Previu Piala Malaysia 2015: Tujuh pertemuan malam ini

KUALA LUMPUR: Selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) merekod kemenangan pada aksi pembukaan Piala Malaysia 2015, malam tadi, 14 lagi pasukan akan membuat perhitungan sama, malam ini.

JDT dengan status juara Liga Super 2015 jelas tidak mahu menghampakan ribuan penyokong sendiri di Larkin selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Perak. Apa yang pasti, kejayaan itu turut diharap mampu dijelmakan kesemua 14 pasukan yang turun malam ini membabitkan tujuh perlawanan yang dijangka menarik dan mendebarkan.

Daripada 14 pasukan yang bakal menampilkan aksi masing-masing, 10 daripadanya hadir dari saingan elit Liga Super dengan empat daripada datang daripada pasukan Liga Perdana. Pada aksi Kumpulan A, turun ke gelanggang lebih awal hari ini ialah kelab dari negara jiran, Lions XII yang melayan juara Liga Perdana, Kedah di Stadium Jalan Besar.

BACA: VIDEO JDT Buka Kempen Piala Malaysia Dengan Kemenangan

Kembali beraksi di saingan elit, Liga Super musim pasti mencetus semangat pasukan yang dibimbing jurulatih, Tan Cheng Hoe itu namun perlu diingat, aksi di padang yang menggunakan rumput tiruan jelas memberi kesukaran berbeza.

Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu adalah pada 2013 yang menyaksikan Kedah mencatat kemenangan 2-1 pada aksi persahabatan. Namun dalam kempen Piala Malaysia, Lions XII jelas lawan yang sukar buat Kedah yang tewas 3-1 di laman sendiri pada kempen 2013 dengan aksi di laman lawan terikat 2-2.

Satu lagi aksi Kumpulan A berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang turut menemukan lawan daripada dua saingan liga, Terengganu bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT II) . Berdasarkan prestasi, Terengganu tampak tidak bermasalah untuk menjinakkan JDT II terutama selepas gah membenam Pahang pada perlawanan terakhir Liga Super, bulan lalu.

Bagi aksi Kumpulan B, Sarawak dijangka tidak bermasalah untuk menundukkan pasukan yang sedang bermasalah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di laman sendiri, Stadium Negeri.


Aksi Kumpulan C pula dijangka paling menarik malam ini yang menemukan juara 32 kali, Selangor menentang Kelantan di Stadium Shah Alam. Meneruskan ‘Misi 33’ yang tertangguh sekian lama, Selangor pasti mengharapkan aksi di laman sendiri untuk menjinakkan Kelantan dengan kedua-duanya sepanjang musim ini beraksi dalam keadaan tidak konsisten.

Pada dua perlawanan liga sebelum ini, Selangor dan Kelantan masing-masing meraih sekali kemenangan yang menggambarkan betapa aksi sengit bakal dijelmakan.

Satu lagi perlawanan Kumpulan C berlangsung di Stadium MP Selayang yang menemukan FELDA United bertemu pasukan dari Liga Perdana, T-TEAM. Di atas kertas, FELDA jelas yang memiliki pemain berkualiti seakan tidak bermasalah untuk menundukkan T-Team yang dikendalikan Tomislav Steinbrückner.

Namun kekalahan mengejutkan pada aksi terakhir Liga Perdana kepada Kuantan FA pasti mahu diubati yang menjadikan T-Team lebih berbahaya.

Satu lagi perlawanan menarik menemukan juara bertahan, Pahang dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) di Stadium Darul Makmur. Begitupun, hadir selaku penyandang juara bukan bermakna laluan mudah buat Pahang, yang jelas terumbang ambing di penghujung saingan Liga Super lalu.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan D, Pulau Pinang pasti tidak mahu persiakan peluang beraksi di gelanggang sendiri ketika melayan kunjungan PKNS FC di Stadium Bandaraya.

Sumber BH

Comments

comments

ep2p-2