Muhyiddin kini sudah jadi "Chinese First"

Saya antara orang yang tidak bersetuju bila  PESAKA memutuskan untuk menghimpunkan orang Melayu di Padang Merbok.  Bukan saya tidak bersetuju kerana mereka mahu berhimpun untuk menunjukkan bahawa orang Melayu mampu bangkit jika maruah mereka disentuh.  Tetapi, saya tidak setuju terhadap pemilihan lokasi kerana amat mustahil padang sebesar Padang Merbok itu bisa dipenuhkan.

Sepanjang tempoh mengepalai puluhan siri demonstrasi sejak 1998, lokasi sekitar Kuala Lumpur yang biasanya kita pilih untuk berhimpun ialah sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan lorong-lorong sekitar Dataran Merdeka.  Sebabnya sangat mudah,  kita akan kelihatan ramai bila bersesak di lokasi sempit dan kita juga tahu DBKL pasti tidak akan mengizinkan penggunaan Dataran Merdeka.  Itulah sebabnya kenapa sehingga kini BERSIH dan Pembangkang tidak pernah bersetuju bila pihak berkuasa mengarahkan supaya perhimpunan mereka beralih ke padang.

Namun, Perhimpunan Rakyat Bersatu atau MERAH 169 jelas telah membuktikan bahawa saya silap.  Bukan takat silap, tapi  sangat silap.  Dalam keadaan perhimpunan yang dianjurkan secara mengejut, tanpa kesempatan untuk merancang dengan teratur, tanpa publisiti meluas, dengan ketidaktentuan samaada jadi berhimpun atau tidak, kehadiran lebih 250,000 peserta jelas telah membuktikan bahawa orang Melayu sememangnya akan bangkit bersatu bila pemimpin mereka dihina dan maruah mereka dicabar. 

Apapun, kita kena terima hakikat bahawa penyatuan Melayu pada 16 September lalu, tidak mungkin akan berjaya tanpa penzahiran sikap biadap dan kurang ajar penyokong DAP diperhimpunan BERSIH4.

Melihat kebangkitan Melayu yang luar biasa bahangnya itu, mulalah mengelupur sesetengah pihak termasuk beberapa rakan komponen BN.  Antara yang lantang bersuara termasuklah Timbalan Presiden MCA yang menyatakan bahawa “jantung mereka berdarah” akibat perhimpunan itu. 

Wee Ka Siong juga antara yang lantang mendesak Perdana Menteri pada Mesyuarat Kabinet 2 dan 9 September lalu agar Perhimpunan Merah 169 dibatalkan.  Tapi bila Ketua Pemuda MCA menyatakan ahli MCA tidak dihalang untuk menyertai BERSIH 4 dan tidak akan diambil tindakan, tidak pula kita dengar Ka Siong mendesak Ketua Pemudanya Sin Woon untuk menarik balik kenyataannya.  Reaksi Ka Siong ini tidaklah menghairankan, untuk menang di kawasan Ayer Hitam sememangnya beliau perlu dilihat sebagai juara masyarakat Cina.

Apa yang menghairankan saya ialah bila membaca kenyataan Timbalan Presiden UMNO yang satu ketika dahulu terkenal dengan ungkapan “I am Malay First, Malaysian Second”.  Bukan setakat saya terkejut dengan perubahan sikap Muhyiddin, Presiden Gerakan, Mah Siew Keong juga turut melahirkan rasa terkejut beliau.  Apapun, sudah pastilah beliau gembira bila pahlawan Malay First sudah jadi Chinese First. 

Ketika berucap dalam satu program dialog dengan Persatuan Cina dan rakyat di Pagoh semalam, Muhyiddin mengatakan Perhimpunan MERAH 169 bukan sahaja telah memberikan kesan negative, tetapi perhimpunan itu juga telah melukakan perasaan bangsa lain.

Dalam ucapan yang sama, Muhyiddin mengesa agar MCA dan Gerakan berani menyuarakan bantahan mereka demi mencari penyelesaian dalam pelbagai masalah kini.  Kata Muhyiddin lagi, Perhimpunan Merah tersebut diadakan untuk memenuhi agenda politik pihak tertentu, bukan untuk rakyat.  Menurut Muhyiddin, semua bangsa merasa kurang selesa dengan penganjuran perhimpunan MERAH 169 dan peniaga-peniaga di Jalan Petaling terpaksa menutup kedai akibat ketakutan.

Baru sahaja minggu lepas Muhyiddin menyatakan kesetiaannya terhadap Parti dengan harapan agar beliau tidak dipecat sebagai ahli UMNO.  Namun, ayat-ayat yang keluar dari mulut Muhyiddin di Pagoh jelas membuktikan beliau masih menangguk di air yang keroh dan cuba menghasut MCA dan Gerakan untuk menjayakan agenda undi tidak percaya terhadap PM. 

Saya nak bertanya kepada Muhyiddin 3 perkara.  Pertama, adakah BERSIH bebas dari “Agenda Politik”dan benar-benar ikhlas untuk Rakyat? Kedua, adakah ketika Perhimpunan BERSIH dianjurkan, orang Melayu dan bangsa lain di Malaysia selesa melihat gambar dan patung pimpinan mereka dipijak, disepak dengan selipar serta penyapu? 

Ketiga, jika beliau bersimpati dengan Peniaga Jalan Petaling yang terpaksa tutup kedai ketika Perhimpunan Merah, tidakkah beliau bersimpati dengan peniaga-peniaga Melayu dan bangsa lain di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid India dan beberapa lokasi lain akibat BERSIH dan puluhan demonstrasi pembangkang selama ini?  Sepatah harampun saya tidak dengar komen Muhyiddin tentang BERSIH 4, lebih-lebih lagi bila mentornya sendiri, Tun Mahathir turut hadir BERSIH 4.

Terang lagi bersuluh bahawa kini Muhyiddin sama terdesak dengan Tun Mahathir.  Bila gagal mendapatkan sokongan daripada bangsa Melayu, kini mereka berdua sanggup menjadi pejuang bangsa lain agar mereka terua kekal releven dan diingati.  Nasihat saya pada Tan Sri Muhyiddin, “Harimau Mati Tinggalkan Belang, Manusia Mati Tinggalkan Nama”.  Kalau iapun hendak tingalkan nama, tinggalkanlah nama yang baik sebelum kita mengadap Ilahi. – Lokman Adam

ep2p-2