Parti Mat Sabu tolak cadangan Anwar Ibrahim.

Jurucakap Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamed Hanipa Maidin menolak cadangan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung gabungan pakatan baharu yang mahu penyertaan Pas kekal dalam gabungan pembangkang itu.

Hanipa berkata, Amanah tidak mahu menerima cadangan bekas ketua pembangkang itu kerana mereka percaya dengan kemasukan Pas dalam pakatan baharu akan merosakkan lagi hubungan sesama parti dalam gabungan itu seperti yang berlaku sebelum ini.

Tambahnya, langkah itu tidak realistik kerana kemasukan Pas tidak diyakini akan membawa permuafakatan dan menguntungkan gabungan pembangkang baharu itu.

Jelas Hanipa, beliau tidak melihat parti Islam itu sebagai aset yang dapat membantu pakatan pembangkang yang baharu memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Maka saya penuh yakin, mengambil kira realiti politik sekarang, keberadaan Pas dalam permuafakatan politik baru atau Pakatan Rakyat 2.0 bagi menggantikan PR tidak akan menguntungkan mana-mana parti dalam PR 2.0 itu nanti.

“Bagi saya dengan sikap, gaya politik dan stail saf kepimpinan Pas yang ada sekarang saya tidak rasa Pas adalah aset kepada PR 2.0,” kata Hanipa.

Hanipa berkata, DAP juga tidak akan bersetuju dengan cadangan Ketua Umum PKR itu kerana sememangnya kedua-dua parti itu berbeza pendapat dan telah memutuskan tahaluf siyasi antara dua parti terbabit.

“Saya juga tidak nampak bagaimana DAP boleh menerima keberadaan Pas dalam PR 2.0 setelah apa yang DAP rasai dalam PR dulu,” katanya.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar Pas tidak dimasukkan dalam gabungan pakatan 2.0 dan membiarkan sahaja Pas bergerak secara solo bagi menghadapi PRU akan datang.

“Saya menyimpulkan PR atau PR 2.0 hanya mampan jika Pas tidak dilibatkan sebaliknya ia hanya meliputi PKR, DAP dan PArti Amanah Rakyat saja.

“Biarlah Pas dengan politik solonya dan tidak diganggu untuk membawa agendanya secara solo,” ujarnya.-Utaranews.com-

ep2p-5small