Prestasi Buruk Skuad Bos Gaurus, Perak rehatkan Karathu

IPOH – Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mengambil keputusan drastik dengan merehatkan jurulatih Datuk M. Karathu hingga berakhir kempen Liga Super musim ini ekoran prestasi buruk skuad Bos Gaurus akhir-akhir ini.

Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang mengumumkan perkara itu berkata, tempat Karathu akan diambil alih oleh penolong jurulatih Abu Bakar Fadzim yang akan mengemudi pa­sukan Perak menentang Terengganu di tempat lawan hari ini.

Menurut Zainol, keputusan merehatkan Karathu dibuat dalam mesyuarat tergempar semalam ekoran penurunan pres­tasi Bos Gaurus yang kalah dalam semua empat perlawanan terakhir, terma­suk tewas 0-2 di laman sendiri kepada Felda United Sabtu lalu.

“Keputusan ini dicapai sebulat sua­ra dalam mesyuarat Jawatankuasa Pe­ngurusan Liga malam tadi (semalam) dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada Karathu selepas mesyuarat.

“Beliau akan direhatkan dua minggu iaitu hingga habis empat perlawanan terakhir Liga Super dan masa depan beliau bersama pasukan akan dibincangkan kemudian,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.


Kekalahan kepada Felda menyebabkan Perak jatuh dari anak tangga ketiga liga ke kedudukan kelapan, yang menimbulkan kemarahan penyokong sehingga mereka mendesak Karathu di­singkirkan.

Sementara itu, pengendali sementara Perak, Abu Bakar mengakui berdepan tugasan sukar untuk mengembalikan semula prestasi pasukan ke tahap terbaik.

“Halangannya saya akui cukup sukar kerana bakal berdepan pasukan kuat bermula Terengganu esok, diikuti Pahang, Johor Darul Ta’zim dan terakhir menentang Pahang,” katanya.

Beliau yang mengendalikan skuad Perak tahun lalu namun kemudiannya digantikan oleh Karl Weigang berkata, ini disebabkan pasukannya kehilangan lima tonggak yang mengalami kecederaan.

Mereka ialah dua penyerang import Charles Souza Chad, Woong Namkung, pemain tengah Mohammad Nasir Basharuddin dan Muhammad Ridzuan Azli serta pertahanan Mohd. Idris Ahmad.

VIDEO Perak Tewas kepada Felda United