MH370: Takziah Di Laman Sosial

Kuala Lumpur – Beberapa pemimpin negara berkongsi simpati dan kesedihan mereka dalam media sosial dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein antara paling `terkesan’ dengan kesimpulan baru yang diumumkan awal pagi tadi.

 

Menteri Pertahanan itu mengakui pengesahan – diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak – bahawa serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik MH370, memberi perasaan bercampur baur meskipun maklumat itu mampu menjadi titik tolak kepada pencarian seterusnya.

 

“Perasaan bercampur bagi saya, hati dan perasaan saya bersama keluarga mangsa MH370. Saya juga turut berdoa untuk mereka.

 

“Carian #MH370 akan di teruskan. Tahniah semua yang terlibat cuma ungkaikan sebab misteri kehilangannya.

 

“Saya doakan keluarga tabah menerima berita ini”, tulis bekas Pemangku Menteri Pengangkutan itu melalui laman Twitter miliknya.

 

Untuk rekod, Hishammuddin adalah menteri yang bertanggungjawab dalam usaha pencarian awal penerbangan Malaysia Airlines (MAS) pesawat MH370 yang dilaporkan hilang daripada radar, sehingga hari ini masuk hari ke-515,

 

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut melahirkan rasa sedih disusuli ucapan takziah kepada keluarga mangsa penerbangan MH370.

 

Melalui sekeping foto yang dimuat naik menerusi laman Facebooknya, Ahmad Zahid turut meluahkan rasa syukur terhadap penemuan pesawat berkenaan.

 

“Syukur Alhamdulillah, akhirnya misteri kehilangan MH370 sudah terjawab. Takziah buat keluarga mangsa dan kru MH370. Kesedihan dikongsi bersama,” tulisnya.

 

Tidak ketinggalan, Penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang memuat naik kembali foto doa untuk MH370 dengan menulis: “Sah MH370!, kata Najib”, dalam laman Twitter miliknya.