Apakah Ini Motif Sebenar Serangan Tun M Terhadap Najib?

Baru-baru ini, ada pihak yang mendakwa kononnya mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dibeli oleh pihak pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak. Begitulah dakwaan dari pihak berkenaan.

Penulis tidak menyalahkan mereka untuk menuduh begitu pada Tun M. Mungkin mereka geram dengan tindakan bekas Perdana Menteri itu. Namun penulis tidak pasti dari pihak itu mendapat asas untuk menuduh sedemikian.

Walau bagaimanapun, penulis secara peribadi menolak dakwaan tersebut. Sebagai seorang yang membesar di zaman Tun M dan mengikuti perkembangan dunia politik tanahair hampir 20 tahun, penulis menolak tuduhan sebegitu terhadap beliau.

Sekiranya dilihat pada karektor Tun M sejak beliau mula berpolitik, langsung tidak menunjukkan beliau adalah seorang yang jenis mudah dibeli dengan wang ringgit. Walau kocek dan akaun banknya kosong sekalipun, hidupnya kadangkala lebih dari Raja atau Sultan, bukan? Untuk apa lagi wang padanya?

Pada pandangan penulis, mungkin ada agenda besar di sebalik perlakuan Tun M yang bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan Najib. Selalunya, Tun M tidak akan begitu bersungguh-sungguh sekiranya agenda tindakannya itu kecil. Jika agenda kecil, beliau selalunya hanya menghantar ‘macai-macai’nya sahaja untuk selesaikan…

Namun agenda untuk menjatuhkan Najib telah membuat Tun M menggagahkan dirinya untuk berdiri berjam-jam di atas pentas walaupun usianya kini sudah menjangkau lebih dari 90 tahun. Satu tindakan dan perlakuan yang amat luar biasa dari orang warga emas yang ‘terlalu emas’, bukan?

Sejak Tun M mula menjalankan kempen menjatuhkan bekas Perdana Menteri terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, mungkin ramai yang melihat tindakan tersebut adalah satu perlakuan normal, tanpa mengetahui agenda di sebalik agendanya yang lebih besar dan bersifat jangka panjang.

Namun setelah beliau mula menyerang dan begitu serius mahu menjatuhkn Najib yang beliau setujua sebagai Perdana Menteri menggantikan Pak Lah dulu, desas-desus matlamat sebenar agenda Tun M semakin dapat dihidu oleh ramai pihak di dalam UMNO.

Malah ketika itu, ada di kalangan mereka yang memahami gerakan politik Tun M mula mencatur dan melihat tindakan mantan Perdana Menteri itu berkemungkinan besar berkait rapat dengan faktor legasi, kroni dan anaknya, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir.

Khabarnya, beliau bengang habis apabila Najib masih lagi enggan membina jambatan bengkoknya di Johor setelah projek mega itu dibatalkan Pak Lah dulu. Itu hanyalah salah satu dari legasinya, tidak termasuk desas-desus beliau meminta berbilion ringgit dana kerajaan supaya diberikan pada Proton dan ditolak.

Kemudian, timbul pula desas-desus yang mendakwa kroni-kroni yang dikayakan Tun M merungut dan mengeluh kononnya Najib enggan lagi mengkayakan mereka selepas menjadi Perdana Menteri.

Khabarnya kroninya di dalam Petronas masih selamat kerana beliau masih lagi menjadi Penasihat di GLC itu. Pernah sekali Tun M mengumumkan hasrat untuk meletak jawatan sebagai Penasihat Petronas, tapi menurut desas-desus, beliau telah menghubungi Najib untuk menarik balik keputusan itu dan mahu terus memegang jawatan tersebut. Khabarnya ia dilakukan demi menyelamatkan kroni-kroninya, benarkah?

Namun khabar angin yang paling kencang bertiup adalah dakwaan yang mengatakan Tun M mahu jatuhkan Najib untuk memberikan laluan ‘ekspress’ kepada anaknya, Mukhriz untuk menjadi Perdana Menteri dengan seberapa segera. Kalau boleh sebelum beliau tutup ‘mata’, begitulah yang tersebar di laman sosial dan kedai kopi…

Gara-gara desas-desus itu, dikatakan pening juga kepala Mukhriz di Kedah. Hendak disangkal, yang membuka laluan untuknya itu ialah bapanya sendiri. Hendak dinafi langkah itu, Najib bukan lawan Mukhriz. Bertanding Ketua Pemuda dan Naib Presiden UMNO sebelum ini pun gagal, apa daya Mukhriz untuk rebut jawatan Presiden?

Namun pada penulis, sekiranya dirangkumkan ketiga-tiga desas desus dan khabar angin itu, agak logik juga jika ia dilihat sebagai agenda utama kesungguhan Tun M untuk menjatuhkan Najib sebagai Perdana Menteri. Ahli politik tetap ahli politik walaupun sudah bersara, bukan?

Walau bagaimanapun, pada pandangan penulis, agenda itu tidak sebegitu mudah untuk dilaksanakan Tun M. Najib bukan Pak Lah. Malah ciri-ciri politik Najib itu adalah hasil didikan Tun M dan tokoh-tokoh UMNO terdahulu yang hebat-hebat. Beliau tidak mudah ditumbangkan.

Malah pada pandangan penulis, jika Tun M berlebih-lebih sangat dan Najib sudah hilang sabar serta merasakan perkara serangan itu terlalu mendesak, mungkin banyak perkara yang kita tidak tahu tentang Tun M bakal didedahkan pihak tertentu. Itukan ‘style’ Tun M dulu yang diperturunkan pada Najib? Ingat pada kes Anwar?

Cuma penulis terkilan sekiranya Mukhriz yang menjadi mangsa keadaan. Agak sayang juga jika pelapis kepimpinan UMNO itu ‘terkorban’ akibat perlakuan bapanya sedangkan Mukhriz sudah tentu tidak dapat melawan bapanya itu. Akhirnya, mungkin nanti yang menang jadi arang dan yang kalah jadi abu, bukan?

Justeru itu, demi kestabilan politik negara dan kemakmuran Malaysia, tidak perlulah berpolitik sangat. Rakyat muak nanti dengan kredibiliti Tun M yang semakin tercalar dengan fakta palsu yang diubahsuai. Takkanlah sudah masuk kubur baru nak berhenti, bukan? Mengucaplah Tun M dan semoga diberkati Allah. – CheDot/Utaranews.com

ep2p-5small