Kenderaan Singapura Wajib Daftar JPJ Sebelum Masuk Malaysia

Kuala Lumpur – Semua kenderaan Singapura yang memasuki negara ini wajib mendaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkuatkuasa 1September ini.

 

Jika gagal, kenderaan berkenaan tidak akan dibenarkan memasuki Malaysia, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

 

Pendaftaran wajib itu melibatkan semua jenis kenderaan persendirian, bas awam, teksi, kenderaan pengangkut barangan serta kereta diplomat.

 

Pendaftaran secara dalam talian bermula 15 Ogos dan pemilik kenderaan perlu membayar RM10 ($3.60) bagi yuran jalan raya, yang sah digunakan selama lima tahun.

 

“Rakyat Singapura boleh mendaftarkan kenderaan mereka di kesemua 72 kaunter di Koswe dan Link Dua serta kawasan R&R berdekatan dengan dua pusat masuk negara.

 

“Bagaimanapun, kami menggalakkan mereka berdaftar secara online menerusi laman JPJ,” Abdul Aziz ketika ditemui media di Kompleks Kastam Sultan Abu Bakar di Gelang Patah,” lapor Berita Harian Singapura.

 

“JPJ akan mengeluarkan kad pengenalan gelombang radio (RFID) selepas melunaskan yuran RM10. Pendaftaran itu sah selama lima tahun.

 

“Tag itu perlu diperbaharui selepas tamat tempohnya atau apabila pemilik kereta membeli kereta baru,” katanya.

 

Setelah berdaftar, kenderaan Singapura dibenarkan melalui pusat masuk ke Johor secara percuma selama sebulan – dari 1 September hingga 30 September – dan akan hanya dikenakan bayaran RM20 bagi Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi setiap kemasukan mulai 1 Oktober.

 

VEP bagi kenderaan luar sebelum ini dijadualkan berkuatkuasa 1 September selepas ditangguhkan dari 1 Ogos.

 

VEP dikenakan ke atas kenderaan persedirian penumpang, termasuk kenderaan pelbagai kegunaan (MPV), kenderaan serba guna sukan (SUV) dan bayaran hanya boleh dibuat dengan menggunakan kad Touch ‘n’ Go.

 

Kenderaan kerajaan, motosikal, bas awam dan teksi dikecualikan daripada bayaran tetapi masih perlu berdaftar dengan JPJ.

 

Abdul Aziz berkata, sistem VEP akan melalui fasa kedua meliputi sempadan Malaysia-Thailand, dijangka dilakukan pertengahan tahun depan.

 

Ogos tahun lalu, Singapura menaikkan VEP bagi kenderaan asing yang memasuki republik itu daripada $20 kepada $35.