Ustazah Abby bakal kahwin kali keempat dengan kawan lama..

Bekas pelakon, Arbaeyah Abdul Manan atau lebih dikenali sebagai Abby Abadi, 38, mengesahkan akan menamatkan zaman jandanya dengan seorang jejaka yang hanya dikenali sebagai Jai Ezzany pada 14 Ogos ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Abby menerusi akaun Instagram miliknya kira-kira lima jam lalu apabila dia memberitahu majlis pernikahannya akan berlangsung pada tarikh berkenaan di sebuah masjid di Keramat, Kuala Lumpur.

“Kami umumkan untuk pengetahuan semua agar tiada cerita-cerita yang direka. Insha Allah, cuma tak termampu rasanya nak jemput semua di sini.

“Kad kahwin pun kalau tempah tak sempat siap, jadi begini sahajalah jemputannya. Ampun maaf dipinta ya. Yang mengenali, yang dekat, sahabat-sahabat, tunggu saya mesej nanti. Simpan date (tarikh) ini dulu,” demikian tulis Abby panjang lebar.

Namun, kata Abby, sebuah majlis keraian yang diberi nama ‘Makan-Makan Kasih Sayang’ akan dianjurkan pada 16 Ogos ini khusus bagi meraikan bersama-sama dengan pengedar produk makanan kesihatan, Umaima yang diusahakan olehnya ketika ini.

Dalam entri itu juga, Abby yang pernah popular dengan watak Inspektor Aleeza menerusi drama bersiri dan filem Gerak Khas itu sempat berkongsi secara ringkas pertemuannya dengan bakal suaminya itu.

“Mula kenal dari tahun 2013 tapi tak perasan sangat. Namun, Disember 2014 kami mula berhubung semula atas urusan kerja. Terus berhubung baik sehinggalah akhirnya ‘jodoh’ datang tak terduga.

“Panjang nak cerita. Apapun, kami ambil keputusan untuk mempercepatkan ‘kerja baik’ ini agar sentiasa berada di bawah keredaaan Allah dan tidak terlibat dengan perkara-perkara yang tidak diingini.

“Beberapa minggu sahaja lagi ni. Syukur Allah permudahkan segala perancangan kami. Terima kasih Allah atas jodoh ini. Doakan ini akan menjadi ‘perkahwinan’ yang terakhir buat kami,” ungkapnya dengan penuh harapan yang tinggi terhadap perkahwinan baharunya itu nanti.

Perkahwinan Abby yang juga bekas anggota kumpulan Elite itu merupakan yang keempat selepas tiga kali gagal dalam perkahwinannya sebelum ini.

Difahamkan, anak kelahiran Kuala Lumpur itu pernah mendirikan rumah tangga sebelum menjadi seorang artis dan kemudiannya pada tahun 2002, dia menamatkan zaman jandanya dengan pelakon kacak, Norman Hakim.

Menerusi perkahwinan yang pernah menjadi perhatian meluas satu ketika dahulu itu, mereka dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata sebelum masing-masing mengambil keputusan untuk bercerai pada tahun 2008.

Kemudiannya, pada tahun 2013, Abby mengejutkan ramai pihak apabila berkahwin kali ketiga dengan seorang pemuda, Muhammad Noor Farhan Che Bakar yang 12 tahun lebih muda daripadanya ketika itu.

Namun, perkahwinan itu tidak bertahan lama dan berakhir dengan kontroversi apabila Abby diceraikan dengan talak satu pada 9 Mei 2014. -RP

ep2p-5small