Che Det Mudah Lupa: Ainina Dipecat Dari Peraturan Yang Beliau Sendiri Buat

Baru-baru ini, seorang ahli Wanita UMNO di Langkawi telah memfailkan saman terhadap Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak, berhubung dana sumbangan politik berjumlah RM2.6 bilion menerusi akaun peribadi beliau.

Ekoran tindakan yang didapati menyalahi peraturan dan ketetapan perlembagaan parti, ahli Wanita UMNO yang dikenali sebagai Ainina Saadudin itu telah dipecat keahliannya dari parti dan surat pemecatannya ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Gara-gara itu, maka marahlah Ainina dengan pemecatan tersebut. Malah, ada pula pihak yang menyokong kemarahan wanita itu sehingga sanggup menulis surat memuji tindakan Ainina sebagai berani dan berbangga dengan pendiriannya.

Siapa lagi yang mengutus surat berkenaan jika bukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah mengepalai UMNO selama 22 tahun. Penulis yakin, kembang-kempislah hidung wanita itu menerima pujian dari Mahathir…

Memikirkan senario ini, penulis agak tertarik untuk menjelaskan bahawa Ainina dipecat adalah berdasarkan Peraturan 20.7 di dalam Perlembagaan UMNO di mana ia menyatakan bahawa:

“Seseorang ahli yang membawa apa-apa jua perkara parti atau hak keahliannya ke mahkamah sebelum mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan parti maka keahliannya di dalam parti gugur dengan sendirinya.”

Berdasarkan fasal di dalam Perlembagaan UMNO itu, saman Ainina itu secara langsung akan terbatal apabila fasal 20.7 tersebut dikuatkuasakan kerana ia memerlukan ‘locus standi’ sebagai pihak yang mempunyai kepentingan iaitu dalam konteks ini keperluannya ialah sebagai ahli parti.

Mungkin ada di kalangan ‘budak baru’ dan ‘mentah’ yang bertanya tentang siapakah gerangan yang membuat peraturan tersebut di dalam UMNO?

Makluman penting yang perlu diketahui Ainina, ahli UMNO mahupun mereka yang masih ‘kanyaq’ tapi tunjuk bagus itu, fasal berkenaan telah digubal dan diluluskan UMNO ketika Mahathir menjadi Presiden UMNO pada tahun 1987.

Pada tahun 1987, seramai 11 orang ahli UMNO mengemukakan saman ke atas Presiden dan Setiausaha Agung UMNO kerana didakwa membenarkan beberapa orang perwakilan yang muflis dan perwakilan-perwakilan haram dari cawangan-cawangan haram mengundi dalam Pemilihan UMNO tahun tersebut.

Siapa lagi Presiden UMNO pada tahun 1987 yang menyebabkan UMNO diharamkan secara teknikal dan terpaksa memberikan tampuk kuasa Perdana Menteri kepada Ling Liong Sik selama berbelas hari dan menubuhkan UMNO baru ketika itu? Benar, namanya Mahathir.

Ekoran itulah maka Mahathir sendiri telah meluluskan Fasal 20.7 itu sehingga menyebabkan Ainina dipecat.

Dan kini, Mahathir jugalah yang menghantar surat memuji-muji Ainina yang dihukum peraturan UMNO yang beliau sendiri cipta ketika memegang tampuk kuasa? Nampaknya peraturan tersebut ‘makan tuan’, bukan? Jika tidak ‘makan tuan’, masakan pula Mahathir mahu bersedih atas pemecatan tersebut, bukan?

Pada pandangan penulis, itu hanyalah merupakan sekelumit ‘sumbangan’ Mahathir ketika era beliau mengetuai UMNO secara ‘kuku besi’. Selepas peristiwa 1987 itu, sesiapa saja yang melawan Mahathir maka tahulah nasibnya…

Siapa yang melawan akan didesak letak jawatan. Jika enggan, individu itu akan ditekan habis-habisan. Jika bertanding jawatan, akan kalah. Jika menang pun, akan ‘disejuk bekukan’. Dan jika degil dan cuba jatuhkan beliau juga, maka lihatlah nasib Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Itulah nasibnya jika cuba melawan.

Dalam pengalaman penulis menganalisis politik negara sejak zaman beliau mentadbir negara, beliau memang pantang jika ada di kalangan pemimpin UMNO atau BN yang cuba membangkangnya. Jika tidak, nahaslah karier politik mereka.

Pada pandangan penulis, disebabkan corak pentadbiran itulah maka hanya ada ‘yes man’ di zaman Mahathir menjadi Presiden dan Perdana Menteri. Apabila Pak Lah menjadi Perdana Menteri, keterbukaan beliau yang keterlaluan telah menjadi kelemahan sehingga memaksa beliau terpaksa diturunkan.

Di era Najib pula, mungkin terdorong dengan konsep ‘wasatiyah’ dalam dirinya, maka beliau menggunakan keseimbangan kuasa dengan bertindak tegas pada masa-masa tertentu dan berlembut pada masa-masa tertentu. Ia menjelaskan konsep adil di dalam Islam yang menuntut umatnya bertindak kena pada tempatnya.

Namun, dek kerana terlampau mahu menjatuhkan Najib, disulami dengan emosi dendam kesumat yang menggunung dan menjunjung ego yang tidak bertepi, Mahathir kini sanggup memalukan diri sendiri dengan menjilat kahak yang diludahnya dahulu.

Kisah pemecatan Ainina benar-benar mengulangi episod tahun 1987 dan peraturan yang dicipta Mahathir itu benar-benar memakan diri.

Penulis menyarankan supaya Mahathir lebih berhati-hati dalam tindakannya selepas ini. Penulis harap beliau cakap serupa bikin dan tidak mudah lupa lagi dengan sejarah serta keputusan-keputusan yang beliau pernah lakukan dulu.

‘Precedent-precedent’ yang pernah dilakukan oleh Mahathir ketika berjawatan Presiden UMNO itu perlu beliau ingat semula. Jika perlu, banyakkan membaca Al-Quran supaya dapat ingat semula. Jika lupa juga, mungkin Mahathir boleh cuba makan ‘kismis minda’… – CheDot/Utaranews.com

ep2p-5small