Hidup Berjiran Mesti Tahu Bertimbang Rasa

DCCK 20 SEPT 2015

HIDUP berjiran perlu banyak kesabaran, timbang rasa dan maufakat. Kalau ada sedikit sebanyak kesilapan harap maafkan.Tetapi malangnya bukan semua orang berfikiran seperti itu. Ada yang senang hati boleh terima pandangan, tetapi ada cepat tarik muka jika tak setuju di hati.

Minggu ini saya bentangkan keluhan hati dua orang jiran melalui emel yang dihantarkannya. Mereka berkongsi masalah kerana tinggal di kawasan perumahan sama. Masing-masing bercerita tentang sesetengah  jiran yang kurang faham falsafah  hidup berjiran. Mereka bukan sahaja tidak mahu terima pandangan orang, malah bersikap pentingkan diri sendiri.

“Lebih teruk apabila mereka memikirkan diri sendiri lebih utama daripada orang lain. Itu cerita Norsalimah panjang lebar ketika kami berbual di telefon baru-baru ini. Katanya ceritanya adalah gabungan cerita kawannya yang juga menghadapi masalah lebih kurang sama. Walaupun mereka tinggal di kelompok berlainan, tetapi di kawasan perumahan yang sama.

“Pertama tentang masalah longkang, baru-baru ini hujan turun lebat di sekitar KL dan kawasan berhampiran termasuklah kawasan perumahan kami. Memang tak kami sangka hari itu rumah kami boleh banjir, kerana tak pernah berlaku sebelum ini. Dulu memang ada naik air, tetapi cuma di gigi laman. Tapi hari itu masuk dalam rumah. Sapa tak panik.

“Walaupun tak dalam, cuma mencecah buku lali, tetapi airnya kotor berbau telah merosakkan perabut kami. Terutama carpet, almari, rak kain baju, paling sakit hati sofa kami jahanam..

“Terkejut besar bila kami balik tengok keadaan rumah dah berair. Malam itu juga kami terpaksa selamatkan benda-benda lain, selain keluarkan benda yang dah rosak. Semalaman kami tak dapat tidur berkemas. Namun anak-anak lepas kenyang dibelikan makanan segera, mereka senang hati dapat tidur nyenyak. Mereka tak kisah buku sekolah basah atau tidak. Janji perut kenyang.

“Puncanya banjir memang kami dah syak, bukan kerana hujan lebat sahaja, tetapi kerana longkang tersumbat. Benda ini dah lama berlaku. Biasanya di kawasan deretan rumah teres kami tinggal, kami pastikan longkang bersih dan tak ada tin atau botol minuman, botol kaca, kayu dan sebagainya duduk dalam longkang.

“Tetapi jiran yang duduk selang beberapa pintu dari rumah kami dia tak ambil pusing soal membersihkan kawasan keliling rumah terutama longkang. Bukan sahaja langkangnya penuh sampah, pokok tumbuh pun mereka tidak cabut. Orang majlis perbandaran memang datang bersihkan. Tapi longkang rumah dia sentiasa penuh sampah, sebabnya dia sendiri tukang buang sampah dalam longkang.

“Rumah dia memang ada tong sampah, tetapi tongnya kecil, sampah banyak. Menambah masalah lori angkat sampah datang tak pernah ikut jadual. Mereka datang kutip sampah ikut suka hati aja. Jadi kalau kita tak bersihkan dan masukkan sampah dalam tong, tentulah sampah bertaburan. Bila hujan tentu bermasalah. Tambah teruk apabila anjing liar tolong selongkar tong  sepah. Tentu huru-hara.

“Tapi jiran kami ni memang tak ambil peduli, sebab bukan rumah dia banjir. Jadi kamilah terima balanya. Kerana sikap dan perbuatannya, sederet penghuni kawasan rumah saya sumpah seranah dia. Sebab banyak barang rosak termasuk sofa. Memang sofa kami tak mahal, tetapi nak ganti baru mana ada duit?

“Itu bab banjir. Satu bab lagi perangai jiran suka bela kucing. Sakitnya hati kami bila kucing dia nak `melabur’ pandai pulak kucing-kucing tu melabur di laman rumah kami. Kalau suka dan sayangkan kucing belalah dengan baik, siapkan sangkar dan latih kucing itu melabur di pasir yang disediakan. Kucing makan ajar, sekali kita ajar dia tahu jaga diri. Ini dia tak pernah ajar, pandai-pandai kucing tulah nak melabur di mana-mana suka. Terkencing pun sama, di mana-mana rumah atau tayar kereta orang yang disukai kucing tu akan pancut.

“Peliknya kucung tu tak pulak melabur dan terkencing di rumah tuannya, sebaliknya dia cari rumah jiran. Kerana tak tahan bau, terpaksalah kami buang. Kalau tayar kereta saya memang dah jadi tempat kucingnya terkencing. Bila saya nampak saya akan halau, kucing tu pindah rumah jiran sebelah. Rumah tuan kucing tetap terselamat. Sakitnya hati!

“Dulu kucingnya pernah masuk rumah kami ikut tingkap. Siap tidur atas karpet dan sofa kami. Terkejut dan terlompat keluar bila kami sergah. Sejak itu tingkap rumah kami terpaksa ditutup, kerana kami tak mahu kucing tu  melabur atas sofa atau karpet kami.

“Sebenarnya bukan kami tak sukakan kucing, tapi kami mahu sesiapa yang nak bela kucing pandai-pandailah jaga kucing, supaya tidak menyusahkan jiran tetangga.

