Hukuman Berat Buat Harimau Malaya – Kim Swee

ong kim sweeKUALA LUMPUR – Jurulatih sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan hukuman yang dijatuhkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai sesuatu yang amat berat buat skuad kebangsaan.

Beliau nyata terkilan selepas skuad kendaliannya hilang kelebihan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 selepas Arab Saudi diberi kemenangan 3-0 gara-gara insiden liar penyokong dalam perlawanan 8 September lalu.

“Sudah tentu denda yang agak berat bagi saya kerana walaupun ia hanya satu perlawanan, ia beri kelebihan kepada pihak lawan.

“Selain itu, kita terpaksa bermain tanpa penyokong dan seperti selalu saya katakan, penyokong adalah penting, namun apa yang berlaku ini kita ambil sebagai pe­ngajaran.

“Selain kalah, kita juga kehilangan satu gol dan bolos tiga gol. Ia penting dan akan main pe­ranan ketika penghujung kelayakan nanti di mana kita memerlukan gol yang lebih.

“Saya percaya pihak pengurusan akan membuat rayuan terhadap hukuman yang dikenakan,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM di sini semalam.

Selain didenda dan kemena­ngan diberikan kepada pasukan pelawat, skuad negara terpaksa beraksi tanpa penyokong bagi aksi dwi kelayakan tersebut menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 17 November ini di laman sendiri.

FAM pula terpaksa membayar denda 40,000 Swiss franc (RM180,000) serta diberi amaran gara-gara tindakan penyokong di Stadium Shah Alam.

Begitupun, Kim Swee masih meletakkan harapan hukuman itu dapat dikurangkan andai rayuan dibenarkan oleh FIFA. Malaysia selepas ini dijadual bertemu Timor Leste pada aksi kelayakan seterusnya, 13 Oktober ini.

Dalam isiden 8 September lalu, penyokong bertindak membakar suar, mercun roket serta mencabut tempat duduk dan membalingnya ke dalam stadium.

BACA: FIFA Denda FAM RM180,000

Insiden tersebut berlaku ketika tempoh permainan berbaki dua minit dan selepas gagal mengawal keadaan pengadil dari Hong Kong, Liu Kwok Man terpaksa menghentikan perlawanan tersebut ketika pasukan negara sedang ketinggalan 1-2.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee melaporkan kesemua pemain sudah melaporkan diri kecuali Mohd. Aidil Zafuan Abd Razak selepas menghadapi masalah peribadi malah memaklumkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Skuad negara berlepas ke Bangkok hari ini bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Laos di Stadium Thai Army Sports pada Khamis sebelum menghadapi aksi dwi kelayakan bertemu Timor Leste di Stadium Perbandaran Dili pada 13 Oktober.

“Saya harap semangat pemain tidak terjejas dengan apa yang berlaku kerana yang penting sekarang adalah memberi tum­puan kepada cabaran yang menanti,” katanya lagi.

Comments

comments

ep2p-5small