Bertemu Laos Petang Ini, Harimau Malaya Cari Kemenangan Moral

KUALA LUMPUR – Hanya kemenangan ke atas Laos dalam perlawanan persahabatan kelas A petang ini mampu mengembalikan semula keyakinan skuad Harimau Malaya sebelum perlawanan dengan Timor Leste dalam kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 lima hari kemudian.

Pengendali skuad negara Datuk Ong Kim Swee nyata berpuas hati dengan keadaan pemain yang sentiasa meningkat lebih baik dari semasa ke semasa dan dia mahu barisan pemainnya memberi aksi lebih daripada 100 peratus.

Tambahnya, kemenangan di Stadium Thupatemi Royal Thai Air Force, Bangkok esok adalah mustahak untuk pasukan dan diharapkan mereka dapat menampilkan aksi seperti perlawanan terakhir menentang Arab Saudi awal bulan lalu.

“Keadaan pemain bertambah baik dari hari pertama hingga sekarang, semalam kita tiba lewat dan pemain tidak mempunyai masa rehat yang mencukupi tetapi hari ini (semalam) pemain nampak bertambah baik.

“Saya harap esok (hari ini) apabila menentang Laos kita akan bermain dengan lebih baik. Keadaan padang tidak menjadi masalah untuk pemain menyesuaikan diri kerana padang di stadium ini baik. Apa yang penting adalah kemenangan untuk mengembalikan keyakinan pemain.


“Harap esok tidak hujan. Kita akan dapat gambaran untuk melihat di mana kelemahan dan kekuatan kita… Jadi dari situ kita dapat memperbaiki kelemahan dan mepertingkatkan apa yang sepatutnya sebelum menentang Timor Laste,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selepas menentang Laos pukul 4 petang ini, skuad Kim Swee akan ke Dili untuk bertemu Timor Leste, pasukan yang mengikat mereka dengan keputusan seri 1-1 di Bukit Jalil.

Sementara itu, penyerang Johor Darul Ta’zim, Safee Sali berharap kemenangan mampu diraih bersama rakan pasukannya dalam perlawanan persahabatan hari ini untuk meningkatkan keyakinan pasukan dan dia sendiri berazam untuk memberi aksi terbaik.

“Saya harap dapat keyakinan semula selepas lama tidak bermain dengan skuad kebangsaan. Saya harap prestasi cemerlang dengan JDT dapat diteruskan bersama skuad negara. Dari segi fizikal semua pemain telah bersedia namun mental mungkin tidak lagi kerana sebelum ini dikritik teruk oleh banyak pihak,” ujarnya.

Comments

comments

ep2p-5small