TM Memperkenalkan Unifi Advance Dengan Pilihan 30Mbps dan 50Mbps – Pakej Lebih Laju Bakal Menyusul

Telekom Malaysia hari ini telah mengadakan sebuah acara media ringkas, berkongsi dengan lebih lanjut berkenaan penawaran pakej 30Mbps dan juga 50Mbps yang telah ditawarkan disejumlah kawasan sejak beberapa bulan lepas.

TM Unifi Advance

Untuk kedua-dua pakej ini, Telekom Malaysia menggunakan kaedah penjenamaan baru, dimana ia dinamakan sebagai Unifi Advance, dan pakej tersebut pula dinamakan Unifi 30Mbps dan Unifi 50Mbps – berbanding penggunaan VIP10 dan sebagainya sebelum ini.

Perkara ini memperlihatkan kepada penggunaan jenama baru dalam pakej penawaran Unifi. Memandangkan penggunaan jenama Unifi Advance, kita boleh menyimpulkan pakej jalur-lebar dibawah 30Mbps mungkin menggunakan jenama Unifi sahaja. Disamping itu, pihak Telekom Malaysia turut memberikan petanda yang mana mereka akan hadir dengan pakej internet yang lebih laju – tetapi tidak berkongsi lanjut mengenai apakah kelajuannya, ataupun bilakah ia akan mula ditawarkan.

Melalui pakej 30Mbps, Telekom Malaysia menawarkan ia pada harga RM199 sebulan – yang mana merupakan harga sama seperti Unifi VIP10. Ia turut menawarkan pakej kandungan tambahan untuk HyppTV, selain penawaran tambahan berbayar melaluinya. Pengguna turut boleh menaik-taraf pakej tersebut kepada 50Mbps.

TM Unifi Advance

TM Unifi Advance

Telekom Malaysia mengatakan pakej ini ditawarkan di semua lokasi Unifi, tetapi perlu menyemak terlebih dahulu sama ada kawasan tersebut menyokong rangkaian 30Mbps dan keatas ataupun sebaliknya. Seperti semua sedia maklum, ramai pelanggan sedia ada untuk pakej Unifi VIP 10 telah mula menerima penaik-tarafan percuma ke pakej 30Mbps baru ini.

Pada perkongsian yang dilakukan ini, Telekom Malaysia turut menyentuh mengenai hal kelajuan muat-naik pada kadar 5Mbps sahaja untuk pakej 30Mbps ini. Telekom Malaysia mengatakan 90% pengguna Unifi menggunakan kurang daripada 5Mbps untuk muat-naik, dan kebanyakkan aktiviti pengguna adalah kepada muat-turun data.

TM Unifi Advance

Disamping pengumuman berkenaan dengan Unifi Advance ini, Telekom Malaysia turut mengatakan mereka mempunyai pelbagai kejutan menarik untuk pengguna yang akan diumumkan dalam bulan-bulan akan datang ini.