Pemandu Teksi Dipenjara 3 Bulan Terbabit Aktiviti Pemerdagangan Manusia

Kangar – Mahkamah Tinggi, di sini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000 ke atas seorang pemandu teksi berusia 70 tahun atas kesalahan terbabit dengan aktiviti pemerdagangan manusia.

 

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar, selepas tertuduh, Lee Ngan Chea, 70, mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

 

Abu Katar dalam penghakiman berkata, mahkamah turut mengambil kira usia tertuduh selaku warga emas dalam membuat keputusan, dengan hukuman penjara bermula tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 5 Mei lalu.

 

Berdasarkan pertuduhan, Ngan Chea dituduh mengangkut tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berusia antara dua hingga 35 tahun menggunakan teksi miliknya, ketika ditahan polis di Jalan Baru Wang Kelian kira-kira jam 1 pagi pada 5 Mei lalu.

 

Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, manakala tertuduh diwakili peguam Jamil Mohamed Shafie dan Lim Wei Yong. – BH Online



This entry was posted in Jenayah, Terkini and tagged Pemerdagangan Manusia. Bookmark the permalink.