Khairy-FAM-300x202Liga Malaysia (Liga M) akan menjadi lebih profesional sebaik penswastaan liga bermula.

Demikian harapan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap penswastaan Liga M yang sebelum ini tertangguh.

Ia akan berkuat kuasa sepenuhnya pada tahun depan.

Isu-isu mengenai kelewatan pembayaran gaji pemain yang seakan-akan sudah menjadi ‘tabiat’ dalam kalangan pasukan juga tidak akan timbul lagi sebaik penswastaan Liga M bermula nanti.

“(Liga M) akan menjadi lebih profesional apabila penswastaan liga bermula. Ini kerana penjanaan kewangan itu dapat dikongsi dengan baik dalam kalangan kelab-kelab bola sepak dan juga pasukan negeri.

“Saya juga berharap apabila sudah diswastakan, biarlah peruntukan untuk membayar gaji pemain datang daripada hasil pen­swastaan itu kerana duit yang diterima FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) boleh digunakan untuk program pembangunan, bukan untuk liga lagi,” katanya.

Khairy berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Penswastaan Liga M yang dicadangkan itu bakal berkuat kuasa sepenuhnya pada 2015, namun terpaksa ditangguhkan ke tahun depan berikutan setiap persatuan dan kelab perlu memenuhi kriteria utama iaitu wajib mendapatkan lesen seperti dilaksanakan liga profesional luar negara.

Selain itu, FAM juga telah menandatangani perjanjian dengan syarikat peneraju hak penyiar antarabangsa, MP & Silva bagi penubuhan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) pada tahun depan.