Sungai Buloh: Kebakaran mengejut sebuah rumah kedai di Kampung Paya Jaras Hulu di sini, membongkar tindakan penghuninya menyembunyikan bungkusan berisi dadah seberat hampir satu kilogram.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari semalam, seorang lelaki yang mendiami premis itu memaki hamun anggota bomba dan penyelamat yang berusaha menyelamatkannya.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, sepasukan 11 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Kota Anggerik dan Batu Arang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

Menurutnya, seorang lelaki didapati berkurung di dalam premis itu dan memarahi bomba ketika cuba diselamatkan.

“Berikutan itu pihak bomba terpaksa meminta bantuan anggota polis sebelum lelaki itu dipaksa keluar.


“Api marak membakar kedai dan sebuah bengkel kenderaan di kawasan itu berjaya dikawal 20 minit kemudian,” katanya.
Menurutnya, beberapa penduduk mendakwa lelaki berusia 30-an itu mengalami tekanan perasaan dan pernah beberapa kali cuba membunuh diri dengan membakar premis itu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang berkata, polis mengesyaki lelaki terbabit di bawah pengaruh dadah.

Katanya, pihaknya turut menjumpai serbuk putih dipercayai berisi dadah dan kini sedang dihantar ke makmal untuk pengesahan.

VIDEO Kejadian