Tiada Sidang Khas Lantik Pengerusi PAC – Azalina

Kuala Lumpur – Menteri di Jabatan Perdan Menteri, Datuk Seri Azalina Othman berkata tiada sebarang sidang khas Parlimen akan diadakan dalam masa terdekat bagi melantik pengerusi dan ahli jawatankuasa PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) dalam masa terdekat.

 

Azalina melalui satu kenyataan berkata keputusan itu telah diputuskan melalui mesyuarat kabinet yang diadakan baru-baru ini,

 

“Sehubungan dengan itu, kabinet telah membuat keputusan untuk melakukan pertukaran Jawatankuasa Pemilih dan pelantikan Pengerusi serta Ahli Jawatankuasa PAC pada hari Pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ketiga Belas iaitu pada 19 Oktober 2015.

 

“Keputusan ini berikutan Kerajaan mengambil kira beberapa faktor utama termasuk masa yang diperlukan untuk nama-nama baru dicadangkan untuk menggantikan beberapa Ahli Jawatankuasa Pemilih yang sedia ada di mana Kerajaan tidak boleh tergesa-gesa dalam soal pelantikan Ahli Jawatankuasa Pemilih yang merupakan Jawatankuasa paling penting sebelum mana-mana Jawatankuasa lain dapat dilantik termasuk PAC dalam konteks ini” katanya memetik kenyataan tersebut.

 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu turut berkata, ahli Jawatankuasa yang akan dilantik itu terdiri daripada ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pembangkang.

 

“Sehubungan dengan itu, parti-parti akan mencadangkan beberapa nama-nama baru termasuk BN yang akan mencadangkan nama Ketua Whip yang baru. Pada masa yang sama, terdapat juga pertukaran Ahli Jawatankuasa yang mewakili parti MIC.

 

“Bagi pihak Pembangkang juga, ada kebarangkalian nama baru akan dicadangkan daripada parti PAS berikutan pecahan mereka daripada perikatan bersama DAP dan PKR. Selain daripada itu, Ketua Pembangkang juga akan digantikan dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang baru iaitu YB Datin Seri Wan Azizah” katanya lagi.

 

Menurut Azalian lagi sejurus selepas perlantikan itu, PAC akan meneruskan kembali semua tugas-tugas yang diamanahkan kepada mereka termasuk prosiding siasatan terhadap 1MDB.

 

“Saya menegaskan bahawa Kerajaan sama sekali tidak menangguhkan prosiding siasatan terhadap 1MDB oleh PAC dengan sengaja. Prosiding tersebut dapat diteruskan selepas pelantikan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa PAC yang baru dilakukan pada 19 Oktober 2015 nanti.

 

“Pada masa yang sama, PAC juga diharapkan dapat memulakan kembali siasatan terhadap 1MDB selepas laporan penuh Ketua Audit Negara mengenai 1MDB disiapkan untuk diteliti oleh PAC” ujarnya.

 

 

 

 

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

 

12 Ogos 2015

 

Pelantikan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa PAC adalah mengikut Peraturan Mesyuarat 77(2). Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 77(2), pelantikan Pengerusi PAC hendaklah dibuat oleh Majlis dan dalam hal ini, pelantikan tersebut adalah melalui suatu usul yang akan dikemukakan oleh seorang Menteri ke dalam Majlis Mesyuarat. Usul tersebut hendaklah dibahaskan, diputuskan dan disetujukan oleh Majlis Mesyuarat.

 

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 77(2), Ahli Jawatankuasa PAC hendaklah dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih dan dalam hal ini, pelantikan tersebut adalah mengikut Peraturan Mesyuarat 76(2) iaitu Jawatankuasa Pemilih akan memaklumkan kepada Majlis dengan mengeluarkan satu penyata apabila seseorang ahli Majlis telah dilantik menjadi ahli sesebuah Jawatankuasa.

 

Walau bagaimanapun, setelah mengambil kira pertukaran jawatan Ketua Pembangkang serta susulan penyusunan semula Jemaah Menteri pada 29 Julai 2015, maka terdapat keperluan untuk melantik atau menggantikan Ahli Jawatankuasa Pemilih sedia ada dengan Ahli Jawatankuasa yang baru sebelum Jawatankuasa Pemilih tersebut dapat bertindak bagi maksud melantik Ahli Jawatankuasa PAC.

 

Sehubungan dengan itu, kabinet telah membuat keputusan untuk melakukan pertukaran Jawatankuasa Pemilih dan pelantikan Pengerusi serta Ahli Jawatankuasa PAC pada hari Pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ketiga Belas iaitu pada 19 Oktober 2015.

 

Keputusan ini berikutan Kerajaan mengambil kira beberapa faktor utama termasuk masa yang diperlukan untuk nama-nama baru dicadangkan untuk menggantikan beberapa Ahli Jawatankuasa Pemilih yang sedia ada di mana Kerajaan tidak boleh tergesa-gesa dalam soal pelantikan Ahli Jawatankuasa Pemilih yang merupakan Jawatankuasa paling penting sebelum mana-mana Jawatankuasa lain dapat dilantik termasuk PAC dalam konteks ini.

 

Ahli Jawatankuasa Pemilih akan terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pembangkang. Sehubungan dengan itu, parti-parti akan mencadangkan beberapa nama-nama baru termasuk BN yang akan mencadangkan nama Ketua Whip yang baru. Pada masa yang sama, terdapat juga pertukaran Ahli Jawatankuasa yang mewakili parti MIC.

 

Bagi pihak Pembangkang juga, ada kebarangkalian nama baru akan dicadangkan daripada parti PAS berikutan pecahan mereka daripada perikatan bersama DAP dan PKR. Selain daripada itu, Ketua Pembangkang juga akan digantikan dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang baru iaitu YB Datin Seri Wan Azizah.

 

Pelantikan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa PAC akan dilakukan sebaik sahaja pertukaran Ahli-Ahli Jawatankuasa Pemilih selesai dilakukan. Setelah itu, PAC dapat meneruskan semua tugas-tugas yang diamanahkan kepada mereka termasuk prosiding siasatan terhadap 1MDB.

 

Saya menegaskan bahawa Kerajaan sama sekali tidak menangguhkan prosiding siasatan terhadap 1MDB oleh PAC dengan sengaja. Prosiding tersebut dapat diteruskan selepas pelantikan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa PAC yang baru dilakukan pada 19 Oktober 2015 nanti.

 

Pada masa yang sama, PAC juga diharapkan dapat memulakan kembali siasatan terhadap 1MDB selepas laporan penuh Ketua Audit Negara mengenai 1MDB disiapkan untuk diteliti oleh PAC