PKR desak Zahid Hamidi "bebaskan" Anwar dari Penjara.

PKR meneruskan desakannya meminta Putrajaya menjadikan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tahanan rumah, kali ini permintaan itu ditujukan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku timbalan perdana menteri yang baharu.

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata, Zahid boleh menunjukkan ciri kepimpinan beliau yang berperikemanusiaan dengan membenarkan Anwar menjalani rawatan yang diperlukannya di rumah.

“PKR menyeru timbalan perdana menteri baru yang juga menteri dalam negeri menggunakan kedudukannya menyegerakan penerimaan rawatan hospital di luar penjara oleh Anwar dan membenarkan Anwar menjalani rawatan beliau dengan tahanan rumah,” katanya.

Bercakap pada satu sidang media di ibu pejabat parti di Petaling Jaya, Sim berkata, kesihatan Anwar juga kini merunsingkan.

Katanya, sejak dimasukkan ke penjara Sungai Buloh, beliau mengalami penurunan berat badan ketara dan tekanan darah tidak menentu.

“Keadaan di penjara dengan kelembapan tinggi, pengudaraan yang tidak cukup, tiada tandas duduk dan hanya satu baldi untuk mandi, dan sebagainya adalah seksaan bagi seorang pesakit berusia 68 tahun.

“Ia akan memburukkan kesihatannya,” kata pengarah Biro Strategi PKR itu.

Sim juga berkata, malah dua tokoh dunia, iaitu Perdana Menteri United Kingdom David Cameron dan Setiausaha Negara John Kerry menyentuk mengenai isu pemenjaraan dan kesihatan Anwar dan pandangan mereka tidak boleh dipandang remeh.

“Dunia sekarang memandang Anwar sebagai tahanan politik. Ia memberi imej buruk kepada dunia antarabangsa dan akan menjejaskan keyakinan terhadap pentadbiran perdana menteri dan timbalan perdana menteri,” katanya.

ep2p-5small