Harimau Malaya Mencari Kemenangan Moral

PETALING JAYA – Walaupun hanya akan bertemu lawan lemah Bangladesh dalam perlawanan persahabatan malam ini, namun Dollah Salleh menganggap perlawanan di Shah Alam itu penting untuk dia dan skuadnya mendapatkan semula keyakinan selepas Harimau Malaya mengharungi prestasi yang mendukacitakan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018-Piala Asia 2019.

Mengakui bahawa maruah skuad negara benar-benar tercalar selepas mereka dibelasah 0-6 di hadapan penyokong sendiri ketika bertemu Palestin dua bulan lalu dalam kempen dwikelayakan tersebut membuatkan Dollah mahu pemainnya mendapatkan semula rentak permainan seperti dilakukan dalam Piala AFF pada 2014.

“Saya mahu ambil perlawanan ini sebagai medan terbaik untuk pemain memulihkan semula tahap keyakinan mereka. Kita tidak boleh ambil mudah dan kena buktikan supaya apa yang berlaku menentang Palestin tempoh hari tidak berulang.

“Saya juga mahu pemain lebih fokus dan saya nak pemain dapatkan semula rentak seperti kami buktikan dalam perlawanan Piala AFF pada tahun lalu walaupun pemain yang ada sekarang masih baru bersama pasukan.

“Saya berharap pemain dapat bekerjasama dengan baik, malah dapat melakukan apa yang saya inginkan mengikut perancangan. Saya cuma ada tiga hingga empat hari untuk melakukan persiapan dan sebab itu saya tidak boleh cakap perlawanan ini dianggap mudah,” katanya kepada pembe­rita di Wisma FAM di sini semalam.

Tambah Dollah, meskipun pemain berada dalam keadaan letih terutamanya pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang baru sahaja selesai perlawanan suku akhir pertama Piala AFC, dia tetap menagih khidmat wakil dari Harimau Selatan itu untuk menghadapi Bangladesh.


“Sebagai permulaan memang saya mahu menggunakan khidmat pemain JDT sebab saya nak melakukan persiapan pasukan dan kalau boleh saya harap mereka (pemain JDT) dapat beraksi 45 minit, kalau lebih lama lebih bagus,” katanya.

Bekas pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berharap, Nor Farhan Muhammad, Mohd. Faiz Subri serta S. Kumaahran, yang dipilih untuk mengisi bahagian hadapan, mampu merobek gawang gol lawan dan dia mengharapkan penyerang veteran Mohd. Amri Yahyah untuk mampu membantu ketiga-tiga pemain tersebut.

Sementara itu, jurulatih Bangladesh, Lodewijk de Kruif mahu menjadikan perlawanan tersebut sebagai persiapan untuk menghadapi Australia dalam mengharungi kempen Piala Dunia 2018-Piala Asia 2019.

Oleh itu, katanya, pemain-pemainnya perlu memberikan sepenuh komitmen dalam perlawanan hari ini untuk membuktikan mereka layak untuk berada dalam pasukan yang akan menentang Socceroos kelak.

“Saya tidak fikir di peringkat ini anda boleh cakap main 80 peratus sahaja. Saya mahukan pemain beri 100 peratus dan sekiranya mereka tidak dapat melakukannya sudah pasti saya singkirkan mereka daripada pasukan. Tiada jaminan mengatakan kami tidak akan memberikan 100 peratus dalam perlawanan esok (hari ini),” kata jurulatih dari Belanda itu.

Sumber Utusan

ep2p-2