan bilik air selepas gunakan. Memang kotor, berminyak dan berdaki.  Kalau depan mata bolehlah saya sidaikan, tetapi kalau selepas saya ke pejabat, maka sampai malamlah tawal berlonggok. Kerana itu saya terpaksa cuci tawal dia setiap hari.

“Kalau pasal makan dia tak memilih, semua makan. Tetapi bab nak keluar duit belanja memang kedekut. Dan kalau tak masak makanan kegemarannya, mukanya macam cuka tumpah. Jadi kerana terpaksa ikut seleranya, saya terpaksa berbelanja lebih. pasar. Sebab dia takut kena keluar duit belanja. Tetapi kalau saya berbelanja dia suka ikut, dia akan pilih makanan kegemarannya tanpa ambil kira sama ada saya cukup duit ataupun tidak.

“Pernah berlaku beberapa kali saya terpaksa keluarkan belian makanan kerana setelah di kira jumlah duit saya tak cukup. Peliknya masa beratur di kaunter dia menghilangkan diri, sebab dia tak mahu saya minta duitnya, Dia memang kemut duit. Lebih sakitkan hati ketika itulah dia ambil seluar kecil, baju kemeja dan baju t kegemarannya untuk saya bayar. Bila saya kata tak cukup duit, dia suruh keluarkan benda lain yang tak perlu.

“Mana ada benda lain yang tak perlu, apa yang saya beli semuanya perlu untuk makan minum  anak beranak. Dan semua barangan itu telah saya tuliskan semasa di rumah dan saya rasa memang cukup dengan budjet saya.

“Kerana selalu sangat bertengkar pasal duit dia tak suka duduk lama di rumah. Alasannya saya suka membebel. Saya bebel kerana masalah duit. Sebenarnya apa yang dia lakukan memang ada tujuan tertentu, apa lagi kalau bukan kerana wanita lain. Dia sanggup berhabis untuk kekasihnya. Nak tanam modal dan dia suka tunjuk bahawa dia ada duit dan mempu. Sebab itu ada saja wanita yang sukakan dia.

“Perbuatannya saya sedari apabila ternampak resit pembelian pakaian, dan beg tangan di sebuah kedai ternama. Saya tahu benda itu dia tak hadiahkan pada saya. Bila saya tanya katanya, itu milik kawaknya dan dia ambil kerana perlukan kertas untuk menulis nota di belakang resit itu.

“Saya memang tak percaya. Bila saya buat siasatan memang ada resit pembelian kasut, pakaian dan minum di restoran besar yang harganya puluhan ringgit.

“Saya keciwa kenapa dia sanggup jamu makan orang lain, sedangkan dengan anak isteri dia amat kedekut! Kerana kami selalu sangat bertengkar dan banyak soal jawab, akhirnya Amar menghilangkan diri tak balik rumah beberapa hari. Dia balik bila saya pergi kerja untuk ambil pakaiannya dan barangan peribadinya dan hantar pakaian kotor untuk dicuci.

“Mula-mula tak balik 2 atau 3 minggu, lepas tu 2 bulan dan terus tak balik langsung. Dia tinggalkan saya tanpa nafkah dan tidak diceraikan. Saya pernah menghubunginya beberapa kali apa makna perbuatannya, katanya `ikut suka sayalah?’ Setelah setahun ditinggalkan saya mengadu ke pejabat agama, dia dipinggil untuk kaunseling, tapi tak pernah datang. Kalau saya datang seorang apa maknanya. Cerai di tangan suami.

“Lepas dua tahun saya turun naik mahkamah dia tak datang, akhirnya saya bosan. Dan dia dalam diam bertindak betukar kerja ke negeri lain. Sekarang saya bertaraf `Isteri Tinggal”. Bukan ibu tunggal atau pun balu.  Kalau dulu wanita seperti saya dipanggil `Isteri digantung tak bertali”, nak kata tak ada suami, saya tidak diceraikan, nak kata ada suami, suami entah di mana tak pernah ambil tahu hal keluarga. Jadi berapa lama saya mesti jadi seperti ini?

“Kesimpulannya saya sokong sikap tegas isteri terhadap suami mereka, hanya dengan cara begitu sedikit demi sedikit isteri boleh membentuk perangai buruk suami yang jarang berdisiplin berubah jadi suami bertanggungjawab. Jangan jadi macam saya cepat mnengalah, sabar dengan perangai suami degil yang tak makan nasihat, akhirnya saya ditinggalkan juga,’’ demikian cerita  Endanghayati tentang keadaannya yang digantung tak bertali atau Ibu Tinggal, yang tak tahu apa nasibnya di penghujungnya nanti..     

ep2p-5small