VIDEO Jaringan Kemenangan, Rodgers Akui hampir keluarkan Coutinho

STOKE-ON-TRENT, England – Brendan Rodgers mendedahkan, dia hampir mengeluarkan Philippe Coutinho beberapa saat sebelum bintang te­ngah itu meledak gol cantik untuk memastikan Liverpool membuka kempen Liga Perdana Inggeris de­ngan me­nundukkan Stoke City 1-0, kelmarin.

“Saya sudah sangat…sangat hampir (untuk mengeluarkannya).

“Dia baru menyertai pasukan tiga minggu lalu dan belum berada pada tahap kecergasan terbaik, jadi saya bercadang untuk membawa masuk Danny Ings.

“Saya lega kerana terlewat membuat keputusan itu. Dia (Coutinho) menjaringkan gol cantik menerusi rembatan kencang yang menakjubkan. Dia sudahpun menjadi bintang dalam liga ini,” kata Rodgers.

Rodgers turut memuji aksi ke­seluruhan pasukan yang berjaya memadam igauan dibelasah 6-1 oleh Stoke dalam kunjungan ter­akhir ke Stadium Britannia.

Malah, kemenangan tersebut pastinya akan melonjakkan sema­ngat mereka untuk mengharungi musim baharu.

“Anda selalunya akan berdepan kesukaran setiap kali bermain di Stoke. Saya rasa pemain telah mempamer persembahan berpasukan yang cemerlang.

“Kami beraksi baik di benteng pertahanan dan kami sedar yang kami memiliki kualiti untuk melakar kemenangan.

“Kekalahan 1-6 hanya boleh berlaku sekali dan perlawanan itu cukup unik. Anda perlu ampuh untuk memastikan ia tidak berulang lagi.

“Kekurangan itu yang kami cuba perbaiki sepanjang pramusim, bagi memastikan benteng pertahanan bermain dengan lebih tersusun. Bagi saya, semua ini mengenai persembahan yang baik dan me­nunjukkan perwatakan sebenar.

“Ini semua untuk memastikan personaliti yang ada dapat ditonjolkan. Sebelas minggu lalu, ia merupakan kekalahan yang me­ngaibkan dan saya berasakan ia perlu ditebus kembali.

“Anda sendiri lihat pasukan ini memiliki kesungguhan dan ia me­rupakan satu petanda baik untuk masa depan,” kata Rodgers.

Rodgers turut memuji kualiti yang dipamerkan pemain antarabangsa Brazil, Coutinho yang meledakkan gol penting empat minit sebelum waktu sebenar permainan tamat.

“Ia merupakan satu gerakan yang cukup hebat, apabila dia berjaya melepasi kawalan pemain te­ngah Stoke dan menyempurnakan satu rembatan yang cukup cantik.

“Saya rasa dia salah seorang bintang Liga Perdana dan dia membuktikan dengan kualiti yang dimiliki­nya,” ujar Rodgers. – AFP VIDEO

ep2p-2