596047-neymar-barcelonaLONDON – Manchester United perlu membayar 182 juta pound (RM1.2 bilion) jika mahu mendapatkan bintang Barcelona, Neymar.

Ini kerana pihak atasan di Camp Nou dilapor sedang memperincikan kontrak baharu de­ngan penye­rang dari Brazil itu, yang dilihat bertujuan menghalang United daripada cuba memikat Neymar untuk menyertai mereka.

Neymar, 23, akan ditawarkan kontrak bernilai 6.6 juta pound (RM43.7 juta) oleh Barca, untuk te­rus bersama mereka hingga 2021, lapor akhbar Britain, Daily Mail.

Yang lebih penting lagi, untuk memadam minat Red De­vils kepada bintang mereka itu, Barca akan memasukkan klausa pelepasan mandatori bernilai RM1.2 bilion.


United mengalih perhatian mereka kepada Neymar minggu lalu selepas percubaan mereka untuk mendapatkan Pedro daripada Barca dipintas oleh Chelsea pada saat-saat akhir.

Ketua Eksekutif United, Ed Woodward ke Barcelona untuk membincangkan tawaran tetapi Chelsea memintas usaha itu dan membeli pemain antarabangsa Sepanyol itu dengan harga 21.4 juta pound (RM141.6 juta).

Difahamkan, United bersedia untuk memenuhi syarat pelepasan Neymar sebelum ini iaitu 140 juta pound (RM926.4 juta) dan akan memberinya kontrak 300,000 pound (RM1.98 juta) seminggu. 
– AGENSI