PKR rayu Zahid bantu bebaskan Anwar.

PKR hari ini merayu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya memberi sedikit kebebasan kapada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan rawatan bagi kecederaan yang dialaminya.

Menurut Naib Presiden PKR yang merupakan anak sulung Anwar, Nurul Izzah, bapanya memerlukan pembedahan segera di bahu ekoran kecederaan lama itu dilihat semakin serius.

Katanya, beliau telah pun membuat permohonan kepada jabatan penjara bagi mendapatkan rawatan serta pembedahan untuk bapanya itu, tetapi tidak dilayan oleh pihak berkenaan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga mendakwa pihak penjara telah menyekat beliau, doktor, peguam serta keluarganya untuk melawat Anwar didalam penjara dan beliau percaya ini sekatan ini bermotifkan politik.

“Sejak seminggu yang lalu, pihak berkuasa menyekat akses ke atas Anwar. Ini seolah-olah bermotifkan politik,” katanya.

Oleh itu, beliau merayu dan memohon kepada Zahid yang merupakan Menteri Dalam Negeri supaya membenarkan bapanya mendapatkan rawatan bagi kecederaan lama itu dengan kadar segera.

“Kami memohon dan merayu agar diberi pertimbangan untuk menyelesaikan masalah tersebut secara langsung melalui peguam kami. Namun, sehingga kini, rayuan kami masih tidak diendahkan oleh pihak berkuasa,” kata Nurul Izzah.

Selain Izzah, Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul juga merayu kepada timbalan perdana menteri agar Anwar diberikan rawatan serta pembedahan dengan segera.-Utaranews.com-

ep2p-5small