“Tadi bab banjir dan kucing, ini bab buat majlis kenduri kahwin. Ada satu ketika salah seorang jiran buat kenduri, dia atur 9 kemah tak masuk kemah untuk bersaji. Bab itu kami tak marah, nak buat 12 kemah pun kami tak kisah, tetapi mengapa pasang kemah 5 hari sebelum majlis dan atur kerusi 2 hari awal? Kerana bila pasang awal memang susahkan kami nak balik rumah dengan kereta. Terpaksalah kami parking jauh.

“Setahu kami kemah boleh dipasang sebelah petang atau malam sebelum hari majlis. Dan kerusi meja boleh di atur sebelah pagi sebelum makan tengah hari. Jika mereka buat macam tu tak ada jiran yang tersinggung. Tetapi kerana tuan rumah suruh pasang kemah awal, kami jadi mangsa.

“Sepatutnya perstuan penduduk nasihatkan jangan pasang kemah awal, sebaliknya ahli-ahli persatuan yang suruh pasang awal, sebab mereka nak kerja mudah, tetapi kami yang susah. Macam saya pagi-pagi kena hantar anak kepada pengasuh, terpaksa berjalan jauh sebab letak kereta nun jauh di blok bawah. Bukan senang berjalan mengusung anak sambil membawa  bakul susu, lampin dan pakaian anak. Mana nak bawa beg tangan lagi. Seksa sungguh!

“Kalaulah tuan rumah bertimbang rasa pasang kemah hari Sabtu kalau majlis hari Ahad atau pasang hari Jumaat jika majlis hari Sabtu, tentulah tidak menyusahkan saya mengusung anak, tak perlu parking kereta jauh berhari-hari. Nak jadikan cerita kereta jiran kami kena pecah cermin oleh pencuri. Terbang RM100 untuk ganti cermin baru. Tuan rumah takkan mahu ganti. Bukan masalah dia, itu masalah tuan punya kereta, katanya.

“Kalau nak buat kemah panjang pun pilihlah hari yang sesuai jangan menyusahkan jiran tetangga. Fikir saya tentu tetamunya ramai sampai 9 kemah tetapi pada hari berlangsung majlis tak ramai pun orang datang. Agaknya cukup 5 atau 6 buah kemah aja. Tetapi kalau kita dengar cerita tuan rumah, macamkan kendurinya meriah sakan konon ramai tetamu istimewa nak datang. Tetapi terima kasihlah malam itu kami jiran-jiran tak perlu masak dapat nasi baryani free untuk makan malam. Alhamdulillah.

“Pelik juga, biasanya kalau orang kahwinkan anak sulong ramai tetamu datang. Tapi majlis jiran kami ini taklah ramai sangat, sedangkan itulah satu-satunya anak perempuannya yang lain lelaki. Tetapi tak tahulah kenapa tak ramai tetamu datang, mungkin ada jemputan lain kot?

“Saya teringat kata-kata Dr. H.M.Tuah kalau nak tahu orang suka pada kita atau tidak senang saja. Semasa dia buat majlis kenduri terutama kenduri kahwin cuba lihat ramai atau tidak tetamu yang hadir? Jadi di sini tentu pembaca boleh buat penilaian sendiri. Di pendekkan cerita kalau kita tahu tetamu kita tak ramai tak perlulah buat kemah panjang-panjang.

“Menu makanan pun macam biasa aja, tak ada pun makanan sampingan seperti pemanis mulut, kuih muih ke, bubur ke atau ABC mahupun cendol? Kambing golek pun tak ada, tapi gahnya bercerita tentang majlis kahwin anak perempuan tunggalnya itu macamkan cerita artis nak kahwin. Konon pelaminnya si anu buat, katil special dah tempah, juru solek anaknya makeup artis terkenal lengkap dengan pakaian meleret ke lantai. Tapi cerita tinggal cerita.

“Sebenarnya apa yang kami boleh baca tentang perangai jiran kami ini dia suka berlagak.  Tetapi kalau setakat duduk rumah teres setingkat, janganlah berlagak macam orang kaya. Nak tunjuk pada siapa? Kami tak hairan pun? Kalau betul berduit beli rumah banglo besar, barulah ada kelas betul-betul bergaya!

“Beberapa bulan lepas anaknya kahwin dia buat ubah suai rumah. Dia beritahu jiran sebelah menyebelah tentang projeknya nak tambah bilik. Kami ok aja. Katanya lagi dia pilih kontrektor yang baik dan akan jaga kebersihan kawasan, tak ada papan atau kayu bersepah, cat terpalik atau simin dan pasir bertabur. Dia akan letak tong khas. Dan dia akan pantau sendiri kontrektornya buat kerja nanti. Kami ok aja.

“Tapi janji tinggal janji, hasilnya tayar kereta jiran kami kena paku, motor kena cat, simin dan pasir dibiarkan bertaburan berhampiran rumah jiran. Hasilnya bertambah banyaklah tandas kucing dengan harumannya meloyakan tekak. Peliknya nama aja sekolah tinggi lulus universiti, tapi akal macam `keledek rebus’

“Suatu hari, sedang kami berbual sambil menyapu sampai di anjung kereta, kontrektor rumah datang bertanyakan sama ada jiran `kaya’ kami ada di dalam atau tidak. Kami kata tak tahu. Dalam hati terfikir takkan rumah dah siap hutang kontrek tak habis bayar?

“Di pendekkan cerita kalau hidup berjiran pandai-pandailah ambil hati,  berbudi bahasa malah agama pun suruh berbaik dengan jiran. Tapi kalau buang sampah dalam longkang hingga rumah jiran banjir, atau biarkan kucing melabur sesuka hati hingga menyusahkan hidup jiran, lebih baik hidup sendirian, tak sapa ambil peduli,’’ itu cerita Norsalimah bersama temannya untuk kita sama fikir-fikirkan.

ep2p-2