"Lowyat melayu" akan mula beroperasi bulan Disember nanti

Pusat jualan ala Low Yat bakal diwujudkan di Kompleks MARA, Kuala Lumpur dijangka memulakan operasinya dalam tempoh tiga bulan lagi.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada peringkat awalnya, pusat itu membabitkan pembukaan 30 ruang niaga untuk para usahawan tempatan.

Menurutnya, berhubung hal berkenaan, MARA akan membentangkan perincian pelan pembangunan itu dalam mesyuarat pasca Kabinet, Isnin ini.

“Kita minta disegerakan pembinaannya yang dijangka dalam tempoh tiga bulan lagi sudah dapat beroperasi setelah kerja-kerja pengubahsuaian dilaksanakan sesuai dengan kehendak orang muda sekarang,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang RISDA yang berlangsung di Kuala Lumpur, semalam.

Pada masa sama, Ismail Sabri memberitahu, pusat itu akan tertumpu dengan penglibatan syarikat pengeluar telefon bimbit terkemuka seperti Apple Inc. (Apple) dan Samsung Electronics Co. Ltd. (Samsung) serta syarikat-syarikat telekomunikasi yang lain bagi memudahkan orang ramai membuat pembayaran bil dan sebagainya.

“Kita mahu pusat perniagaan ini dapat menjadi pusat sehenti dan orang ramai boleh berurusan dengan mudah.”

“Daripada segi pengurusan operasinya, kita minta Mara mengambil tanggungjawab sepenuhnya tanpa campur tangan pihak lain,” kata­nya.

Menyentuh tentang penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik, beliau menjelaskan, menerusi jawatankuasa itu, satu undang-undang khusus perlu diwujudkan segera bagi membolehkan semua parti politik mengisytiharkan sumber kewangan yang diperoleh daripada mana-mana pihak.

Sehubungan itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, ketika ini akta atau peraturan berkaitan amat diperlukan bagi mengelak sebarang masalah dan kekeliruan sehingga mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat.

“Peraturan ini sudah lama kita cadangkan tetapi pembangkang tidak bersetuju. Kita tidak mahu mereka bersikap dwistandard apabila tidak mahu akta ini diwujudkan tetapi mendesak parti kerajaan mendedahkan sumber kewangan,” katanya. – UtaraNews.com

ep2p-5small