Rombak Jawatankuasa Pemilihan Parlimen Sebelum Lantik Pengerusi PAC

Kuala Lumpur – Jawatankuasa Pemilihan Parlimen perlu dirombak terlebih dahulu sebelum memanggil sidang Dewan Rakyat Khas bagi melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kajian Tempatan, Datuk Rahman Dahlan.

 

Kata Rahman, ketika ini jawatankuasa tersebut masih lagi dianggotai Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri G. Palanivel yang bukan lagi anggota kabinet.

 

“Cuma yang saya ingin katakan di sini ialah, untuk memilih Pengerusi PAC dan juga ahlinya, pengerusi mesti dipersetujui majlis (Dewan Rakyat) tetapi ahli PAC perlu diputuskan oleh jawatankuasa pemilihan.

 

“Tetapi anggota jawatankuasa ini pun ada masalah sebab dengan berlakunya perkembangan terkini, parti MIC, Palanivel masih ahli jawatankuasa. Jadi siapa yang perlu berada di situ, Palanivel atau Datuk Seri Dr S. Subramaniam?

 

“Kemudian kita ada Tan Sri Muhyiddin yang merupakan ketua whip dalam Parlimen sebagai Timbalan Perdana Menteri dahulu.

 

“Jawatankuasa ini perlu dirombak terlebih dahulu berdasarkan fakta semasa dan kalau tidak dibuat, tidak ada jalan yang boleh kita lantik ahli lain,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Kayuhan Hari Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang meminta supaya diadakan sidang Dewan Rakyat Khas segera bagi melantik Pengerusi PAC.

 

Muhyiddin dan Palanivel digugurkan dalam rombakkan Kabinet baru-baru ini manakala Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed bersama tiga anggota lain dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

 

Bagaimanapun kata Rahman, sama ada perlu atau tidak untuk panggil segera sidang Dewan Rakyat Khas terpulang kepada pihak eksekutif kerajaan dan Parlimen itu sendiri.