Dollah Yakin Bawa Pulang Satu Mata, Hazwan Tekad Robek Gawang UAE

KUALA LUMPUR – Walaupun lawan yang bakal dihadapi bukan calang-calang pasukan namun Dollah Salleh tetapi optimis untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata daripada perlawanan menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) hari ini.

Selepas menyaksikan persembahan anak-anak buahnya beraksi menentang Bangladesh dalam perlawanan persahabatan minggu lalu, Dollah beranggapan persiapan pasukannya boleh dianggap tidak cukup sempurna menjelang pertemuan dengan UAE, yang merupakan salah satu pasukan terkuat dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018-Piala Asia 2019, tetapi berasakan satu mata mampu dibawa pulang dari Abu Dhabi.

“Kami menghadapi Bangladesh untuk perlawanan persahabatan (Sabtu lalu) dan sekadar seri 0-0. Jadi persiapan menghadapi UAE ini boleh dianggap tidak begitu sempurna.

“Tetapi berdasarkan persembahan pemain pada separuh masa kedua bertemu Bangladesh itu, mereka beraksi dengan baik. Cuma masalah utama kami, penyerang gagal menjaringkan gol.

“Untuk berdepan UAE, bukan tugas mudah kerana mereka boleh dianggap salah satu pasukan terbaik di Asia. Namun misi kami ke Abu Dhabi ini bukan untuk bertahan, tetapi mahu memastikan sekurang-kurangnya satu mata dapat dibawa pulang. Itu sudah memadai.

“Selepas kami tewas 6-0 kepada Palestin dalam perlawanan terdahulu, saya yakin pemain mahu memandang ke hadapan untuk memberikan yang terbaik dalam perlawanan menentang UAE esok. In sya Allah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Skuad negara bakal menghadapi UAE di Stadium Mohamed Zayed untuk perlawanan ketiga mereka dalam kelayakan Piala Dunia 2018-Piala Asia 2019. Selepas itu Harimau Malaya bakal menerima kunjungan Arab Saudi pada 8 September ini di Stadium Shah Alam.

Ketika ini pasukan negara menduduki tangga tercorot dalam Kumpulan A selepas seri 1-1 dengan Timor Leste sebelum diaibkan oleh Palestin manakala UAE berada di tangga ketiga setelah menewaskan Timor Leste 1-0 dan pertemuan itu merupakan perlawanan kedua mereka.

Sementara itu, kapten Harimau Malaya, Mohd. Safiq Rahim turut senada dengan Dollah malah pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berikrar bahawa dia dan rakan-raikannya tidak akan memberi laluan mudah kepada UAE biarpun menyedari kredibiliti pasukan itu.

“Sudah tentu UAE antara pasukan terbaik di Asia. Tetapi kami takkan beri laluan mudah kepada mereka. Kami akan memberikan persembahan terbaik, sepenuh komitmen dan fokus seratus peratus untuk perlawanan esok.

“Sasaran kami ialah untuk mendapatkan mata dan memastikan satu keputusan positif dapat dibawa balik dari Abu Dhabi. Jadi saya rasa kami mampu untuk memberikan sepenuh komitmen, tumpuan, disiplin dan mengikut arahan serta taktikal jurulatih. Yang paling penting, disiplin dalam permainan,” katanya.

Sementara itu pemain sayap Selangor, Ahmad Hazwan Bakri bertekad untuk menjaringkan gol dalam pertemuan Harimau Malaya menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Mohammad Zayed esok dalam saingan Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018-Piala Asia 2019.

Menyedari hakikat lawan yang bakal dihadapi dianggap sebagai pasukan pilihan berbanding skuad negara, namun Hazwan percaya tiada yang mustahil dalam bola sepak dan kejutan bakal dicipta hari ini.

UAE ketika ini jauh di hadapan Malaysia dalam ranking dunia iaitu di tempat ke-70 manakala Harimau Malaya ke-168.

Selepas gagal menterjemahkan gol ketika dihidangkan peluang terbaik untuk melakukannya sewaktu berdepan Bangladesh dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam Sabtu lalu, Hazwan berasakan dia kini sudah lebih bersedia untuk mengukir namanya sebagai penjaring gol.


“Bagi saya sesiapa pun boleh menjaringkan gol kerana seandainya pemain itu memiliki peluang untuk melakukannya. Walaupun kita berdepan dengan pasukan yang kuat namun tidak mustahil untuk kita mencipta kemenangan. Apa yang penting kami perlu mengikut taktikal jurulatih (Dollah Salleh).

“Sememangnya saya memasang hajat untuk menghasilkan gol kerana saya mahu membantu skuad negara mencipta kemenangan untuk memperbaiki kedudukan kami dalam kumpulan yang ketika ini menduduki tangga tercorot,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di Abu Dhabi semalam.

“Beraksi di tempat lawan secara tidak langsung memberi tekanan kepada kami dari segi mental namun saya menjadikannya sebagai cabaran untuk kami,” katanya lagi.

Sementara itu, penjaga gol Mohd Khairul Fahmi Che Mat menggesa rakan sepasukannya, terutama di benteng pertahanan, tidak memberi ruang kepada pasangan adik-beradik Omar, Khaled dan Khalid Abdulrahman seandainya mereka bertiga diturunkan oleh pengendali UAE, Mahdi Ali dalam perlawanan hari ini.

“Beraksi di tempat lawan sememangnya memberikan tekanan, tambahan pula mereka memiliki pemain yang bagus terutamanya Omar dan adik-beradiknya. Omar adalah pemain perancang yang bagus, jadi kami perlu bersedia dari segi fizikal dan mental.

“Kalau dilihat dari segi fizikal kami tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan UAE kerana di bahagian pertahanan kita ada pemain yang tinggi. Bagi saya taktikal serta strategi adalah aspek utama… walaupun kita menghormati lawan tetapi apa sahaja boleh terjadi dalam bola sepak.

“Kami perlu mengutip sama ada tiga atau satu mata sekurang-kurangnya untuk memperbaiki kedudukan dalam kumpulan,” katanya.

Utusan

Comments

comments

ep2p-5small