Manek Urai Makin Pulih Selepas Banjir Besar

KUALA KRAI – Kebanyakan rumah musnah. Hanya tinggal tapak dan sisa runtuhan. Ratusan kereta dan motosikal tersadai di sana-sini. Ada yang tunggang-langgang bertindih sesama sendiri, selain tersangkut di dahan pokok atau bumbung kediaman.

 

Seluruh kawasan ditenggelami lumpur kuning setinggi betis. Bagaikan dilanda tsunami. Itu gambaran keadaan kebanyakan perkampungan di jajahan ini terutama di Manek Urai sebaik sahaja bah kuning yang melanda penghujung Disember tahun lalu surut.

 

Baru-baru ini, Utusan Malaysia membuat tinjauan di Kampung Manek Urai Lama bagi melihat kembali keadaan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri di situ.

 

Sambutannya ringkas. Tiada pakaian baharu yang berwarna-warni. Tiada kuih-muih aneka jenis yang sedap-sedap. Kerlipan lampu hiasan bagi menerangi malam hari lebaran juga tidak kelihatan. Namun, penduduk masih mampu tersenyum meraikan 1 Syawal.

 

Antaranya ialah seorang ibu tunggal, Rohani Ab. Majid, 71, yang kediamannya ranap terus dihanyutkan arus banjir bercampur lumpur kuning.

 

“Hidup saya terasa suram sehinggalah rumah baharu siap tiga bulan lalu. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam kediaman sendiri yang cukup selesa,” kata ibu kepada enam cahaya mata itu.

 

Rumah konkrit sumbangan kerajaan Persekutuan bernilai RM48,000, berkeluasan 120 meter persegi dilengkapi tiga bilik tidur, satu tandas dan satu bilik mandi telah menggantikan rumahnya yang ranap itu.

 

Sementara itu, di Kampung Karangan, sebanyak 53 keluarga yang kehilangan tempat tinggal beruntung kerana kerajaan negeri Kedah menerusi Sukarelawan Kedah Aman Makmur (Sukam) sudi menghulurkan bantuan untuk menempuhi saat-saat sukar.

 

Kerajaan negeri Kedah berjaya menyiapkan 53 rumah transit bersaiz 5 meter x 10 meter bernilai RM16,000 setiap satu lengkap dengan bekalan air bersih dan elektrik, sekali gus mengembalikan senyuman di bibir penduduk.

 

Salah seorang penerima, Mek Esah Awang Kecik, 75, berkata, walaupun sederhana, rumah dilengkapi dua bilik tidur itu sudah boleh diibaratkan sebagai kediaman tetap yang cukup selesa untuk dirinya, suami serta dua cucu yang dibela mereka.

 

“Selepas tiga minggu menumpang di masjid dan berpindah randah dari khemah ke khemah, kami amat bersyukur menerima rumah transit pemberian kerajaan Kedah. Sudahlah cantik, lengkap pula dengan bekalan air dan elektrik,” katanya.

 

Mengikut rekod, terdapat 1,827 rumah musnah akibat bah kuning di seluruh negeri. Kerajaan Persekutuan menyatakan komitmen untuk membina sebanyak 1,255 unit Rumah Kekal Baharu (RKB) dan baki 572 unit lagi akan dibina kerajaan Pas Kelantan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan Persekutuan telah mengenal pasti tanah seluas 12.24 hektar milik individu di empat perkampungan di jajahan Kuala Krai bagi membina RKB.

 

Perkembangan positif itu secara tidak langsung menunjukkan kerajaan Persekutuan sedang giat bekerjasama dengan kerajaan negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membangun dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas.

 

Hasil kerjasama erat itu boleh dilihat apabila kesemua infrastruktur yang rosak teruk seperti jalan raya dan jambatan telah dibaik pulih. Prasarana awam seperti klinik kesihatan, sekolah serta pasar juga kembali beroperasi semula.

 

Selain itu, perkhidmatan kereta api di beberapa lokasi melibatkan laluan Gemas – Gua Musang serta Kemubu-Kuala Krai juga sudah mula beroperasi secara berperingkat sejak 12 Julai lalu. – UTUSAN