VIDEO Benam DRB Hicom Di Bukit Jalil, Kedah Juarai Liga Premier 2015

KUALA LUMPUR 21 OGOS 2015 - Pasukan Kedah menjuarai Liga Perdana KUALA LUMPUR: Kedah secara rasminya menjulang trofi Liga Perdana selepas menang 5-1 ke atas DRB Hicom pada aksi terakhir liga di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat.

Sementara itu pencabar terdekatnya, Pulau Pinang juga boleh tersenyum setelah mereka menyingkirkan T-Team dalam pertarungan untuk mengi­ringi Kedah ke Liga Super 2016.

Ini bermakna 2 wakil dari utara ini akan bermain di Liga Super pada musim 2016.

Sandro da Silva menjadi wira Lang Merah di depan 12,000 penonton semalam apabila mencipta hatrik (minit 3, 31, 80) sementara Chidi Edeh dengan dua gol (minit 9, 49) manakala jaringan DRB Hicom diperoleh menerusi sepakan penalti Ivan Babic pada minit keenam.

“Pemain berjaya mempamerkan aksi terbaik dan paling penting kami berjaya merealisasi misi meraih tiga mata pada malam ini (semalam). Tahniah kepada pemain, pihak pengurusan dan tidak lupa penyokong yang sanggup datang memberi sokongan tidak berbelah bahagi,” kata jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe.

Pulau Pinang pula mengesahkan mereka menamatkan musim ini selaku naib juara selepas menewaskan UiTM FC 2-0 di Stadium Hang Jebat. Penyerang, Azinee Taib memastikan skuad Harimau Kumbang di depan seawal minit ke-10 sebelum Hilton Moreira menjaringkan gol kemenangan sembilan minit sebelum permainan tamat.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan FA mengecewakan T-Team yang terlepas kedudukan kedua setelah tumpas 2-1. Gol tuan rumah dijaringkan oleh Abdul Malek Mat Ariff pada minit ke-17 dan Milan Purovic selang lima minit kemudian sebelum pelawat memperoleh jaringan sagu hati menerusi Marzuki Yusof pada minit ke-54.

Sementara itu, NS Matrix menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman. Penyerang NS Matrix, Shahrizal Saad meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-52 dan Azizi Matt Rose menjaringkan gol kedua pasukan pada minit ke-80. Gol Kuala Lumpur dijaringkan oleh Choi Hyun-yeon pada minit ke-68.

Di Stadium Likas, Sabah tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim II (JDT II) manakala PKNS FC menewaskan SPA Putrajaya 3-0 di Stadium Hang Tuah.

VIDEO