Bola Sepak Malaysia Ibarat Orang Sakit Yang Tidak Dirawat – Bojan Hodak

bojanKUALA LUMPUR – Bola sepak Malaysia ibarat orang sakit yang tidak mene­rima rawatan, dan lama kelamaan penyakitnya makin parah hingga sukar diselamatkan.

Itu senario bola sepak negara ketika ini. Ia sudah lama berdepan kejatuhan prestasi, namun sehingga hari ini tiada tindakan diambil untuk memperbaiki keadaan, kata jurulatih dari Croatia, Bojan Hodak yang berpengalaman membimbing beberapa kelab Liga Malaysia.

Hodak, 44, yang pernah menjadi Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Kelantan dan UPB-MyTeam berkata, sebab utama Malaysia tidak boleh maju adalah kerana pemain tidak diberikan pendidikan yang betul tentang bola sepak serta lewat mendapat pendedahan antarabangsa.

“Masalah paling besar selama 10-12 tahun saya berada di Malaysia ialah, mereka tahu punca sebenar kemerosotan ini dan bercakap mengenainya tetapi tiada sebarang tindakan progresif diambil.

“Perkara ini boleh diatasi sekiranya mereka didedahkan dengan pendidikan awal mengenai bola sepak dan pertandingan kompetitif seawal usia 7 tahun dan ketika menyertai pasukan pertama, mereka sudah memiliki pengalaman beraksi selama 10-12 tahun.

“Di Malaysia, saya melihat kejohanan kompetitif mereka bemula ketika berusia 18-19 tahun, 10 tahun ketinggalan berbanding negara-negara Eropah,” kata Hodak kepada Utusan Malaysia.

Hodak, yang membawa Kelantan merangkul kejuaran treble Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA pada musim 2012 berkata, kekalahan 0-10 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 baru-baru ini membuktikan, masalah bola sepak negara sudah berada di tahap serius.


Malaysia sebelum itu turut di­belasah 0-6 oleh Palestin dalam kejohanan yang sama di Bukit Jalil, Jun lalu.

Hodak yang turut membim­bing JDT menjuarai Liga Super 2014 menambah, satu lagi masalah bola sepak Malaysia adalah kebanyakan persatuan ditadbir oleh ahli politik.

“Di Malaysia, kebanyakan persatuan bola sepak ditadbir ahli politik dan mereka dipilih untuk tempoh empat tahun, jadi mereka mahu mendapat hasil segera tanpa mengambil kira keputusan jangka panjang.

“Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang dilaksanakan KJ (Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin) adalah sesuatu yang baik.

“Namun, saya bimbang apa akan berlaku sekiranya beliau tidak lagi menjawat jawatan itu.

“Kemungkinan ada orang baharu akan menggantikannya dan me­ngubah segala program yang dirancang. Berbeza dengan TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim), beliau akan kekal di Johor, jadi program pembangunan akan diteruskan,” katanya.

Katanya, bagi melahirkan seorang pemain berkualiti, tempoh antara 8-10 tahun diperlukan dan di kebanyakan akademi bola sepak Eropah, barisan pemain terbaik boleh dibentuk dalam tempoh 6-8 tahun kerana mereka memiliki segala kemudahan infrastruktur untuk tujuan itu.

Sementara itu, Hodak memberitahu, Malaysia perlu mewujudkan saingan liga yang lebih kompetitif dengan penglibatan sebanyak mungkin pasukan di setiap peringkat usia bagi memastikan kesinambungan pembangunan sukan itu.

“Untuk membina sebuah rumah, kita perlu memiliki tapak yang kukuh kerana tanpa asas yang kuat, sudah pasti bumbung rumah akan runtuh pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Utusan

Comments

comments

ep2p-5small