Fatwa Dewan Ulamak PAS – Sokong DAP adalah bertentangan dengan Islam

KENYATAAN DEWAN ULAMAK PAS NEGERI PERAK

1. Dewan Ulamak Pas Negeri Perak (DUPNPk), setelah meneliti teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang, terutamanya berhubung dengan penyataan berikut, “Malahan terdapat segelitir umat Islam yang menyertai DAP, yang jelas bertentangan dengan Islam”. Setelah meneliti penyataan ini dan penyataan-penyataan sebelum dan selepasnya, DUPNPk bersetuju bahawa penyataan tersebut tidak berbentuk fitnah, tetapi dalam bentuk nasihat daripada sebuah badan yang berautoriti di peringkat negeri memperkatakan tentang Islam, malah keautoritiannya dipelihara oleh undang-undang.

2. DUPNPk ingin mempertegaskan bahawa salah satu punca terputusnya hubungan politik (tahaluf siasi) PAS dengan DAP adalah disebabkan sikap keras dan lantang DAP terhadap pelaksanaan Syariah Islamiah, secara khusus dalam isu Kanun Janayah Syariah Negeri Kelantan, walaupun setelah dinyatakan pelaksanaannya hanya kepada umat Islam di negeri Kelantan. Di sini DUPNPk ingin menegaskan sekali lagi agar DAP jangan suka campurtangan urusan Islam, apatah lagi berhasrat mencampuri urusan badan yang telah diamanahkan menjaga pentadbiran Islam seperti JAIP.

3. DUPNPk juga amat kecewa apabila ada dalam kalangan pimpinan DAP yang beragama Islam berhasrat untuk mengambil tindakkan undang-undang  terhadap Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), jika enggan memohon maaf. DUPNPk amat-amat kecewa, bagaimana seorang muslim yang beragama Islam berhasrat menyaman sebuah badan yang berautoriti memelihara dan menjaga kewibawaan Islam? Perkara ini memang amat bertentangan dengan fitrah seorang yang menghayati Islam.

4. Dengan penegasan dan kekecewaan tersebut, kami daripada Dewan Ulamak Negeri Perak (DUPNPk) bersolidariti dan memberikan sokongan penuh terhadap sikap tegas Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) TIDAK MEMOHON MAAF KEPADA DAP bagi memelihara maruah sebuah badan yang diberikan amanah menjaga martabat dan kesucian Agama Islam, agama yang terang dan jelas terpelihara dalam perlembagaan Negara.

5. Akhirnya, DUPNPk juga menasihatkan pimpinan DAP yang beragama Islam atau bukan Islam, agar membatalkan hasrat dan niat kalian untuk mengambil tindakkan undang-undang terhadap sebuah badan berautoriti menjaga Agama Islam, supaya kalian tidak dilihat dan terlihat berterusan menentang Agama Islam.

Sekian wassalam,

Tuan Guru Sidek Mohd Noor
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perak.
14 Zulhijjah 1436
28 September 2015

ep2p-5small