LONDON: Bekas pengurus Borussia Dortmund, Jurgen Klopp dilaporkan lebih berminat untuk mengendalikan skuad kebangsaan Belanda berbanding melatih kelab Inggeris, Liverpool.

Klopp, 48 tidak mengikat kontrak dengan mana-mana kelab sejak meninggalkan Dortmund, penghujung musim lalu dengan pengurus Liverpool, Brendan Rodgers kini berdepan ancaman disingkirkan selepas persembahan kurang meyakinkan The Reds.

Kedudukan Rodgers di Anfield kian terancam selepas kekalahan berturut-turut terbaharu 3-1 Liverpool kepada Manchester United di Old Trafford.

Begitupun, berbanding mengambil alih tugas di Anfield, Klopp dikatakan mahu memegang peranan besar bersama Belanda yang ketika ini berdepan kempen kelayakan Euro 2016 yang mengecewakan.

Pengendali kelahiran Jerman itu sebelum ini berkata dia mahukan ruang dan masa untuk berehat daripada bola sepak namun ia tidak menghentikan spekulasi di mana destinasinya selepas ini.

Belanda yang menduduki tempat ketiga Piala Dunia 2014 kini menghuni tangga keempat kumpulan dan ketinggalan dua mata daripada aksi play-off kejohanan di Perancis itu.

Danny Blind mengambil alih tugas mengendalikan skuad kebangsaan Belanda selepas peletakan jawatan Guus Hiddink sejurus kekalahan kepada Iceland dan Turki.

Laporan di Jerman mendakwa Klopp lebih berminat untuk menguruskan pasukan kebangsaan dan tugas itu tersedia untuknya andai Belanda gagal layak ke Perancis. – Agensi

Comments

comments