KEPUTUSAN SESI PERBINCANGAN AHLI JAWATANKUASA EKSEKUTIF FAM

Berikut adalah keputusan yang dicapai pada sesi perbincangan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada 11 September 2015 seperti yang dinyatakan Timbalan Presiden, Dato’ Sri Haji Afandi bin Hamzah pada sidang media:

SURAT TUNJUK SEBAB PESURUHJAYA SUKAN MALAYSIA

“Kami ingin mengesahkan bahawa pihak FAM telah menerima surat tunjuk sebab dari Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) berkaitan dengan insiden berlaku pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia lawan Arab Saudi di Stadium Shah Alam pada 8 September 2015.

“FAM telah diberikan tempoh selama 14 hari dari tarikh surat itu diterima pada 9 September 2015 untuk menyediakan jawapan.

“Jawatankuasa Eksekutif FAM juga akan memohon satu pertemuan diadakan bersama YB Menteri Belia dan Sukan; Khairy Jamaluddin bagi membincangkan secara terus mengenai aspek bola sepak negara.”

MESYUARAT PASUKAN PETUGAS

“Jawatankuasa Eksekutif FAM tahu bahawa kesemua masyarakat bola sepak kecewa dengan apa yang telah berlaku sekarang ini, keputusan perlawanan, insiden yang berlaku dan sebagainya. Presiden FAM, KDYTM Tengku Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah juga sememangnya rasa kecewa dengan apa yang telah berlaku.

“Jawatankuasa Eksekutif FAM sendiri sebulat suara turut berasa kecewa di atas semangat tanggungjawab bersama. Setelah membincangkan kesemua perkara, kita juga memfokuskan kepada tindakan yang boleh diambil khususnya dalam konteks perkembangan pasukan.

“Jawatankuasa Eksekutif FAM telah bersetuju bahawa lima perkara iaitu; pembangunan belia, liga tempatan, pengurusan FAM, status pasukan Kebangsaan dan status Harimau Muda bakal diperincikan oleh Pasukan Petugas FAM – Penilaian Pasukan-Pasukan Kebangsaan (FAM Task Force – Assessment of the National Teams).

“Pasukan Petugas FAM juga telah menetapkan untuk bersidang pada masa terdekat iaitu; Isnin ini (14 September 2015) dan kemudiannya untuk memperakukan kesemua perkara yang berkenaan.”


INSIDEN YANG BERLAKU DI STADIUM SHAH ALAM PADA 8 SEPTEMBER 2015

“FAM telahpun mendapatkan penjelasan dan kerjasama daripada pihak polis khususnya daripada; IPK Selangor, OCPD Shah Alam dan masih meneruskan kerjasama bersama pihak terbabit.

“Pada masa yang sama FAM juga melahirkan rasa dukacita dan telah bersetuju untuk menghantar satu surat memohon maaf kepada Arab Saudi melalui Kedutaan Arab Saudi dan termasuk juga Kedutaan-Kedutaan yang turut hadir pada malam tersebut (8 September 2015).”

ASPEK KESELAMATAN STADIUM

“Kita juga memberi tumpuan kepada aspek-aspek keselamatan (di stadium) dan telah meminta Jawatankuasa Keselamatan FAM untuk bersidang segera mengenai perkara ini dan mengemukakan cadangan-cadangan demi penambahbaikan supaya perkara-perkara seumpama ini tidak lagi berlaku selepas ini.”

Sumber FAM

Comments

comments

ep2p-5small